Isnin, 6 Mei 2024 | 11:31am
Setiap persembahan makyung dipengaruhi faktor lokaliti menyebabkan budaya persembahannya sedikit berbeza. Gambar arkib NSTP
Setiap persembahan makyung dipengaruhi faktor lokaliti menyebabkan budaya persembahannya sedikit berbeza. Gambar arkib NSTP

Makyung jadi fenomena dengan kerjasama tauke Cina

KUALA LUMPUR: Umumnya persembahan makyung sering tertumpu di Kelantan namun sebenarnya warisan seni tradisional itu juga turut mencatat kehadiran di negeri-negeri lain di alam Melayu.

Pensyarah Kanan, Jabatan Drama, Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya (UM), Dr Syafiq Faliq Alfan, berkata sebenarnya di alam Melayu terdapat lebih daripada satu jenis persembahan makyung.

Katanya, menerusi penyelidikan dibuat pengkaji sebelum ini, terdapat lebih daripada satu jenis persembahan makyung, masing-masing di Kedah, Perlis, Selatan Thailand malah Riau serta Sumatera.

"Makyung Kedah bagaimanapun sudah pupus dan kali terakhir dipentaskan adalah pada tahun 70-an.

 Pensyarah Kanan, Jabatan Drama, Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya (UM), Dr Syafiq Faliq Alfan
Pensyarah Kanan, Jabatan Drama, Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya (UM), Dr Syafiq Faliq Alfan

"Bagaimanapun, makyung di sebelah utara inilah yang mempengaruhi kewujudan makyung di Sumatera. Namun selain di Sumatera, Indonesia turut merekod sejarah makyung yang dimainkan di Riau.

"Malah terdapat satu jenis makyung yang dicatatkan kewujudannya iaitu di Kampung Sungai Baru, Perlis. Dinamakan sebagai Makyung Laut, ia dipentaskan oleh Kumpulan Seri Kenangan," katanya dalam program Bicara@Muzium: Makyung Nusantara: Kupasan Baharu - Perkaitan Perlis dan Selatan Thailand baru-baru ini.

Tegas Syafiq Faliq, setiap persembahan makyung itu dipengaruhi faktor lokaliti menyebabkan budaya persembahannya sedikit berbeza.

Misalnya, berdasarkan kajian lapangan beliau di Yala, Selatan Thailand pada 2019, makyung di situ pernah dipersembahkan dengan watak peran yang memakai topeng.

Hal ini katanya, berbeza dengan komuniti makyung di Pantai Timur pada hari ini, malah mereka tidak berkongsi naratif pun dengan komuniti di Selatan Thailand.

Tambahnya, makyung pernah menjadi fenomena dalam kalangan bangsawan di alam Melayu menyebabkan ia tersebar di kawasan-kawasan lain di Asia Tenggara.

"Dahulu di Patani, makyung turut berkerjasama dengan tauke Cina yang memiliki panggung wayang. Mereka ini turut memberi ruang kepada persembahan makyung.

"Hebatnya persembahan makyung ketika itu menyebabkan ia menarik lebih banyak penggemar berbanding filem-filem yang ditayangkan. Ini adalah dinamika sosial yang saya rasa perlu dibahaskan," katanya.

Tambah Syafiq Faliq, meskipun terdapat perbezaan antara jenis-jenis makyung tetapi terdapat persamaan antara persembahan di Kedah dan Perlis.

Katanya, makyung di Kedah dan Perlis seolah-olah berasal dari kumpulan yang sama dan hal ini boleh dilihat daripada segi bentuknya. Namun ia jauh berbeza dengan makyung Laut.

Dalam makyung, rebab bukan sekadar instrumen tetapi juga identiti kepada makyung itu sendiri. Gambar arkib NSTP
Dalam makyung, rebab bukan sekadar instrumen tetapi juga identiti kepada makyung itu sendiri. Gambar arkib NSTP

"Persamaan yang boleh kita lihat mungkin daripada segi rekaan alat muzik utamanya iaitu rebab. Rebab tidak dapat dipisahkan daripada makyung.

"Dalam makyung, rebab bukan sekadar instrumen tetapi juga identiti kepada makyung itu sendiri, namun di Riau rebab tidak ada, hanya sekarang ia cuba diwujudkan semula hasil program dan persidangan membabitkan penggiat makyung dari Riau juga Malaysia" katanya.

Selain itu tambahnya, di Riau dan Sumatera, pemain makyung akan menggunakan topeng sama seperti di Selatan Thailand satu ketika dahulu, namun hal ini tidak terjadi dalam makyung Kelantan.

Begitu juga dengan penggunaan canggai iaitu aksesori berbentuk kuku yang panjang, umumnya digunakan oleh penari, namun ada yang tidak menggunakannya lagi namun di Riau dan Sumatera, canggai masih boleh ditemui.

Satu lagi perbezaan yang boleh dikesan adalah naratif yang dipersembahkan dalam persembahan makyung umumnya masih berkisar mengenai cerita-cerita istana, namun ia berbeza dengan makyung Laut.

Hal ini katanya menyebabkan persembahan makyung Laut dipersembahkan dalam bahasa yang agak santai dan tidak begitu stailistik.

"Bahasa yang digunakan adalah bahasa orang kebanyakan dan tidak sehalus bahasa dalam persembahan makyung lain.

"Kewujudan makyung Laut ini sebenarnya turut menjelaskan bahawa fenomena makyung ini turut tempias kepada semua lapisan masyarakat," katanya.

Tambah Syafiq Faliq, pensejarahan makyung dapat dijejak sehingga ke 1861 menerusi Syair Perkahwinan Kapitan Tik Sing.

Katanya, sekitar 1878 perihal mengenai makyung didokumentasikan menerusi Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society 2 oleh Frank Swettenham, Residen British di Selangor.

"Kajian pertama mengenai makyung direkodkan seawal 1900 yang dijalankan oleh William Walter Skeat dalam 'Malay Magic: Being an Introduction to the Folklore And Popular Religion Of The Malay Peninsula'.

"Selain itu dalam dokumentasi langka mengenai makyung di Perlis, seorang penyelidik Perancis, Jeanne Cuisinier pada syarahannya menyebut sekitar 1934 sehingga 1938, beliau menonton makyung yang dipersembahkan di Kangar.

"Cuisinier tidak mengkaji makyung di Perlis sebaliknya pergi ke Kota Bharu, Kelantan. Ini adalah perkara yang menarik kerana menurut beliau pada ketika itu masyarakat mencemuh bekas penari makyung.

"Hal ini kerana berlaku pergolakan dalam identiti masyarakat Melayu kerana pegangan agama menyebabkan beberapa siri seni persembahan terkesan," katanya.

Justeru katanya, bentuk makyung yang masih boleh dilihat hari ini adalah bahagian versi yang 'terselamat' dalam peredaran zaman.

Berita Harian X