Khamis, 2 Mei 2024 | 3:36pm

Cerpen BH Ahad: Prasangka

SANIP ingin sekali mendalami ilmu penulisan, dia ingin sekali menjadi penulis lalu membuat permohonan menyertai program penulis angkat di bawah naungan Lembaga Persuratan. Sayangnya, permohonan itu tidak berhasil.

Sebaliknya orang yang baru setahun jagung menganggotai persatuan penulis pula terpilih! Sedangkan Sanip sudah jadi ahli persatuan itu sejak awal penubuhannya.

Kecewa benar dia mendengar keputusan itu yang langsung tidak menyebelahinya. Sia-sia saja rasanya menghantar salinan karya tersiar di akhbar tempatan dan nasional berserta borang pada presiden persatuan penulis agar namanya dicalonkan terpilih.

Dia tidak menyangka namanya tercicir gara-gara penyertaan Johardy yang konon lebih layak daripadanya. Penulis terpilih itu, Sanip kenal benar. Banyak karyanya tersiar di akhbar tempatan serta nasional.

Desus-desas yang sampai ke telinga Sanip, si Johardy itu yang kebetulan berasal dari sebelah daerah selatan adalah orang sebangsa dengan tuan presiden. Malah dengarnya, ramai pegawai penyelidik di Lembaga Persuratan berasal dari daerah sama, dan kononnya mereka itulah yang memainkan peranan dalam pemilihan berkenaan, lalu nama Sanip  tersingkir.

Sanip jadi ralat. Ah, kalaulah asal kelahirannya di daerah selatan juga dan sekufu dengan presiden persatuan penulis itu, tentu dia terpilih dalam program anjuran Lembaga Persuratan itu. Bolehlah dia berbangga menatap karyanya diterbitkan oleh Lembaga Persuratan dan terjual di rak kedai buku macam penulis yang lain. 

Namun, keputusan pemilihan penulis angkat itu sudah muktamad ditentukan oleh pihak Lembaga Persuratan yang berkuasa mutlak. Sanip tidak mampu berbuat apa-apa. Bercakap banyak dan bising pun tiada guna. Elok diam membisu sahaja.

Orang berkenaan terasa pula nanti bila dia bersuara. Biarlah  orang itu jadi penulis angkat, dia tidak mahu membuat sebarang ulasan, takut nanti dituduh dengki pula ! Lagi pun dia terus menulis tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

"Johardy terpilih jadi penulis angkat sebab puisinya tersiar di majalah Gelanggang Sastera. Kamu sendiri pun tidak dapat mengatasinya," kata seorang penulis yang dikenali sebagai Adimudin, tapi menggunakan nama pena Merak Awani ketika mereka bertemu di perpustakaan dua minggu lalu.

Kata-kata Adimudin menghiris sedikit perasaannya. Hampir-hampir dia bertekak dengan penulis itu yang seakan-akan mahu membunuh semangatnya berkarya.

Malah disebabkan isu tidak terpilih mengikut program penulis angkat itu juga, Sanip enggan menghadiri mesyuarat yang dianjurkan oleh Persatuan Ikatan Persuratan baru-baru ini. Dia rasa sayu tertikam oleh kata-kata Adimudin yang sangat suka memperkecilkan para penulis tertentu.

Penulis lain yang pernah terkena sindiran dan gurauan Adimudin ikut menjeruk perasaan. Hubungan Sanip dengan Adimudin sendiri tidak seberapa mesra, sentiasa bertegang leher. Bertekak, berbalah pasal sastera begitu merimaskan Sanip. Rimas menghadap manusia jenis begitu, si Adimudin sentiasa mahu menang dalam menyuarakan pendapat.

Tapi sebenarnya Sanip pun terfikir apakah agaknya kriteria yang melayakkan Johardy menjadi penulis angkat dalam program anjuran Lembaga Persuratan itu? Adakah kerana sebuah, dua karyanya tersiar di majalah Gelanggang Sastera itu dilihat sebagai syarat melayakkannya menyertai program penulis angkat itu ?

Puisi-puisi Johardy yang Sanip baca pun biasa-biasa sahaja. Kadangkala bagus dan selebihnya jatuh menjunam. Bukan Sanip sahaja yang fikir begitu, penulis lain pun cakap perkara serupa.

Jelaslah pada Sanip bahawa Johardy masuk persatuan penulis ada kepentingan. Cerita ini dia dengar daripada seorang penyair wanita yang juga rakan dalam persatuan penulis. Kononnya si Johardy menjadikan persatuan penulis bagi mendapatkan sesuatu, mendapatkan imbuhannya.

Sakit benar hati Sanip mendengar maklumat yang disampaikan seorang penyair wanita bernama Puteri Mawar itu tempoh hari. Malah sesudah lama dia mendengar cerita itu pun, rasa sakit masih lagi terasa setiap lagi dia mengenang kembali kata-kata Puteri Mawar.

Di antara benar atau tidak apa yang dikatakan Puteri Mawar itu, dia kurang pasti. Tapi rasa sakitnya memang menusuk ke hati. Boleh jadi  Johardy pilihan pegawai Lembaga Persuratan yang berat sebelah, memilih rakan sama daerah?

Sanip masak benar perangai  Johardy yang egonya  menggunung tinggi. Selalu bercakap ikut sedap mulut tanpa memikirkan perasaan sesiapa.

Namun, sesakit mana pun hati, Sanip tahu keputusan pemilihan penulis angkat sudah tidak dapat dibatalkan. Nama Johardy tetap kekal dan bakal dibimbing seorang Ketua Penulis Negara bertaraf jawatan Turus III. Buang masa saja dia membantah keputusan itu. Para pegawai Lembaga Persuratan tidak akan melayani bantahannya yang dianggap merapu. Apa yang Sanip nampak Johardy dan kebanyakan pegawai di Lembaga Persuratan dan presiden persatuan penulis itu memang berasal dari daerah yang sama !

Kecewa, marah dan benci memaksa Sanip menelan hakikat bahawa dirinya belum layak dicalonkan sebagai penulis angkat. Banyak selok-belok dia perlu belajar bagi menguasai penulisan sebelum dicalonkan di masa akan datang. Karyanya pula masih dianggap sederhana menurut perhatian sesetengah penulis mapan. Hal ini menjadikan Sanip sedar bahawa dunia penulisan banyak liku halangan yang perlu dilalui untuk berjaya.

II

Sesekali Sanip teringat semua pembabitan awalnya dalam dunia penulisan sejak lima tahun lalu. Puisinya pernah beberapa kali tersiar di akhbar tempatan sebelum mula menari perhatian akhbar arus perdana yang berpusat di Kuala Lumpur.

Sejak puisinya mendapat tempat di media massa Sanip makin rancak menulis. Rajin menghantar karya ke mana-mana penerbitan media cetak, ada kala tersiar ada kala tidak.

Namun, puisinya tidak mampu menembusi dinding majalah Gelanggang Sastera biarpun sudah puluhan kali dia menghantarnya ke sana. Hampir tiga tahun jugalah dia mencuba nasib, namun semua puisi itu nampaknya tidak berupaya menarik perhatian editor. Semuanya dibakulsampahkan oleh editor majalah itu.

Sedangkan, beberapa rakan penulis yang seangkatannya sudah pun berjaya berkarya di majalah itu. Kecewa sungguh Sanip. Tahun lalu, dia menghantar lapan buah puisi, jenuh dia menunggu satu pun tidak tembus.

"Kamu usah kecewa amat pasal puisi tidak tersiar di Majalah Gelanggang Sastera itu," nasihat Sharif Zain tahun lepas. Sharif Zain adalah penulis profilik yang puisinya kerap tersiar di majalah Gelanggang Sastera saban tahun selain di akhbar nasional.

Sharif Zain sudah menulis sejak di pertengahan tahun 70-an dan kini masih terus aktif berkarya. Usianya juga sudah mencecah 60 tahun lebih, banyak tuanya daripada Sanip. Karyanya juga jauh lebih matang berbanding Sanip yang masih mencari-cari bentuk pengucapan puisinya tersendiri.

"Kalau kamu terus menghantar karya ke situ, insya Allah editornya tetap akan siarkan. Percayalah," kata Sharif Zain terus memberikannya semangat.

Ada benarnya kata Sharif Zain. Dia mula rancak mengemas karyanya. Selain menghantar ke akhbar arus perdana, dia hantar juga hingga enam ke tujuh buah puisi ke Majalah Gelanggang Sastera. Setiap satunya ditulis penuh jiwa. Sebelum dihantar setiap puisi itu dibacanya satu persatu penuh penghayatan. Bait-bait puisi ditulisnya seakan ada daya tarikan tersendiri. Terutama ungkapan bahasanya yang puitis. Perasaan bangga menguasai dirinya tiba-tiba. Kalau sudah begini baik, tak mungkin ditolak lagi, hatinya kembang berbunga.

Sanip baca semula karya itu sebelum dihantar kepada editor Majalah Gelanggang Sastera. Setiap kali dibacanya, ada saja pembaikan yang dibuat. Dia mahu pastikan hanya puisi yang baik saja diterima oleh editor, dan memudahkan karyanya itu disiarkan.

III

Hujung Februari, Sanip tidak sabar-sabar lagi hendak mendapatkan Majalah Gelanggang Sastera. Sementara menunggu edisi cetak yang mengambil masa untuk tiba, Sanip membeli majalah sama edisi digital. Dada Sanip berdebar-debar, adakah puisinya sangkut kali ini?

Sanip cepat-cepat membuka laman digital majalah itu. Dia abaikan saja segala macam rencana sastera yang termuat dalam majalah itu. Dia mahu lekas melihat 10 buah puisi yang tersiar. Semuanya adalah pilihan terbaik mengikut editor. Tapi tidak ada satu pun puisinya dicetak dalam halaman itu.

Hati Sanip terasa dipatah-patahkan. Dia tiba-tiba sedar, puisi-puisinya yang dianggap baik itu sukar sekali menyaingi puisi penyair lain di majalah Gelanggang sastera. 

Bulan lalu, Sanip membaca puisi Johardy yang tersiar di majalah itu. Puisi berjudul "Api sengketa". Puisi itu tidak panjang dan hanya dua rangkap saja. Entah apa istimewanya, Sanip tidak tahu. Pengucapannya biasa-biasa saja. Namun, setahu Sanip sudah dua kali majalah ini menyiarkan puisi Johardy.

Malah tahun lalu pun, Sanip ada membaca puisi Johardy tersiar di Gelanggang Sastera. Memang kerap benar puisi Johardy tersiar. Hebat benarkah anak muda asal dari daerah selatan itu? Adakah sebab itu dia dipilih mengikuti program penulis angkat anjuran Lembaga Persuratan itu?

Terkilan sungguh Sanip. Dia merasakan pemilihan Johardy dibuat kerana hubungan baiknya dengan orang-orang atasan dunia penulisan. Daripada persatuan penulis hingga Lembaga Persuratan. Sanip rasa seolah-olah peluangnya dirampas atas permainan segelintir pegawai di Lembaga Persuratan. Mereka mencantasnya sejak dari awal lagi dan tidak mahu dia membina tapak kukuh di arena kesusasteraan.

Sanip tarik nafas panjang, ah... dia sudah malas berfikir. Apa kuasanya mengubah permainan jahat sebegitu? Hal kronisme ini menyakitkan hati saja, hati kecilnya berkata. Malah ia hanya akan menimbulkan tekanan jika terlalu difikirkan. Sanip tidak mahu tumpuannya berkarya terganggu disebabkan perkara remeh.

Biarlah Johardy dipilih menjadi penulis angkat dan menerbitkan buku. Biarlah karyanya mendapat tempat di Gelanggang Sastera itu. Dia tidak mahu peduli.

"Johardy terpilih kerana kualiti karyanya, tidak ada hal lain selain itu," kata-kata Jailani Mansor, Presiden Persatuan Penulis pada Sanip petang kelmarin, masih diingatnya.

Sanip sekadar tersenyum pahit mendengar Jailani Mansor yang bercakap manis di mulut. Bukankah lelaki ini turut menjadi dalang yang menafikan haknya? Gelora hatinya tiada sesiapa tahu kecuali Tuhan. Minat Sanip mahu menjadi penulis sudah tumpul gara-gara peluangnya disekat oleh orang lain.

IV

Petang Jumaat itu, Sanip singgah ke kedai Mamak mencari akhbar. Kedai yang terletak di Pekan Tanjung Bahru bersebelahan kedai-kedai lain itu turut menjual berjenis majalah hiburan. Walaupun jumlah majalah fizikal sudah tidak banyak dijual, tetapi masih ada lagi yang bersisa.

Sebenarnya sejak sebulan dua ini dia sudah tidak membaca Gelanggang Sastera. Hatinya sakit gara-gara merasakan tempatnya untuk menyertai program penulis angkat itu dirampas Johardy. Tapi petang Jumaat itu, dia ternampak edisi terbaharu Gelanggang Sastera. Edisi terbaharu itu sebenarnya akan menjadi edisi lama beberapa hari lagi, kerana bulan baharu akan menjelma.

Sanip mengambil majalah itu dan menyelak halamannya helaian demi helaian. Dadanya berdebar kencang, debaran yang dirasanya setiap kali membelek majalah itu lebih lima tahun lalu. Rasa ingin tahu akan karya siapa yang tersiar kali ini membuak-buak.

Ketika matanya tiba di helaian pertama majalah itu, Sanip meneliti isi kandungan majalah Gelanggang Sastera terlebih dahulu, dia mendapati puisinya tersiar bersama penyair lain. Debar dadanya lebih laju. Allah ! Dia tidak percaya, benarkah itu?

Tangannya terketar-ketar, dia terus mencari halaman yang memuatkan puisinya. Dan di halaman itu benarlah, dia melihat puisinya disiarkan. Puisi yang ditulisnya beberapa bulan lalu yang dibeleknya satu persatu susunan baitnya, yang dirasakannya sudah cukup bagus itu.

Sanip tidak menyangka usahanya menghantar puisi-puisi ke majalah Gelanggang Sastera membuahkan hasil. Di antara tujuh buah puisi yang dihantarnya beberapa bulan lalu, terselit di situ sebuah puisinya.Aduhai tuhan maha kaya.

Tidak lama selepas itu, sebaik pulang ke rumah dia lekas membeli edisi terbaharu Gelanggang Sastera dalam talian. Dia membaca ulasan sang pengkritik. Dia membacanya baris demi baris. Sesudah itu Sanip tersandar di kerusi.

Begitulah, manusia sangat mudah berprasangka. Dalam ulasan itu tahulah dia, puisi yang dia rasakan sangat baik itu sebenarnya mempunyai seribu satu kekurangan. Daripada ulasan dan kritikan itu, tahulah dia bagaimana sebenarnya puisi yang dianggap baik. Tahulah dia sebenarnya betapa jauh kedudukan kualiti puisinya dengan si Johardy.

Sanip menarik nafas panjang. Penyiaran puisi itu memberinya ilmu bukan sedikit, dia mahu terus belajar. Dia mahu terus memperbaiki diri. Dia mahu memastikan kata-kata seperti dilafazkan Adimudin dulu tidak akan membunuhnya.

- NR Rahim berasal dari Kampung Tanjung Aru Lama, Kota Kinabalu, Sabah dan mula berjinak dalam penulisan sejak pertengahan 1980-an. Beliau berkhidmat dengan pasukan keselamatan.

Berita Harian X