Isnin, 22 April 2024 | 3:26pm

Cerpen BH Ahad: Ke pelabuhan senja

SUDAH lebih 60 kali Aidilfitri disambut atau diraikannya. Dalam lingkungan masa selama itu, Nasir atau nama penuhnya Mohd Nasir Mustafa hanya sempat mengingati siri sambutan raya secara samar-samar sahaja.

Mengapa mesti samar-samar sedangkan ingatannya kuat? Ditakdirkan Nasir masih berkudrat, masih sihat, semuanya dengan kehendak Allah jua. Kenyataan itu bagaikan penyeri kepada usianya, setakat tanpa sandaran penyataan rasmi tentang kualiti kesejahteraannya daripada pihak berwajib kesihatan awam.

Lelaki warga emas yang senang disapa "Pak Nasir" barangkali tidak akur kepada jadual pemeriksaan kesihatan mengikut keperluan normalisasi. Pun demikian, dia merasakan dirinya sihat. Moga-moga tahap kesihatan secara agak-agak itu merupakan kenyataan yang padu dan sejati, yang tersurat dan yang tersirat. Demikian lafaz doa Nasir seusai solat fardu, tanpa jemu-jemu.

Termasuk Aidilfitri tahun ini, setepat-tepatnya sudah 68 kali Nasir menempuh pengalaman menyambut raya. Namun begitu, suasana perayaan dalam gerobok waktu itu tidak dapat digambarkan kesemuanya oleh Nasir.

'Apakah aku kelupaan atau tiada hal yang menarik sangat untuk diingati sepanjang tempoh hampir tujuh dekad itu?' Nasir bertanya kepada dirinya sendiri.

Pertanyaan itu tergantung di langit kepekatan malam, sebaik-baik letusan mercun yang terakhir didengari gara-gara kecenderungan segelintir jiran sekampung yang ghairah bermain mercun. Sesudah itu, taman sendiri dan kampung sebelah menjadi sunyi sesunyi-sunyinya.

Jiran setaman atau jiran sekampung mungkin sudah beristirahat atau masih menonton telefilem di kaca televisyen.

"Mercun itu tanda keseronokan, Pak Nasir," Cikgu Azmi membalas bualan WhatsApp Nasir.

"Perasaan seronok memanglah betul kerana meraikan kejayaan berpuasa sebulan, tetapi…," balas Nasir, kemudian berjeda.

"Tetapi apa pula, Pak Nasir?" tanya Cikgu Azmi, segera meminta lanjutan kata-kata.

"Takkan nak berseronok sampai mengganggu ketenteraman orang lain! Jiran bukan tak marah, tetapi lebih kepada mengalah!" hujah Nasir.

"Betul juga, tetapi macam mana kita nak halang, 'dah macam satu fenomena?" tanya Cikgu Azmi, mengasak benak Nasir.

Usai bualan WhatsApp, Nasir meneruskan minatnya mencoretkan sesuatu, melayan gejolak hatinya pada status WhatsApp pula. Dia tahu, status itu akan dibaca oleh sekumpulan teman. Bagi insan seperti Nasir, mengarang ialah sejenis kerja buat yang menyeronokkan. Bagi Nasir, tiap kosa kata ada ketentuan tentang cara penggunaan bagi membentuk kalimat untuk menyemarakkan nyala rasa. Pak Nasir sudah lama sedar tentang kekuatan bahasa

dalam penyampaian fikiran dan perasaan.

Tanpa jemu, Pak Nasir menyalurkan resah dan gelisah hatinya menerusi aplikasi komunikasi yang tersedia dalam peranti. Dia arif menggunakan teknologi komunikasi yang

pelbagai jenama itu.

Keterampilan Nasir berwacana menerusi media komunikasi bukan mauduk yang asing dalam persatuan. Ahli-ahli jawatankuasa sudah maklum, Nasir selaku ketua dua memang aktif berhubung dengan ahli-ahli persatuan. Cikgu Azmi, pemimpin nombor satu dalam persatuan berbangga dengan tahap kemampuan Nasir. Sesuai sangat Nasir menjadi orang kanan Cikgu Azmi.

"Cikgu Azmi, saya sekadar tahu guna multimedia. Nak kata pandai tidaklah. Mungkin tambah pandai sedikit asbab COVID dulu," Nasir menjelaskan, tanpa dipinta.

Balas Cikgu Azmi pula, "Bertuahlah Pak Nasir, kuasai macam-macam media. Tak pandai sangat tak apa, asalkan tahu. 'Tapi, hakikatnya anak-anak kita lebih tahu daripada kita."

"Betul begitu, Cikgu Azmi. Kalau tak faham, anak yang ajar kita!" sambung Nasir.

"Semua pelantar ini menjadikan raya kita berbeza daripada dulu 'kan. Lihat, mana ada tradisi kad raya secara besar-besaran macam dulu? Yang ada poster ucapan raya dihantar menerusi media sosial," tambah Cikgu Azmi. Cikgu Azmi serta-merta teringat akan hobinya mengumpul kad raya dan setem semasa kanak-kanak dulu. Manis sungguh pengalaman itu.

"Itulah hikmah perubahan zaman 'kan. Yang penting semua orang dapat gunakan teknologi dengan cara yang betul, bukan tambah onar!" Nasir seperti bertazkirah kepada Cikgu Azmi.

Dua orang rakan sepersatuan itu memang akrab. Keakraban mereka bukan hanya diasbabkan gerak kerja persatuan penulis, tetapi lebih daripada itu. Nasir dan Cikgu Azmi boleh dianggap sebagai rakan mengeteh atau mengopi. Sesekali bilangan ahli pasukan minum petang atau minum malam itu bertambah, lebih-lebih lagi kalau ada perjumpaan persatuan.

****

"Bang Razi, masa kita kanak-kanak, bermain mercun biasa juga, bingit telinga!" Nasir sengaja memprovokasi tajuk bualan semasa minum di warung milik Razi, suatu ketika dulu, entah raya tahun bila. Lelaki lebih muda daripada Nasir itu lebih mesra disapa "Bang Razi", penggiat teater juga puisi nazam dan pantun dalam persatuan.

"Alaa, budak-budak memanglah suka main mercun, sampai sekarang!" ujar Razi.

"Saya faham, main mercun tak perlu guna pemikiran tinggi pun, ikut-ikutan! Maksud saya, mercun itu bukan tuntutan agama, juga bukan tuntutan budaya. Kita bakar mercun kerana ikut cara sambutan orang lain. Mereka buat begitu kerana ada kepercayaan yang mereka pegang," Nasir meluahkan pandangan, mungkin hasil pembacaannya.

"Kita kena didik anak cucu kita supaya berjalan dengan betul, ikut landasan, ikut budaya yang terbentuk daripada leluhur kita," sambung Nasir.

"Saya setuju, tak tolak pandangan itu, 'tapi budak-budak sekarang tak mahu dikongkong!" Razi berhujah.

"Bual, bual juga. Minumlah, air kopi sejuk nanti!" pelawa Razi, pemilik warung.

"Apa susah, kalau sejuk, boleh minta cangkir yang kedua," sambut Nasir.

"Sebenarnya, saya bermaksud, bukan menolak mercun secara mutlak. Bagi yang mengamalkan tradisi bermain mercun, mainlah ikut suasana perayaan mereka. Kalau bukan budaya kita, buat apa kita amalkan? Saya hanya nak jelaskan ikut hukum akal, rasional," hujah Nasir.

"Sudahlah Pak Nasir, kalau kita tak setuju pun, mercun tetap meletup juga!" balas Razi.

"Betul, kita sekadar bercakap daripada sudut pandangan kita. Mungkin pandangan ini pandangan warga emas, apalagi hobi kita menulis, memang kalah kepada kebisingan!" Nasir merumuskan.

****

Nasir tidak perlu diperingatkan, setakat ini. Dia sedar dan betul-betul sedar tentang bilah-bilah hari dalam kehidupannya bagaikan kelasi yang melewati detik-detik menjelang hari terakhir sebelum menyertai kelab pesara. Nasir seolah-olah sedang berada di hujung geladak ketika kapal merapati pelabuhan pada waktu senja.

Membesar dalam keluarga yang hanya ada ibu dan lima orang abang, Nasir terasuh dalam kehidupan sekadar ada. Dengan tanah sekangkang kera, ibunya dibantu oleh abang-abangnya, setia meneruskan hidup. Tanah kebun getah itu menjadi saksi kelangsungan hidup Nasir dan abang-abangnya. Apalah yang dapat diharapkan daripada suasana serba susah, terutama pada musim perayaan, khususnya Aidilfitri.

'Tak sanggup aku mengenang kisah silam. Jiran sekampung lebih kurang sama kesusahan mereka, tetapi kisah lampau tentang kesusahan aku sekeluarga ada coretan khas yang aku tak mahu imbau!' bisik Nasir.

Pun demikian, kisah silam tetap muncul dalam sanubari. Memang hidup ini terkesan daripada pengalaman silam, terpandang akan pengalaman orang lain yang hampir sama dengan pengalaman hidup. Begitu perasaan yang menggelodak dalam jiwa Nasir.

"Nasir, pak cik lebihkan setengah kilo daging ini. Masak rendang tau!" ucap lelaki yang sebaya dengan arwah bapa Nasir. Peristiwa itu bagaikan terlekat dalam ingatan, sebab kemiskinan lazimnya akan mengundang keinsafan. Nasir hidup bertemankan jiwa keinsafan.

"Terima kasih, pak cik. Emak pesan suruh beli setengah kilo saja tadi," balas Nasir.

Seakan-akan demikian dialog yang berlangsung ketika itu.

Nasir tak banyak bezanya dengan anak-anak sebaya di kampung. Dahulu, mana ada kemewahan dalam berpakaian? Kasut raya dan kasut sekolah sekali gus sama. Mana ada tukar-tukar tema warna busana raya seperti sekarang? Walaupun sekarang bukanlah bererti hidup sudah mewah, tetapi pokoknya zaman sudah berubah.

Kata orang, masa lalu ialah kenangan. Kenangan itu adakalanya diulang-ulang, secara sengaja ataupun tidak. Asbab pengulangan itu mungkin berpunca daripada lagu. Lagu raya dengan lirik yang sendu dan syahdu mendorong sesiapa saja mengimbas dan mengimbau nostalgia raya.

Nasir tak terkecuali daripada pengalaman sedemikian. Baginya, hidup di kampung banyak mendidik jiwanya. Kesusahan zaman kanak-kanak ditunjukkan oleh tahap teknologi yang belum dimajukan lagi atau belum sampai ke daerah yang dihuni.

"Mak, duit jual getah tak payah beli baju. Beli persiapan nak buat kuih. Emak suka kuih ros dan kuih baulu 'kan. Saya dan abang-abang pun suka. Lagipun pakai baju baru bukan nak pergi mana?"

Nasir belum mampu memadamkan antara ucapan yang terpahat di tugu ingatannya. Mengingati bilah-bilah hari yang berterusan dalam rentetan kehidupan sejak bapanya pulang ke pangkuan Ilahi ternyata amat memedihkan. Dengan abang-abang yang tidak terdaya mendaki bukit kecemerlangan dalam pendidikan, pekerjaan apa yang dapat dilakukan, selain kerja biasa.

Dalam kerangka mutu kehidupan yang malar biasa itu, tidak timbul sama sekali hobi bermain mercun atau bunga api. Nasir sedar sungguh kemenjadian dirinya. Warna-warni kepayahan mengajarkan semantik keinsafan kepadanya.

****

Pelabuhan senja bagaikan kalimat sejati yang bersarang dalam sukma Nasir, lelaki aktivis persatuan penulis. Teman-teman sepersatuan termasuk Cikgu Azmi, Nasrun, dan Bang Razi sudah mengenali hati budi Nasir. Hati budi Nasir ialah hati budi seorang pendidik. Benar kata pendidik arif budiman, sekali menjadi pendidik, selama-lamanya berjiwa pendidik. Macam juga mendiang Lord Baden Powell, pengasas Pengakap Sedunia

pernah bercakap, "Sekali berpengakap, selama-lamanya berpengakap."

"Raya kali ini masih ada mercun, walaupun harga barang terasa mahal. Apa kata Pak Nasir?" Cikgu Azmi merangsang minda Nasir ketika minum petang di sebuah warung kegemaran warga persatuan.

Nasir tersenyum, namun senyuman itu tampak dibuat-buat. Apa tidaknya, kawan sudah melafazkan kata kunci yang kontras kepada pendiriannya. Nasir bukan benci tak bersebab. Dia menolak amalan bermain mercun pada Aidilfitri kerana dia faham, kebisingan bukan perkara yang dituntut dalam ajaran agama.

"Aidilfitri mesti diserikan dengan takbir dan tahmid, membesarkan dan memuji Allah, tanpa ada pembaziran, apalagi pada musim harga barang agak ketat," ucap Nasir seolah-olah sedang menjadi panel forum. Dia tampak begitu skema.

Nasir pernah bercerita kepada kawan-kawan jawatankuasa. Semasa bekerja, dia pernah diberikan anugerah "Pendidik Paling Skema" oleh kumpulan pelajar semester akhir. Tidak hairanlah kalau dalam perbualan tentang mauduk biasa, Nasir ada ketikanya beremosi sehingga butir bicaranya seperti orang bercakap dalam seminar.

Aidilfitri tetap berlangsung meriah. Nasir sedar bahawa kemeriahan berpusat dalam kalbu yang mematuhi syariat. Nasir juga sedar, dia sedang beransur-ansur melewati pelabuhan senja.

- Mohamad HM atau Mohamad Musip berasal dari Melaka dan dilantik sebagai Munsyi Bahasa sejak 1985

Berita Harian X