Isnin, 22 April 2024 | 11:33am
Ramli Mahmud satu-satunya penerus tradisi Awang Batil, mewarisi seni itu daripada bapanya, Allahyarham Mahmud Wahid. - Foto fail BERNAMA
Ramli Mahmud satu-satunya penerus tradisi Awang Batil, mewarisi seni itu daripada bapanya, Allahyarham Mahmud Wahid. - Foto fail BERNAMA

Tiada pelapis, seni Awang Batil bakal lenyap

KUALA LUMPUR: "Hei! Riuh rendah gegak gempita, inilah hamba nak mula cerita, hang tengok kat aku, aku tengok kat hang..."

Sambil si tukang cerita mempersembahkan kisah-kisah Raja Dewa Lok, Abu Nawas dan sebagainya, sebuah batil akan dipukul. Dentingannya menjadi muzik latar mengiringi Awang Batil terus bercerita dengan pelbagai nada suara.

Sesekali audien berdekah-dekah ketawa ketika Awang Batil bercerita lucu, manakan tidak mengenang cerita si Abu Nawas mahu menjual matahari.

Begitu gambaran kemeriahan kisah Awang Batil yang dulunya dipersembahkan di majlis-majlis keramaian seperti kenduri kahwin malah selepas musim menuai padi. Di ruangan khas, ada kala persembahan itu berlangsung berhari-hari, tapi penonton tetap sedia mengikuti cerita Awang Batil.

Sayangnya hari ini, seni lipur lara Awang Batil yang menjadi sebahagian tinggalan sastera lisan semakin diancam kepupusan. Ketika ini, hanya seorang Awang Batil masih kekal bertahan, Ramli Mahmud yang mewarisi seni itu daripada bapanya, Allahyarham Mahmud Wahid.

Justeru, tanpa ada usaha untuk kembali memperkasakannya, seni penglipur lara ini akan berada sebaris dengan beberapa warisan lain yang makin dilupakan antaranya, Menora; Mek Mulung; Main Puteri serta opera cina, Puey Kao dan Po-te-hi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohd Yusri Mohd Yusoff ketika mengulas isu itu berkata, antara faktor kepupusan seni warisan budaya seperti Awang Batil atau Mek Mulung dan seumpamanya termasuklah isu ketiadaan pewaris atau pelapis.

Katanya, kebanyakan mereka yang mahir sudah lama sudah meninggal dunia atau uzur sehingga tidak mampu membuat persembahan.

" Ketiadaan generasi baharu yang berminat untuk mewarisi seni persembahan ini memberi kesan kepada kelangsungan seni persembahan.

"Kebanyakan seni persembahan tradisional ini diwarisi secara turun temurun dalam kalangan ahli keluarga, jadi, apabila berlakunya penghijrahan penduduk luar bandar ke kawasan bandar bagi mencari peluang pekerjaan yang lebih baik, turut memberi kesan kepada seni persembahan tradisional untuk terus bertapak kukuh," katanya ketika ditemui BH.

Seni lipur lara Awang Batil yang menjadi sebahagian tinggalan sastera lisan semakin diancam kepupusan. - Foto fail NSTP
Seni lipur lara Awang Batil yang menjadi sebahagian tinggalan sastera lisan semakin diancam kepupusan. - Foto fail NSTP

Selain itu, Mohd Yusri berkata, sesetengah teknik persembahan memerlukan kemahiran yang tinggi terutamanya apabila ia membabitkan pergerakan.

Jelasnya, ada kala kegagalan menguasai pergerakan berkaitan atau lemah dalam menguasai kemahiran yang seharusnya menjejaskan minat anak muda mempelajari seni berkenaan.

Malah, terdapat juga katanya isu kekangan dari segi bahasa yang memberi kesan kepada pewaris atau pengamal untuk belajar atau mewarisi sesuatu persembahan berasal dari sesuatu daerah mahupun negeri tertentu. Hal ini disebabkan sesetengahnya dipersembahkan dalam dialek asal yang pekat.

Justeru katanya, faktor ini menyebabkan kebanyakan seni persembahan tradisional amat susah untuk dikembangkan ke luar daripada kelompok komuniti asal.

"Masalah kekurangan ahli-ahli persembahan pada masa hadapan menjadi lebih teruk apabila tiada program perantisan yang sistematik untuk menghasilkan generasi pelapis seterusnya.

"Konsep 'one to one' iaitu antara pengamal asal dengan pelapis dilihat paling berkesan dalam melahirkan generasi pewaris yang dapat menguasai segala kemahiran daripada tokoh asal," katanya.

Tambahnya lagi, tarikan dan minat anak muda terhadap seni persembahan seperti Awang Batil juga tersekat kerana kurangnya pendedahan terhadap warisan sebegitu.

Hal ini katanya tentu saja berbeza berbanding zaman dahulu misalnya pada era 50-an atau mungkin berlanjutan hingga 90-an, yang menyaksikan seni seni persembahan sebegitu masih dipersembahkan secara terbuka di kampung-kampung.

Justeru katanya, kurang pendedahan dan pengetahuan mengenai hal itu menyebabkan generasi muda tidak lagi kenal malah tidak langsung berpeluang merasai suasana kemeriahan persembahan sebegitu.

"Peningkatan tahap pendidikan juga seterusnya menyumbang kepada perubahan cita rasa dalam kalangan masyarakat.

"Hal ini ditambah dengan perkembangan media moden dan populariti filem serta program televisyen asing menjadi faktor kepada kepupusan seni persembahan tradisional," katanya.

Tanpa ada usaha untuk kembali memperkasakannya, seni penglipur lara ini akan berada sebaris dengan beberapa warisan lain yang makin dilupakan. - Foto fail NSTP
Tanpa ada usaha untuk kembali memperkasakannya, seni penglipur lara ini akan berada sebaris dengan beberapa warisan lain yang makin dilupakan. - Foto fail NSTP

Justeru katanya, sehingga kini MOTAC menerusi agensinya Jabatan Warisan Negara (JWN) sudahpun h mengisytiharkan Ramli sebagai tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) Awang Batil pada 2015 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Selain itu, MOTAC turut mendokumentasi 11 Cerita Rakyat menggunakan Kumpulan Wang Warisan (KWW).

"Kami juga melaksanakan penerbitan buku WAKOH pada 2021 dan cetakan kedua pada 2023 selain membuat rakaman video dokumentasi WAKOH pada 2020 dan ditayangkan di laman Facebook JWN secara berkala.

Berita Harian X