Khamis, 18 April 2024 | 10:08am
Bahasa Melayu boleh diangkat sebagai bahasa ilmiah yang setanding dengan bahasa lain di dunia melalui peranan industri penerbitan buku negara. Gambar arkib NSTP
Bahasa Melayu boleh diangkat sebagai bahasa ilmiah yang setanding dengan bahasa lain di dunia melalui peranan industri penerbitan buku negara. Gambar arkib NSTP

Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah dilihat masih kerdil

KUALA LUMPUR: Membaca jambatan ilmu, peribahasa ini sering dikaitkan dengan budaya membaca yang mampu menambah pengetahuan serta menajamkan pemikiran masyarakat untuk negara berkembang lebih maju.

Keupayaan seseorang untuk menguasai sesuatu bahasa juga meningkat dengan aktiviti membaca, tambahan bahasa Melayu, bahasa rasmi negara ini yang berperanan menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.

Namun demikian, kebanyakan pejuang bahasa berpandangan, faktor seperti kemajuan sains dan teknologi, keikhlasan serta kesungguhan pemimpin serta budaya, antara cabaran utama dalam usaha mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi negara juga dilihat masih melalui proses untuk mencapai tahap ketertinggian kedudukan selaras dengan status yang termaktub sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu negara.

Persoalannya, sejauh manakah keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi dalam negara berjaya dimartabatkan dalam penerbitan ilmiah ahli akademik serta ilmuwan negara?

Profesor Adjung Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz, Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid berpandangan, bahasa Melayu boleh diangkat sebagai bahasa ilmiah yang setanding dengan bahasa lain di dunia melalui peranan industri penerbitan buku negara.

Beliau turut menekankan bahawa

"Cabaran industri perbukuan berbahasa Melayu pada masa ini ialah bagaimana untuk meyakinkan rakyat untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah kerana peranannya masih dilihat sangat kerdil dalam bidang penulisan.

"Hal ini kerana kita tidak mempunyai dasar yang jelas daripada segi bahasa pengantar dalam pengajaran subjek di universiti. Kita terpaksa akur bahawa pengajaran subjek yang cenderung kepada Sains dan Matematik mestilah diajar dalam bahasa Inggeris kerana membabitkan aspek teknikal dan kuantitatif, selain mahu menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk menuntut di universiti tempatan di negara ini.

"Banyak penerbitan jurnal saintifik, terutamanya yang bukan jurnal tempatan diimport dari Eropah, Australia serta dari persatuan-persatuan profesional, sering dipandang tinggi dan mesti ditulis dalam bahasa Inggeris untuk laris.

"Semua orang patuh kepada 'rule of the game' membuat penyelidikan dan menulis dalam bahasa Inggeris. Jadi bagaimana dengan keadaan dalam bahasa Melayu? Ia tidak mempunyai arah jelas di situ," katanya.

Zakariah yang juga bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) adalah seorang daripada ahli panel sesi forum bertajuk 'Memajukan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu' bersempena dengan Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.

Penggunaan bahasa Melayu dalam bahan ilmiah dan akademik tidak mengurangkan keilmiahan bahan itu kerana bahasa Melayu adalah bahasa ilmu yang bernilai komersial. Gambar hiasan
Penggunaan bahasa Melayu dalam bahan ilmiah dan akademik tidak mengurangkan keilmiahan bahan itu kerana bahasa Melayu adalah bahasa ilmu yang bernilai komersial. Gambar hiasan

Forum itu turut disertai Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Sheikh Faisal Sheikh Mansor, Pengurus Kandungan Penerbit Pelangi Sdn Bhd, Dr Poh Swee Hiang, dan personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya sebagai moderator.

Zakariah turut berpendapat, kemeriahan dalam penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran memang jelas ada, tetapi hanya tertumpu kepada peringkat sekolah sahaja.

"Dalam bidang ilmiah, kita masih ada lagi nampak kekurangannya sangat ketara kerana di peringkat sekolah, berdasarkan dasar pendidikan kebangsaan memang bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan.

"Namun apabila mula naik ke peringkat atas iaitu di universiti, situasi mula berubah. Jadi jika kita mahu memajukan penguasaan bahasa Melayu dan mencapai apa yang diharapkan, maka sesuatu perancangan teliti harus dilakukan," katanya

Mengulas lanjut, Zakariah berkata, perlu ada gabungan tenaga lebih serius antara penerbit dan pakar-pakar pelbagai bidang untuk menghasilkan lebih banyak penulisan ilmiah berbahasa Melayu kerana kemudahan dan infrastruktur sudah ada di depan mata.

"Kita sebenarnya mempunyai banyak kepakaran dalam pelbagai bidang dari universiti-universiti tempatan, pengalaman cukup luas dalam bidang penerbitan, serta ramai pesara pegawai kerajaan yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.

"Saya sendiri meneliti kertas-kertas laporan dan cadangan yang ditulis oleh mereka dan kebanyakannya mempunyai tahap penguasaan bahasa Melayu yang baik.

"DBP juga memainkan peranan sangat penting dalam membantu mereka menyiapkan hasil penulisan bahasa Melayu dengan baik. Jadi, kemudahan dan infrastruktur sudah ada, cuma kita perlukan satu gabungan tenaga lebih serius supaya bahasa Melayu boleh diangkat martabatnya dalam bidang ilmiah," katanya.

Menurut Zakariah lagi, antara cabaran utama penerbit dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam penerbitan ilmiah adalah dana dan proses penilaian isi kandungan asal, iaitu bahasa Inggeris diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, secara tepat dan betul.

"Cabaran utama adalah kebanyakan penerbitan ilmiah sangat teknikal, jadi dari segi libat urus ini sangat penting buat penerbit dan perlu memastikan bagaimana sesebuah buku yang mempunyai kualiti keilmiahan yang sangat tinggi dapat dipersembahkan kepada pembaca secara menarik sekaligus pokok pembicaraan penulis dapat difahami.

"Selain penilaian dari segi kandungan sesuatu penerbitan ilmiah, usaha dalam menghasilkan buku-buku ilmiah juga memerlukan sokongan dana yang besar," katanya.

Hal ini turut diakui oleh Sheikh Faisal yang berpendapat, banyak dana penggerak penerbitan buku yang masih belum diuar-uarkan dalam kalangan pemain industri, terutamanya dari segi penterjemahan dwibahasa buku-buku teknikal seperti bidang perniagaan.

"Ramai pemain industri penerbitan baharu tidak tahu bahawa kita ada pelepasan cukai untuk menderma dan menaja aktiviti penerbitan buku. Banyak negara luar turut menggalakkan aktiviti penerbitan buku dan penterjemahan dari bahasa-bahasa asing ke bahasa mereka dengan menawarkan dana lumayan.

"Hal ini kerana rakyat di negara mereka kurang membaca dalam bahasa Inggeris berbanding kita, jadi keperluan dana itu sangat penting untuk mengalihkan bahasa asing kepada bahasa mereka untuk menggalakkan penguasaan ilmu pengetahuan menerusi aktiviti membaca.

"Selain itu, penterjemahan karya berbahasa Melayu kepada bahasa asing juga adalah 'gula-gula' untuk mendekatkan budaya kita dengan negara luar. Sebagai contoh di Filipina, buku-buku budaya diterjemahkan ke dalam bahasa mereka supaya penyebaran bukan setakat buku dan isi kandungan, tetapi juga budaya asing turut diperkenalkan kepada mereka.

"Di Korea Selatan, satu dunia tahu pasal budaya mereka kerana kerajaan mereka memperuntukkan geran penterjemahan dan penerbitan yang sangat lumayan, menyebabkan budaya mereka tersebar luas ke serata dunia," katanya.

Sementara itu, Swee Hiang berkongsi, pihaknya mempunyai pengalaman 45 tahun dalam penerbitan buku ilmiah terutamanya buku teks sekolah berbahasa Melayu kerana dasar pendidikan negara menentukan kebanyakan mata pelajaran di peringkat sekolah kebangsaan, perlu diajar dalam bahasa Melayu.

"Kami bukan sahaja menerbitkan buku teks pelbagai bahasa termasuk berbahasa Melayu, tetapi juga turut menerbitkan novel remaja serta buku kanak-kanak dalam bahasa Melayu.

"Jika dahulunya kami mempunyai ramai penulis yang mahir dalam bahasa Melayu kerana kebanyakan subjek diajar dalam bahasa Melayu dan isi kandungan banyak diterjemahkan dari kandungan bahasa Inggeris ke bahasa Melayu, namun sejak Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris dalam tempoh 20 hingga 30 tahun ini, situasinya terbalik. Jadi dari segi terjemahan, kami tidak mempunyai masalah," katanya.

Swee Hiang menambah, pihaknya juga sedang mengadakan transformasi digital daripada buku-buku fizikal untuk menggalakkan lebih ramai pembaca mengakses buku-buku berkenaan di hujung jari, termasuk buku-buku berbahasa Melayu.

"Kami percaya buku-buku teks akan datang iaitu pada tahun 2027, separuh daripada penerbitannya adalah dalam bentuk digital, maka pasaran untuk buku-buku digital akan berkembang dan masa depan penerbitan buku-buku bahasa Melayu kami, termasuk bentuk digital dan fizikal akan menjadi semakin rancak dan hebat," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X