Rabu, 17 April 2024 | 10:26am
Pengarang Singapura, Audrey Tan menjadi satu-satunya pengarang dari Asia Tenggara yang berjaya menembusi senarai pendek Hadiah Cerpen Komanwel 2024. Gambar ihsan Yayasan Komanwel
Pengarang Singapura, Audrey Tan menjadi satu-satunya pengarang dari Asia Tenggara yang berjaya menembusi senarai pendek Hadiah Cerpen Komanwel 2024. Gambar ihsan Yayasan Komanwel

Pengarang Singapura dalam senarai pendek Hadiah Cerpen Komanwel 2024

London: Pengarang Singapura, Audrey Tan menjadi satu-satunya pengarang dari Asia Tenggara yang berjaya menembusi senarai pendek Hadiah Cerpen Komanwel 2024.

Tiga lagi penulis yang mengisi tempat dalam senarai pendek didominasi pengarang India.

Tan, tersenarai menerusi cerpennya The Women Upstairs, manakala tiga lagi pengarang masing-masing Ajay Patri menerusi cerpen Mother May I; Bharath Kumar (Thambi,Thambi) dan Sanjana Thakur (Aishwarya Rai)).

Thakur juga adalah pengarang termuda yang berada dalam senarai pendek hadiah sastera berkenaan bagi tahun ini.

Yayasan Komanwel yang menyelenggarakan pengiktirafan berkenaan menerusi kenyataan akhbarnya berkata, mereka menerima 7,359 penyertaan untuk tahun ini daripada 53 negara Komanwel, peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding tahun lalu.

Daripada jumlah itu sebanyak 414 penyertaan diterima tidak ditulis dalam bahasa Inggeris.

Malah kali ini, pengiktirafan itu juga menyaksikan pengarang dari Mauritius, Rwanda serta St Kitts dan Nevis juga berada dalam senarai pendek buat pertama kalinya.

Hadiah Cerpen Komanwel diselenggarakan oleh Yayasan Komanwel. Ia menawarkan hadiah sebanyak £2,500 (RM14,892) bagi pemenang wilayah, manakala £5,000 GBP (RM29,783) bagi pemenang keseluruhan.

Pemenang wilayah akan diumumkan pada hari 29 Mei, manakala pemenang keseluruhan akan diumumkan pada 26 Jun 2024.

Berita Harian X