Isnin, 15 April 2024 | 11:23am

Cerpen BH Ahad: Syawal nan dirai

"ORANG Bandar memang macam tu' nak duduk hotel, nak duduk homestay, tak betah nak bersesak-sesak bentang narita macam kita dulu-dulu." Hazlina mengomel sambil tangannya mengacau dendeng di atas tungku. Mak hanya pegun tidak menjawab sepatah pun kata-kata Hazlina.

"Aurat, Na, bukan masalah selesa. Zaman dulu-dulu kita pun tak faham sangat agama. Dengar ceramah gitu-gitu. Tidur bergelimpangan dengan sepupu sepapat kan aurat." Razman membetulkan salah faham Hazlina yang lepas cakap mengata birasnya Khadijah tidak mahu bermalam di rumah pusaka.

"Alasan." Hazlina menjuihkan bibirnya sambil menjeling suaminya. Razman hanya menggeleng kesal. Dia tahu benar isterinya itu memang menggerutus bagai buluh di perun. Bimbang betul Razman kata-kata Hazlina membikin hati Mak terguris.

"Tu, Razif dah sampai." Mak bingkas bangun melihat kereta Razif laju menuju ke simpang rumah.

"Balik dah anak kesayangan mak." Hazlina berbisik di telinga Razman meniupkan api cemburu. Betullah hanya syaitan diikat di bulan Ramadan namun nafsu manusia tetap tidak dapat dikawal. Razman tidak berasa hati dengan hasutan Hazlina, dia sendiri sayangkan Razif, adiknya itu sangat memuliakan mak dan adik beradik. Adik iparnya Khadijah juga sopan santun dan berpekerti mulia menyantuni mak. Razman tahu hanya Hazlina yang cemburu buta. Mak tak pernah membezakan anak menantu.

"Khemah?Buang tabiat betul, yang aneh-aneh je orang bandar ni." Hazlina ketawa mengejek. Apabila melihat Razif mengeluarkan alat-alat khemah untuk dipasang di luar halaman rumah mak.

"Jaga mulut, Na. Bulan puasa ni. Razif tak susahkan kita pun. Macam-macam dia bawa untuk kita sekeluarga. Kalau tak ada sikit malu untuk diri Na, jaga air muka abang." Razman sedikit kecewa kerana sudah ditegur sopan mulut Hazlina masih lancang.

"Cantiknya khemah, kami nak tidur sini jugalah." Raina dan Rafiq menjerit keriangan melihat khemah dipasang Razif boleh memuatkan 8 orang dengan selesa.

"Boleh, nanti Raina tidur dengan Qhalish, Qamariyah dengan Mak Teh. Perempuan satu khemah." Razif mengusap kepala Raina dan Rafiq.

"Rafiq?" Rafiq sedih namanya tidak disenarai.

"Lelaki tidur dengan Pak Teh lah. Hahahaha. Khemah kita ringkas sikit khemah Mak Teh ada tilam, ada penyejuk udara. Perempuan kan istimewa."

"Wah!!!" Raina dan Rafiq berteriak kegembiraan.

"Rafiq, Raina dah pergi mandi." Hazlina menjerit memanggil anak-anaknya, sengaja dia tidak suka mereka bergaul mesra dan meminta-minta dengan Razif. Razif meminta Raina dan Rafiq cepat menyahut panggilan Hazlina, dia tahu jika silap sedikit nanti Rafiq dan Raina akan dimarahi lebih teruk lagi. Mak duduk di kerusi malas ralit melihat Razif memasang perkakasan khemah. Razman juga telah siap menyimpan dendeng ke dalam periuk lain cepat bingkas membantu Razif menyiapkan khemahnya. Dia tahu Razif sentiasa ingin yang terbaik untuk keluarga di samping menjaga batas aurat ahli keluarganya. Tahun lepas dia memilih tinggal di rumah inap desa hanya untuk tidur bagi membolehkan aurat isteri dan dua anak perempuannya terpelihara. Di rumah Mak nanti ada lagi adik beradik lelaki, anak-anak saudara lelaki yang akan pulang. Walaupun ada empat bilik dan dua bilik air namun menjelang perayaan jumlah kemudah ini tidak mencukupi. Kali ini Razif mendapat idea mendirikan khemah yang selesa dan juga membawa tandas mudah alih dengan alatan yang biasa digunakan ketika perkhemahan mereka. Serba molek perancangannya, hati Mak tidak terluka jika ada yang berkata dia sengaja tidak mahu tidur di rumah Mak. Mak sebenarnya tidak kisah kerana Razif akan pulang jam 12 tengah malam dan selepas subuh telah sampai semula ke rumah mak.

"Opah rasa, opah tidur dalam khemah. Qhalish dan Qamariyah ambillah bilik opah." Mak sengaja mengusik Qhalish dan Qamariyah.

"Boleh opah, kita tidur sama-sama. Ayah pasangkan tilam paling selesa untuk opah." Tutur Qamariyah seperti bangsi buluh perindu. Sememangnya didikan Razif dan Khadijah kepada Qamariyah dan Qhalish terserlah menyantuni orang berusia dengan beradab walaupun hasrat Mak hendak mengusik tetap dilayan baik.

"Khadijah dah siap kan kek mentega, kek kurma, kek lapis dan biskut kegemaran mak. Abang long dengan Kak Long suka kek sarang semut kan? Pun ada." Khadijah mengeluarkan semua kek dan kuih muih yang telah disediakan dari rumah, semua dikeluarkan dari beg kertas cantik dalam bekas lutsinar.

"Beli ke buat sendiri?" pangkas Hazlina.

"Ada yang saya beli daripada jiran, kawan pejabat ada juga yang sempat saya buat sendiri." Jawab Khadijah jujur dan senyum nipis. Dia tahu Hazlina tidak menyenanginya.

"Terima kasih, Khadijah." Razman menyenggol lembut siku Hazlina

"Orang bandar memang macam tu' senang boleh tunjuk-tunjuk jadi lah kuih dan keknya. Kalau ada duit semua jadi. Kita ni di kampung semua masak sendiri." Hazlina senyum bangga.

"Ye, Kak Long pandai memasak, Razif suka dendeng Kak Long. Saya niat sokong jualan jiran-jiran, kawan-kawan yang cari duit lebih menjelang raya." Khadijah mengiyakan kata-kata Hazlina bagi mengelak perbalahan. Semua jeda. Mak hanya diam memerhati dan berdehem.

"Janganlah kita tebas buluh serumpun. Hari baik bulan yang baik, marilah kita sama-sama bermuafakat meraikan perbezaan. Mak sayang semua anak-anak dari yang sulung sampai yang bongsu, cucu mak semua sama baik dari rahim anak mak atau menantu dunia akhirat. Opah sayang cucu- cucu opah, mari peluk opah." Ketika Mak meminta cucu-cucunya datang memeluknya kedengaran bunyi hon di luar rumah. Mak melepaskan diri daripada pelukan cucu-cucu yang memeluknya erat melihat anak-anak yang lain di halaman.

"Abang Ngah, Alang, Acik, Ucu semua dah sampai." Razif memberitahu kepada mak.

"Cantik weh,khemah Bang Teh." Ucu meminta kebenaran Khadijah untuk melihat khemah wanita yang dihias lampu kelip-kelip.

"Kami sajalah tidur di khemah. Geng wanita boleh tidur di dalam." Ucu memberi saranan. Dia tahu gambar raya kali ini boleh dimuat naik ke laman sosial. Cantik betul khemah Razif dihias dengan tema Aidilfitri.

"Bagus juga idea tu. Selesa. Mari menantu yang nak tidur di bilik mak bentang tilam." Mak setuju dengan saranan Acik. Melihatkan khemah mewah dipasang Razif sesiapa sahaja selesa dan mahu beralah tidur di luar rumah.

"Acik bawa tilam lipat baharu." Acik menunjukkan tilam lipat baharu miliknya yang cantik berlatar belakang animasi Upin Ipin yang menjadi rebutan anak-anak saudaranya. Mereka semua mengejar Acik untuk mendapatkan tilam itu.

"Siapa basuh pinggan, Acik bagi tilam ni." Ujarnyanya kepada anak-anak saudara. Namun mereka semua bertempiaran lari meninggalkan Acik, "Sudahnya, Acik juga lah kena basuh pinggan ye?"

"Abang long ke mana mak?" Ucu mencari kelibat Razman yang tidak kelihatan dari tadi. "Ke masjid." Jawab Hazlina datar. Melihat kemeriahan adik beradik Razman dia berasa cemburu sebenarnya. Hazlina dibesarkan di rumah anak yatim dan setelah bernikah dengan Razman dia tinggal dengan Mak. Sebenarnya dia cemburu dengan kasih sayang mak kepada semua anak menantu yang lain, kalau boleh biar Mak sayang pada dirinya, anak-anak dan Razman sahaja. Lagipun pada Hazlina mereka yang tinggal dan menjaga Mak, memang sepatutnya Mak melebihkan Razman sebagai anak sulung. Razman pulang dari masjid disambut penuh kasih sayang adik-adiknya. Semua berebut bersalam dan memeluk Razman bergilir-gilir. Mereka hanya bersalaman dengan Hazlina tadi kerana layanan yang dingin. Hazlina bingkas meninggalkan Razman bergembira dengan adik beradiknya di halaman. Razman tahu benar akan angin isterinya. Selepas adik-adiknya masing-masing mengurus diri dia mengekori Hazlina di dapur.

"Na, kasih sayang mak pada kita tak pernah kurang. Kita duduk sini atas belas ihsan kasih sayang dan hormat adik-adik pada abang. Tiap bulan mereka hulur belanja sebab jaga Mak. Padahal, Mak tu tak perlu kita jaga pun. Mak masih sihat dan uruskan diri sendiri. Abang ni harapkan hasil sawit arwah ayah aja, yang patutnya adik-adik juga merasa hasilnya. Tapi, semua mereka serahkan pada abang. Tak akan kita nak jadi hamba yang kufur?" Razman memujuk Hazlina. Dia faham akibat trauma tinggal di rumah anak yatim, tanpa kasih sayang ibu dan ayah kandung Hazlina berada dalam lingkungan tidak selamat. Perasaan akan dibuang, ditinggalkan, dipinggirkan dibawa bertahun-tahun sehinggalah dia menjejakkan kaki ke rumah ini. Hazlina menyedari traumanya itu, dia takut kehilangan dan tak percaya kasih sayang melimpah ruah dan boleh dikongsi.

"Na, minta maaf." Hazlina menangis semahunya. Trauma menjadi anak yang dibuang di longkang tanpa tahu asal usul, dibesarkan di rumah anak yatim, tidak menjadi pilihan sesiapa, bukan kesayangan sesiapa tanpa harapan dan tempat berpaut. Mak dan Razman adalah segala-galanya bagi Hazlina.

"Maaf, Khadijah mengganggu." Khadijah yang ingin menggunakan tandas di dapur cepat meminta diri kerana melihat Hazlina menangis sedang Razman menenangkan.

"Maafkan, Kak Long. Tak apa, tak ada apa-apa. Pergilah guna tandas tu." Hazlina mengesat air matanya. Dia tahu dia yang tamak. Sedangkan layanan Mak padanya tidak sedikit dibeza-bezakan dari menantu yang lain walaupun jika dia bercermin peribadinya tidak semurni anak-anak atau menantu perempuan Mak yang lain. Syawal kali ini mungkin permulaannya Hazlina mencuci segala trauma lama.

- Penulis ini berasal dari Perak dan berkelulusan dalam bidang undang-undang.

Berita Harian X