Sabtu, 6 April 2024 | 8:59pm
Seni tradisional imigongo dihasilkan daripada najis lembu, kini mendapat nafas baharu sebagai simbol budaya dan kesatuan di Rwanda. - Foto AFP
Seni tradisional imigongo dihasilkan daripada najis lembu, kini mendapat nafas baharu sebagai simbol budaya dan kesatuan di Rwanda. - Foto AFP

Lukisan tradisional daripada najis lembu jadi simbol kesatuan selepas genosid

KIREHE, Rwanda: Seni lukisan tradisional Tutsi diperbuat daripada najis lembu berusia 200 tahun dikenali sebagai imigongo mendapat nafas baharu tiga dekad selepas tragedi penghapusan etnik pada 1994 dengan menjadi simbol kebudayaan dan kesatuan.

Dikenali dengan corak hitam dan putih, imigongo dipercayai ramai dicipta seorang putera etnik itu pada abad ke-19.

Putera Kakira mencampurkan najis lembu dengan abu untuk menghasilkan bahan yang digunakan untuk melukis corak tiga dimensi di dinding istananya di kerajaan Gisaka yang terletak di timur Rwanda.

Tradisi itu dinamakan sempena 'umugongo', iaitu perkataan dalam bahasa Kinyarwanda bermaksud 'tulang belakang' disebabkan garis lengkungnya dan menjadi popular dalam kalangan penduduk luar bandar.

Golongan wanita akan menggunakan najis lembu dan bahan berwarna diperbuat daripada baja, tanah liat dan getah aloe untuk menghiasi rumah.

Pengasas Kakira Imigongo Cooperative, Basirice Uwamariya, berkata beliau mula menghasilkan seni itu sejak berusia 15 tahun.

Bagaimanapun, genosid 1994 yang menyasarkan minoriti Tutsi hampir menghapuskan seni tradisi itu apabila 15 anggota persatuannya terkorban dalam pembunuhan yang meragut kira-kira 800,000 nyawa, termasuk kelompok moderat Hutus.

Basirice sendiri kehilangan suaminya dan ramai sanak-saudara, menjadikannya sebatang kara untuk memelihara dua anak lelakinya.

"Saya rasa dunia gelap dan sunyi," kata wanita berusia 53 tahun itu mengenang bagaimana kesunyian itu mendorongnya untuk menghidupkan semula persatuan berkenaan dan memanggil semula mangsa yang terselamat lain untuk menyertainya.

Sejak itu, imigongo mula berevolusi.

Corak tradisional itu hidup bergandingan dengan reka bentuk moden menampilkan anekawarna. Pigmen semulajadi digantikan oleh cat komersial.

Reka bentuk imigongo menarik perhatian studio dan butik fesyen golongan atasan, menghiasai pakaian dan seni kayu, sekali gus turut mencuri perhatian warga asing.

Menurut Pengurus Azizi Life Studio di Kigali, Theoneste Nizeyimana, tradisi itu asalnya lebih tertumpu di timur Rwanda.

"Namun selepas genosid memusnahkan segala-galanya, orang ramai mula terfikir bagaimana mereka dapat mengembalikan semula budaya. Hari ini, imigongo dihargai oleh semua warga Rwanda, tidak hanya Tutsi.

"Imigongo dapat menyatukan semua orang," katanya sambil menjelaskan butik dan studio di Kigali mengadakan kelas melukis kepada pelajar berusia daripada 4 hingga 75 tahun. - AFP

Berita Harian X