Isnin, 1 April 2024 | 9:59am
Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya Prof Madya Dr Norhayati Ab Rahman. Gambar arkib NSTP
Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya Prof Madya Dr Norhayati Ab Rahman. Gambar arkib NSTP

"Dahulu sastera dianggap hiburan"

KUALA LUMPUR: Penulisan sejarah sastera di Malaysia kerap mencicirkan beberapa pandangan yang sesetengahnya dianggap tidak selari dengan naratif semasa selain kecenderungan menggunakan pendekatan diakronik sehingga banyak fakta tidak diterokai secara kritis.

Malah dalam konteks sastera di Negeri-Negeri Selat (NNS), kajian dan penyelidikan lebih banyak tertumpu kepada Munsyi Abdullah walaupun tulisannya banyak dicirikan oleh pembentukan NNS itu.

Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya Prof Madya Dr Norhayati Ab Rahman, berkata tokoh pada zaman sastera tradisional yang diketahui umum hanya mengenai Munsyi Abdullah, tetapi sebenarnya sejarah sastera Tanah Melayu pada ketika itu dicirikan oleh pembentukan NNS.

"Tapi sejarah sastera pada zaman NNS adalah vakum dan tidak dimasukkan dalam penulisan sejarah sastera kita berkenaan Pulau Pinang, Melaka dan Singapura, berbanding sejarah lain di negeri-negeri yang mempunyai raja.

"Di NNS ketika itu Inggeris datang memerintah dan campur tangan dalam banyak urusan termasuk budaya dan agama.

"Dari sudut diakronik, zaman itu dianggap lompong dalam sejarah sastera Melayu dan kelompongan terbabit diisi oleh pemikiran orientalis yang bergerak di NNS," katanya Siri Diskusi Buku DBP-APM 2024 yang disiarkan dalam laman sosial rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini.

Dalam rancangan itu, Norhayati mengulas naskhah Yang Terlepas, Tersisih dan Terasing ; Kajian Bandingan Kajian Penulisan Sejarah Sastera di Nusantara oleh Noridah Kamari, terbitan DBP.

Norhayati berkata, terdapat dua kaedah yang selalu digunakan dalam penulisan sejarah sastera iaitu pendekatan diakronik (menganalisa atau meneliti suatu kejadian dari awal sampai akhir peristiwa) dan sinkronik (melihat pengaruh terhadap satu-satu kejadian).

Tambahnya, menerusi pendekatan diakronik, sastera dilihat sebagai hiburan semata-mata.

"Sarjana hanya mengumpul dan menyusun tetapi tidak memberi sebarang kritikan atau pandangan dan pemikiran terhadap sesuatu karya.

Hal ini katanya, seperti ditegaskan Noridah dalam buku berkenaan menyebabkan sejarah sastera tempatan menyisihkan bahagian penting yang berlaku di tanah air.

Bagaimanapun, pada 1970, pendekatan diakronik ini mulai berubah kepada pendekatan sinkronik, yang menyaksikan sarjana Barat terutamanya mula menumpukan pada bahagian-bahagian tertentu dan mengkajinya dengan lebih dekat dan ilmiah.

Melaluinya, penghayatan sastera berubah, ia bukan lagi sebagai hiburan semata-mata tetapi juga untuk pembinaan intelek masyarakat.

Katanya, penulis melihat bahawa pada abad ke-19 adalah zaman peralihan antara sejarah sastera Melayu tradisional dengan sastera moden.

"Apabila kita menggunakan pendekatan sinkronik dalam kajian bandingan, ia memberi fokus kepada tahap konstruksional yang boleh mendedahkan perkara-perkara dominan yang diabaikan sebelum ini.

"Ia termasuklah bentuk penjajahan, pemikiran orentalis, gerakan mubaligh Kristian, teknologi percetakan dan bahan-bahan bacaan Kristian dalam bahasa Melayu yang membentuk satu sistem yang janggal dan tidak seiring dengan naratif sejarah sastera Melayu pada zaman lain dan hanya ada pada ketika itu.

"Bahan sastera lokal yang dominan pada abad ke-19 dihasilkan oleh orang Barat dengan pertolongan dan kerjasama Orang Melayu.

"Ketika itu, karya-karya yang berbaur Kristian sangat dominan selaras dengan agenda Barat untuk menyebarluaskan fahaman Kristian di NNS, khususnya kepada orang Melayu Islam dan karya ini dikelompokkan dan diistilahkan sebagai 'sui generis' (tersendiri).

"Penulis menjelaskan dalam naskhah itu anomali (penyimpangan daripada peraturan) dalam penulisan sejarah sastera Melayu ketika itu merujuk kepada karya sui generis yang tidak termasuk dalam genre tertentu dalam bahan sastera yang sedia ada.

"Jenis sastera ini mewakili sebahagian masyarakat yang mandiri, minoriti atau pihak yang ingin disisihkan daripada sejarah dan ia banyak ditemui di Negeri-negeri Selat pada abad ke-19, yang tidak diterima sebagai sastera Melayu kerana berbaur Kristianiti," katanya.

Norhayati berkata, ia dapat dilihat melalui petikan kisah-kisah daripada kitab Injil, digubah semula menjadi cerita pendek dan diterjemah ke bahasa Melayu.

Antaranya cerita Derihal Isa Almaseh, cerita Derihal Raja Daud dan beberapa lagi dalam tulisan Rumi selain ada juga cerita Hikayat Bapa yang Cintakan Ananya, Hikayat Orang Berkasihan dan Hikayat Orang Kaya yang Bodoh.

"Semua ini diceritakan namun tidak diambil peduli," jelasnya lagi.

Katanya, penulisan sejarah sastera Melayu banyak memanfaatkan pendekatan diakronik yang bersifat makro dan konvensional.

"Anomali-anomali hanya dapat diserlahkan melalui pendekatan sikronik yang bersifat mikro. Pendekatan sinkronik akan menyerlahkan semua lapisan realiti yang wujud pada satu-satu masa dan memberi gambaran lebih adil terhadap sistem sastera yang wujud.

"Penulisan sejarah sastera kita perlu dikemaskini dari semasa ke semasa. Karya dan tokoh baharu harus dianalisis dalam konteks sejarah sastera," katanya.

Berita Harian X