Isnin, 1 April 2024 | 9:55am

Cerpen BH Ahad: Saya, 1981 dan Ramadan

1: SAYA

SAYA sedar dan tahu siapa diri saya. Sejak kecil, di sekeliling rakan sebaya ketika masih di usia anak, sayalah yang paling kurang berpunya di antara mereka. Di kampung sebelah ibu dan nenek, kerana berbapakan seorang lelaki keturunan Jawa, bila setiap kali saya membantah kata cerca mereka, saya selalu dikatakan oleh saudara

mara sebagai anak orang luar. 

Kerana sikap suka melawan, saya sering disisihkan oleh kawan-kawan dan untuk menghilangkan rasa bosan, saya berasa lebih seronok dan senang merayau sendirian di dalam semak di sekitar kampung memerhatikan burung yang hinggap di dahan-dahan atau mengutip buah kemunting  atau merayau tanpa sebarang tujuan di sekitar kampung.

Hidup keluarga kami kian terjepit setelah bapa pergi ke alam abadi. Sedar dan insaf betapa saya hidup di dalam keluarga yang kurang mampu, saya mengajar diri untuk tidak terlalu berharap dan bersedia untuk menerima apa sahaja secara apa adanya dengan hati rela.

Saya tidak berasa sedih dan kecewa ketika alam persekolahan saya terpaksa ditamatkan setakat tahun satu di sekolah menengah. Untuk menampung hidup dan menyara diri sendiri, saya memutuskan bekerja ketika menjengah usia 16 tahun.

Ketika kawan sebaya setiap pagi berseragam dan berbondong-bondong menaiki bas menuju ke sekolah di bandar, saya pula bersama para gerombolan pekerja ladang menaiki traktor membelah dingin pagi.

Memang saya punya hasrat untuk terus bersekolah dan kemudian meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Tetapi sekali lagi, saya tidak ingin terlalu berharap dan mengajar diri untuk bersedia menerima kenyataan hidup saya pada waktu itu seperti apa adanya.

Betapa pun dijengahi rasa sedih, tertekan atau kecewa. Namun semua perasaan, tekanan dan rasa kecewa ini tidaklah sampai mematahkan semangat saya untuk meneruskan hidup.  Ketika semakin meningkat usia dan menjadi dewasa, keinsafan ini mengajar saya menjadi manusia yang tidak mudah putus asa apa bila berdepan

dengan sesuatu hadangan dan pelbagai dugaan hidup.

2: HARI INI 

Hari ini, sesekali ketika sunyi dan bersendirian, saya kembali merenung dan berfikir. Sudah demikian jauh saya hidup dan berjalan. Dengan apa yang saya ada, capai dan miliki, saya sentiasa mengucapkan syukur. Malah  bila difikirkan kembali, dengan segala duga yang pernah saya lalui ketika usia muda dahulu, dan hari ini saya masih mampu dan bertahan sebagai manusia, yang walau hanya seadanya, saya tetap ingin mengucapkan syukur serta berterima kasih kepada Tuhan yang tetap sudi memelihara diri saya.

Saya fikir, kerana sudah melatih diri sejak usia remaja untuk hidup bersendirian itu jugalah maka saya tidak pernah berasa terlalu tergugat,  sakit, pedih dan kecewa apabila berasa atau menyedari diri saya seperti sudah tidak begitu diperlukan, cuba ditolak atau disisihkan oleh kelompok, kawan-kawan atau golongan tertentu.

Mungkin muncul sekejap rasa terkilan. Namun rasa itu tidaklah sampai mematahkan semangat atau rasa percaya saya kepada diri saya sendiri. Apa lagi bila saya kenangkan, betapa hadir dan wujudnya saya di sini bukanlah kerana mereka atau sesiapa yang bergelar dan bernama manusia.

Kerana, saya mempercayai, meyakini dan menyerahkan seluruh hidup dan mati saya, hanya kepada Allah Azzawajalla!

Semua kini tinggal menjadi kenangan. Saya sedar dan tahu. Setiap kali bersendirian di ruang ini, merenung satu demi satu deretan buku yang sengaja disimpan untuk keperluan rujukan dan sejumlah buku lain yang menerakan nama sendiri, fikiran ini akan kembali melayah jauh ke masa yang silam.

Masa silam yang penuh dengan duga dan kepayahan. Bergulat dan bertatih sendirian demi harapan, cita-cita dan dan impian.

Walau ada waktunya muncul rasa gundah, malu dan rendah diri tatkala mengenangkan hidup masa kecil berbapakan seorang yang sentiasa dicemuh dan dicaci sebagai orang luar, namun demi cita-cita dan impian, segalanya berusaha ditelan serta dilupakan.

Apa lagi setelah bapa pergi ke alam abadi dan hidup sebagai keluarga tidak berharta, cemuh dan caci semakin bertubi. Kiranya bertelagah dan berkelahi ketika bermain sesama sendiri, keturunan bapa jugalah yang diungkit dan disebut. Kerana jengkel dan bosan mendengar segala cerca, diri semakin menjadi manusia pelawan.

Setiap kali kembali mengenangnya, di benak jelas terpapar segala gambaran. Namun tiada secuil pun rasa sesal dan kecewa.

Masa kini telah menjadi bukti. Segala rasa sedih kecewa yang dilawan dengan semangat tidak mahu menyerah dan mudah mengalah kini telah membuahkan ganjaran setimpal atas segala pengorbanan. Setelah hari-hari sunyi dan pedih itu dilewati, kini waktunya menatap cerah matahari dan menikmati manisnya buah kejayaan.

3: 1981

Masih saya ingat petang itu. Sebaik sahaja selesai menunaikan kewajipan, saya bergegas mengayuh basikal milik saya menuju ke bandar. Tujuannya mahu ke sebuah dewan di mana nanti malam akan berlangsung satu majlis baca puisi anjuran sebuah persatuan.

Sebaik sahaja tiba ke sana dan merantaikan basikal milik saya ke sebatang tiang di suatu sudut di belakang dewan yang saya agak tidak mengganggu pandangan dan selamat, saya bergegas mencari seorang kawan yang menjadi salah seorang ahli jawatankuasa penganjur acara.

Kepada kawan ini, ketika senja itu, saya merayu dan mengharapkan ihsannya yang ditugaskan sebagai pengacara majlis baca puisi tersebut, yang saya kenal baik dan dia pun memang tahu bahawa saya sudah pun menyiarkan beberapa sajak di media, agar nanti sudi memanggil nama saya untuk naik ke pentas dan membacakan sebuah sajak.

"Di bahagian paling akhir sekali pun memadailah," kata saya dan kawan ini menjawabnya dengan angguk.

Dan saya menunggu. Hingga majlis berakhir, ramai yang tampil membacakan sajak, dan mereka itu saya tahu tidak pernah pun menyiarkan sajaknya di mana-mana, tetapi saya, yang sudah menyiarkan beberapa sajak di sebuah majalah sastera, tetap tidak dipanggil.

Hati saya memang rasa tersentuh. Ketika saya perlahan-lahan mendorong basikal yang saya tunggangi untuk pulang sendirian ke rumah sewa malam itu, teman itu datang menghampiri saya.

"Aku ingin memanggil kau di bahagian akhir acara. Tetapi beberapa orang kuat dalam persatuan yang menganjurkan majlis baca sajak itu yang menghalang. Kata mereka kau bukan siapa-siapa dan belum waktunya untuk diberikan ruang dan peluang sebegitu."

Saya tahu dan sedar semua itu bukan salah kawan saya. Selain dia, masih ada lagi beberapa orang kuat di dalam persatuan itu yang lebih berkuasa. Malam itu, hati saya memang berasa amat tersentuh dan ketika saya bersendirian pulang mengayuh basikal meredah gelap malam larut yang dingin itu, hujan merenyai

turun. Saya kebasahan dan tanpa sedar menitiskan air mata. Sambil perlahan meneruskan kayuhan basikal dan menyapu air mata, saya berfikir.

"Demikianlah cara mereka menerima dan memandang saya di sini. Saya mungkin tidak ingin mereka perhitungkan kerana walau sudah hidup di sini sejak usia kecil, namun tetap dianggap orang luar dan asing!"

Sejak malam itulah, saya bertekad untuk membuktikan bahawa saya bukan seekor lipas yang boleh sesuka hati hendak dihalau atau diinjak.

Untuk membuktikan itu saya tahu, caranya tidak lain, saya akan terus menerus menulis dan tak ingin menoleh lagi kepada mereka. Saya tahu siapa saya di mata kebanyakan mereka.

Saya tidak akan berharap dan meminta apa-apa lagi daripada mereka. Apakah itu sedikit ruang dan peluang untuk bergerak dan berseni, atau kesempatan dan jemputan untuk tampil mempersembahkan karya saya, atau juga anugerah, hadiah atau pun penghormatan daripada pihak mereka.

Begitulah. Sehingga kini dan sesudah semakin usia meningkat, tanpa menoleh saya berusaha untuk terus menerus berkarya dan hasilnya, sejumlah buku saya telah pun diterbitkan.

Demikian juga kekecewaan saya pada malam itu. Saya sudah lama menawarkan dukanya bila sudah beberapa kali diundang keluar negara, ditaja sepenuhnya oleh pihak yang mengundang, untuk membacakan beberapa sajak. Hanya membacakan sajak!

Kini, saya tetap berada di sini. Dengan kesedaran dan pendirian yang demikian. Saya tak pernah ingin mengharapkan apa-apa daripada mereka di sini lagi, atau kini, daripada sesiapa pun. Saya tidak ingin dan tidak akan meminta apa-apa kepada sesama manusia!

Kerana, rezeki, hidup dan mati saya, saya sedar dan tahu, bukan ditentukan oleh mereka yang bernama sesama manusia, apa lagi oleh manusia yang tamak dan serakah, seperti sebagian besar mereka yang bercokol di singgahsana itu!

Kini malah, dengan kesedaran serta keyakinan sedemikian itu, saya tidak pun berasa kecut dan takut, andai ada yang berkata dan berniat mahu menggusur, menolak dan menyisihkan saya. Kerana, di usia yang semakin menua ini, yang saya buru dan kejar bukan lagi hal-hal yang sifatnya terlalu keduniaan.

4: RAMADAN

Di bulan mulia Ramadan ini, saya kembali terkenangkan sahabat saya itu. Sudah lama saya tidak mendengar khabar dan berita dirinya.

Sejak peristiwa malam itu, saya semakin menjauhkan diri dan memilih lebih senang bersendirian. Waktu lapang yang saya miliki saya isi dengan membaca dan terus berusaha meningkat mutu karya sendiri. Hanya sesekali, jika ke kedai buku, saya bertembung dengan sahabat itu.

Kerana tidak mahu menyesakkan fikiran dengan persoalan yang tidak sepatutnya saya fikirkan, saya mengelak untuk bertanya mengenai penglibatan dirinya di dalam persatuan itu.

Sebagai sahabat, saya sentiasa memperhatikan perkembangan diri dan karyanya daripada jauh. Setiap minggu atau bulan, ketika membeli akhbar atau majalah, selalu saya mencari-cari apakah ada karya sahabat saya ini yang disiarkan.

"Orang baru seperti kita tidak boleh lekas mengalah. Kita kena tetap dan terus membaca serta menulis. Pasti nanti akan ada yang disiarkan. Hanya perlu bersabar," begitulah selalunya saya ucapkan kepada sahabat saya ini.

Saya harap kata nasihat saya itu tidaklah sampai dia anggap hendak menyindir atau menggurui dirinya. Apa yang saya cakapkan itu hanya berdasarkan apa yang telah saya lalui dan niat saya tidak lain, hanya ingin melihat sahabat saya itu sama berjaya menulis dan menyiarkan karyanya di akhbar atau majalah.

Semakin usia meningkat kami pun seperti para pemuda yang lain pada tahun 1981 itu, sibuk dan tekun berusaha untuk meningkat taraf hidup dan diri masing-masing. Seperti manusia normal yang lain, kami pun membina keluarga dan bertungkus-lumus berkerja demi keluarga pula.

Tumpuan dan kesibukan sedemikan, semakin menjadi saya semakin terlupa mengenai sahabat saya itu.

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya harap, jika sahabat saya itu terbaca catatan saya ini, dia akan sudi menghubungi atau kembali bertemu saya. Saya yakin, dia tahu di mana dan bagaimana untuk menghubungi saya. Insya Allah.

- Marsli NO lahir di Kerteh, Terengganu dan kini menetap di Kuantan, Pahang. Beliau sudah menerima pelbagai hadiah sastera antaranya Anugerah Penyair Nusantara 2015.

Berita Harian X