Rabu, 27 March 2024 | 1:34pm
 Sejarah Malaysia tidak bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka sekitar 14000 Masihi sebaliknya menjangkau ribuan tahun lebih lama daripada itu berdasarkan dokumentasi pensejarahan Kedah Tua. Gambar Arkib NSTP
Sejarah Malaysia tidak bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka sekitar 14000 Masihi sebaliknya menjangkau ribuan tahun lebih lama daripada itu berdasarkan dokumentasi pensejarahan Kedah Tua. Gambar Arkib NSTP

Sejarah Malaysia tidak bermula dengan Melaka

GEORGE TOWN: Sejarah Malaysia tidak bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka sekitar 14000 Masihi sebaliknya menjangkau ribuan tahun lebih lama daripada itu berdasarkan dokumentasi pensejarahan Kedah Tua.

Hal ini perlu difahami dengan jelas kerana sejak dahulu kerangka sejarah negara kerap dilihat dari zaman Kesultanan Melayu Melaka misalnya menerusi buku seperti Tawarikh Tanah Melayu (1400-1959) sehinggalah buku-buku sejarah Malaysia masa kini.

Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Nazarudin Zainun, berkata catatan-catatan sejarah menunjukkan kemunculan Kedah Tua sebagai pelabuhan kuno perdagangan antarabangsa antara abad ke-2 hingga abad ke-14 Masihi.

"Kesultanan Melayu Melaka bermula pada kurun ke-14 Masihi diikuti kedatangan Eropah kemudian barulah kita merdeka pada 1957 sehingga tahun sekarang seolah-olah sejarah Malaysia itu sangat kontot.

"Malah pengkaji Barat menyatakan kita tiada indigenous (penduduk asli) sendiri. Seolah-olah kita datang dari tempat lain kemudiannya bersama-sama dengan kelompok-kelompok lain menetap di negara ini," katanya pada program bual bicara Kedah Tua: Sebuah Naratif Baharu di kampus induk USM baru-baru ini.

Katanya, tanggapan ini tidak tepat dan kerana itulah Kedah Tua memberi sumbangan sangat besar kepada pensejarahan Malaysia.

Kongsinya, dengan kaedah itu barulah masyarakat memahami bahawa sejarah Malaysia sangat panjang daripada sebelum masihi dan ini sebenarnya membentuk tamadun jauh lebih maju daripada apa yang kita fikir atau bayangkan.

"Ertinya pensejarahan Kedah tua ini amat penting untuk kita terokai seterusnya memperlihatkan sejarah kita bukan pendek seperti dicanangkan sebelum ini," katanya.

Prof Madya Dr Nazarudin Zainun. Gambar ihsan USM
Prof Madya Dr Nazarudin Zainun. Gambar ihsan USM

Sebagai rekod, Kedah Tua muncul sebagai sebuah pelabuhan dan unit politik hasil daripada proses urbanisasi, perpindahan teknologi dan proses pertukaran budaya di Lembah Bujang yang dicetuskan oleh perkembangan perdagangan jarak jauh antara India dan China dengan dunia Melayu.

Lembah Bujang memainkan peranan sebagai pusat ekonomi, populasi dan politik kepada kerajaan Kedah Tua yang memiliki kepelbagaian aktiviti ekonomi termasuk perdagangan antarabangsa, industri besi, manik dan tembikar tanah serta pengumpulan sumber-sumber alam.

Dari segi periodisasi, Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka bertahan selama 111 tahun manakala Kedah Tua bertahan selama kira-kira 1,200 tahun.

Bagaimanapun, Nazarudin yang juga Pakar Proto-Sejarah dan Pengarah Pusat Penerbit USM menegaskan penyelidikan yang mencorak naratif sejarah mesti berpaksikan kepada data dan pembuktian secara saintifik dan bukan berdasarkan persepsi semata-mata.

"Sekarang ada banyak naratif baharu dikemukakan oleh oknum-oknum tertentu berkenaan dengan sejarah kita. Ketahuilah bahawa apabila kita bercakap tentang masa lalu kita, sumber kita sendiri hampir tiada kerana tabiat membaca dan menulis kita agak lambat.

"Sehingga kita tidak ada huruf sendiri untuk menerangkan perihal budaya, politik kita sendiri. Jadi apa yang terjadi adalah kita terpaksa bergantung kepada sumber asing.

"Sumber asing itu ada dari Arab atau Parsi, China, India dan Jawa dan semua sumber ini harus dibaca secara serentak sebelum kita membuat keputusan atau sesuatu kesimpulan secara holistik dan ia tidak dilakukan hanya berdasarkan satu sudut pandang sahaja," jelasnya.

Dr Nasha Rodziadi Khaw. Gambar arkib NSTP
Dr Nasha Rodziadi Khaw. Gambar arkib NSTP

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Dr Nasha Rodziadi Khaw, berkata Kedah Tua adalah sebuah kerajaan maritim dan konfederasi penempatan-penempatan pesisir pantai dengan wilayahnya merangkumi sebahagian besar kawasan pantai barat Semenanjung Tanah Melayu.

Katanya, pemerintah Kedah Tua kemungkinan turut menjana pendapatan dengan menyediakan infrastruktur untuk pedagang yang datang.

"Bentuk muka bumi dan kedudukan strategik menjadi satu daripada faktor pemangkin kebangkitan Kedah Tua yang terletak berhampiran laut, selat dan kuala yang menjadi laluan serta tempat persinggahan kapal dagang yang terlindung daripada angin monsun Timur Laut dan monsun Barat Daya

"Kejatuhannya juga disebabkan faktor alam juga iaitu berlaku penurunan aras laut menyebabkan laut menjadi daratan dan kawasan pulau menjadi bukit. Maka setelah itu, Kedah Tua beralih kepada pertanian.

"Apa yang dapat dipelajari daripada kebangkitan dan kejatuhan sebuah kota pelabuhan seperti Kedah Tua itu ialah kepelbagaian ekonomi membawa kepada kekuatan politik," katanya.

Katanya, naratif terkini mengenai Kedah Tua menekankan kewujudan masyarakat pelbagai kaum, perkongsian budaya dan teknologi dengan dunia luar serta sikap keterbukaan dan toleransi masyarakat pribuminya.

Faktor-faktor kata Nasha, mendorong perkembangan ekonomi, kebudayaan dan teknologi Kedah Tua.

"Hal ini jelas menunjukkan bahawa kewujudan masyarakat majmuk, keterbukaan terhadap idea-idea luar dan daya inovasi masyarakat tempatan adalah keistimewaan sebenar masyarakat Kedah Tua yang membawa kepada pencapaian ketamadunannya.

"Ciri-ciri itu terus kekal ketika perkembangan Kesultanan Melayu Melaka dan berterusan sehingga ke zaman moden yang kini menjadi sebahagian daripada identiti kebangsaan," katanya.

Berita Harian X