Isnin, 18 March 2024 | 10:25am
Keunikan karya, ‘Project: Temporary Marking” oleh Mohamad Zulkefli Mohd Jais mencuri tumpuan juri apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Utama, Bakat Muda Sezaman 2023. Gambar ihsan Balai Seni Negara
Keunikan karya, ‘Project: Temporary Marking” oleh Mohamad Zulkefli Mohd Jais mencuri tumpuan juri apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Utama, Bakat Muda Sezaman 2023. Gambar ihsan Balai Seni Negara

Keunikan Teluk Intan dalam BMS2023

TELUK INTAN: Keunikan karya, 'Project: Temporary Marking" oleh Mohamad Zulkefli Mohd Jais yang memaparkan aspek geografi dan sejarah bandar Teluk Intan mencuri tumpuan juri apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Utama, Bakat Muda Sezaman 2023.

Projek itu yang menggabungkan instalasi dan dokumentari pendek turut membabitkan orang ramai sebagai sebahagian karya berkenaan.

Mohamad Zulkefli, anak kelahiran Sungai Manik, Teluk Intan itu berkata, sebagai seorang seniman, minatnya adalah tertumpu kepada pertindihan antara aspek geografi dan sejarah bandar ketiga terbesar di Perak itu.

"Teluk Intan adalah tempat asal saya dilahir dan dibesarkan. Sebagai seorang artis, saya rasa kena 'response' terhadap memori dan juga sejarah yang pernah berlaku di sini.

"Saya memilih Menara Condong Teluk Intan kerana karya saya sendiri bercakap tentang pertindihan sejarah bangunan ikonik ini.

"Saya akan hasilkan lebih banyak karya berunsurkan 'on site' (lokasi) dan juga di 'white cube' (galeri) dan juga saya rasa penting karya ini dekat dengan masyarakat berbanding duduk dalam perangkap artis itu sendiri," katanya.

Artis muda berusia 28 tahun itu tertarik dengan idea 'ephemeral marking' (bekas tanda sementera) yang terhasil daripada pembabitan audiens.

 Mohamad Zulkefli ketika sebahagian proses menyiapkan Project: Temporary Marking. Gambar ihsan NAG
Mohamad Zulkefli ketika sebahagian proses menyiapkan Project: Temporary Marking. Gambar ihsan NAG

Beliau yang berpengalaman selama lima tahun dalam industri seni berpegang bahawa aksi performatif adalah satu cara untuk menyelami idea yang diilhamkan daripada sesuatu pengalaman.

Di hadapan Menara Condong, Mohamad Zulkefli membabitkan audiens sebagai sebahagian daripada karyanya dan sebuah filem pendek sebagai medium.

Beliau malah menjadikan sekumpulan audiens untuk menghasilkan bentuk seperti sebuah tongkang yang menggambarkan satu bekas tanda yang sementara.

Dari situ, artis memberikan responsnya terhadap perkara-perkara dan persekitaran yang sudah sedia wujud dan mengangkat bahawa penceritaan itu adalah sesuatu yang tidak pernah lengkap dan penaksirannya terus terbuka.

Untuk karya ini, bentuk monumen yang terhasil daripada gantungan jaket-jaket (vest), menjadi simbol kepada Menara Condong sebagai mercu tanda.

Gabungan jaket-jaket ini mewakili perasaan dan ingatan terhadap bencana yang menimpa pelarian yang pernah berlindung di Teluk Intan sebagai peringatan, setiap sejarah pasti akan berulang.

Atas kemenangan itu, beliau menerima hadiah sebanyak RM30,000 selain akan mewakili Malaysia ke acara seni visual kontemporari yang besar dan berprestij di Asia iaitu Gwangju Biennale 2024 berlangsung di Korea pada September depan.

Mohamad Zulkefli membabitkan audiens sebagai sebahagian daripada karyanya dan sebuah filem pendek sebagai medium. Gambar ihsan NAG
Mohamad Zulkefli membabitkan audiens sebagai sebahagian daripada karyanya dan sebuah filem pendek sebagai medium. Gambar ihsan NAG

Selain keunikan 'Project: Temporary Marking', BMS 2023 sebenarnya sudah bergerak menggunakan pendekatan baharu dengan konsep 'Seni di Lokasi' sejak 2021 lalu.

Seperti sebelum ini, artis yang menyertai BMS akan mengemukakan penempatan lokasi pameran. Sebelum ini BMS 2021 mempertontonkan karya Red Dining di bangunan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia.

Menerusi pendekatan itu, BMS 2023 yang berlangsung baru-baru ini diperkemaskan dengan persembahan karya dan boleh dinikmati di pelbagai lokasi yang bersesuaian dengan norma baharu selain memperkenalkan ruang pameran alternatif baharu di seluruh negeri di Malaysia.

Format baharu ini juga dibuka dalam bentuk karya maya dan pautan karya di portal, aplikasi, karya animasi, seni persembahan dan banyak lagi yang menggunakan ruang maya atau media sosial.

Persembahan karya dan pemasangan karya di lokasi terpilih ini juga dapat memberikan laluan alternatif baru bagi lokasi penggiat seni negeri terbabit bersama penyertaan komuniti seni setempat.

la juga membantu memperkenalkan pelbagai ruang, tapak budaya dan lokasi pelancongan di negeri bersama galeri seni awam, institusi, kediaman seni, taman awam, dasar laut dan kawasan pedalaman.

'Project: Temporary Marking" adalah satu daripada 68 penyertaan yang diterima Balai Seni Negara, daripada jumlah itu 38 dipilih untuk berentap dalam peringkat penjurian dan 15 peserta diumumkan sebagai finalis dan penerima anugerah.

BMS yang dianjurkan sejak 1974 adalah tonggak penting dalam menggalakkan perkembangan bakat-bakat muda seni kontemporari di Malaysia. Ia adalah pertandingan seni visual dwitahunan terbuka untuk seniman muda Malaysia di bawah usia 35 tahun.

BMS juga adalah ruang kemunculan awal artis handalan Malaysia antaranya Zulkifli Mohd Dahalan (1974); selain seniman seperti Lee Kian Seng; Thangarajoo a/l M A Khaniah; Jailaini Abu Hassan;

Tan Chin Kuan; Zulkifli Yusoff; Bayu Utomo Radjikin; Nur Hanim Khairuddin; Bibi Chew; Azizan Rahman Paiman; Suhaila Hasihim; Mohd Fuad Arif dan Muhammad Hassanuddin Yusof.

BMS2023 yang diadakan di Menara Condong, Teluk Intan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Berita Harian X