Isnin, 18 March 2024 | 10:12am
DBP menyarankan kerajaan negeri meningkatkan usaha bagi memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan kakitangannya.
DBP menyarankan kerajaan negeri meningkatkan usaha bagi memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan kakitangannya.

Laman web Kerajaan Kedah catat 74 peratus kesalahan ejaan

KUALA LUMPUR: Laman sesawang kerajaan Negeri Kedah didapati mencatat 74 peratus kesalahan ejaan yang ketara, manakala laman web kerajaan Pahang pula mencatat 39 peratus kesalahan tanda baca.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari, berkata selain itu kesalahan pembentukan kata paling banyak dikesan dalam laman sesawang Wilayah Persekutuan, iaitu sebanyak 40 peratus.

Katanya, peratusan itu diperoleh berdasarkan rumusan daripada Kajian Tahap Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Laman Sesawang Kerajaan Negeri di Malaysia. Kajian berkenaan adalah antara usaha DBP memperkasakan bahasa kebangsaan selain Pelaksanaan Audit Bahasa Melayu dan Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan di Sektor Awam, Swasta, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang bermula dari 2013 hingga 2023.

"DBP menyarankan kerajaan negeri meningkatkan usaha bagi memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan kakitangan terutamanya mereka yang bertanggungjawab untuk menyediakan kandungan dalam laman sesawang rasmi mereka.

"Ia juga perlu diperluas di seluruh jabatan dan agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri boleh mulakan menganjurkan bengkel pemantapan bahasa dalam kalangan kakitangan supaya supaya penggunaan bahasa kebangsaan lebih baik dari aspek tatabahasa," katanya ketika menyampaikan Wacana Penegasan Bahasa Kebangsaan Bil 1/2024, di Wisma DBP, baru-baru ini.

Hazami berkata, daripada audit bahasa itu juga, DBP masih menemui penggunaan bahasa selain Melayu secara sepenuhnya dalam dokumen rasmi seperti perjanjian, nota pembentangan, naskhah edaran serta paparan dan peragaan.

Katanya turut ditemui dalam dokumen sebegitu adalah penggunaan bahasa bercampur selain aspek kesalahan yang paling banyak ditemui adalah dari segi mutu penggunaan bahasa Melayu berkait dengan pemilihan kosa kata dan binaan ayat.

Hazami berkata, selain isu membabitkan penggunaan bahasa kebangsaan di laman web dan dokumen, tahap penggunaannya di beberapa bandar utama juga didapati tidak memuaskan antaranya di Kuching, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, Shah Alam, Kuantan dan Kuala Terengganu.

Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari.
Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari.

Dalam hal ini beliau menjelaskan, DBP menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih komited dan bersungguh-sungguh dalam penguatkuasaan bahasa Melayu.

Ia merangkumi memperketatkan pemakaian pekeliling, dasar, undang-undang kecil dan garis panduan berkaitan penggunaan bahasa Melayu dalam iklan dan paparan awam, media massa dan lain-lain.

Katanya, walaupun PBT sudah diarahkan untuk mewajibkan pengiklan dan agensi pengiklanan di seluruh negara mematuhi peraturan dan arahan Undang-undang Kecil Iklan mengenai penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan papan iklan di tempat awam dan penamaan nama khas sejak 2015, namun penggunaan bahasa Melayu yang salah masih berlaku.

Berdasarkan data yang diperoleh dalam tempoh lima tahun katanya, jumlah kelulusan pengesahan iklan menunjukkan trend peningkatan yang menggambarkan semua pihak mematuhi peraturan dan arahan Undang-undang Kecil Iklan serta nasihat daripada DBP.

Bagaimanapun tegas Hazami, DBP tetap melaksanakan pemantauan menyeluruh dari semasa ke semasa dan berdasarkan data yang diperoleh dalam tempoh lima tahun, jumlah aduan diterima dan surat teguran yang dikeluarkan jelas menampakkan situasi membimbangkan.

Malah katanya, berdasarkan laporan media sosial atau isu-isu yang ditularkan memberikan isyarat jelas bahawa pengesahan bahasa Melayu yang baik dan betul oleh DBP tidak berlaku.

"Misalnya kita boleh lihat masih banyak lagi papan iklan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan atau menggunakan bahasa asing sepenuhnya selain bercampur-campur atau tidak mengutamakan bahasa Melayu dari segi saiz, kedudukan dan warna huruf.

"Sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan berhemah dan berkesan, kedaulatan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi umum dan bahasa rasmi mengikut Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan akan terancam," katanya.

Peranan memartabatkan bahasa Melayu adalah tugas semua lapisan masyarakat malah sejak dahulu katanya, sejarah panjang bahasa Melayu menjelaskan mengenai kedudukannya yang tinggi.

Malah kongsi Hazami teks Melayu paling tua (bertarikh 682 Masihi) sudah terukir dengan skrip Pallava pada batu yang ditemui di Palembang, Sumatera.

Memetik sejarah Van Linschotten, seorang pegawai yang bertugas dengan kerajaan Portugis antara tahun 1586 hingga 1592 di Indonesia, beliau menyatakan bahawa bahasa Melayu pada masa itu bukan sahaja harum namanya tetapi dianggap bahasa paling dihormati antara bahasa-bahasa negeri Timur.

Katanya, tahap ketinggian bahasa Melayu ketika itu hinggakan orang yang tidak tahu berbahasa Melayu di Kepulauan Melayu diibaratkan seperti gagal berbahasa Perancis di negeri Belanda pada zaman berkenaan.

"Begitulah juga yang berlaku kepada bahasa Melayu dan sumber keilmuan berbahasa Melayu, apabila banyak khazanah berharga dibawa ke negara penjajah, malahan ada juga yang dimusnahkan. Terpalit sejarah hitam kepada tradisi keilmuan ini.

"Tidak ada bangsa di dunia yang benar-benar berjaya membina ketamadunan masing-masing tanpa berpegang kepada akar umbi utuh kepada bahasa kebangsaan mereka. Lihat sahaja kemajuan yang dicapai oleh bangsa Jepun, Korea, Perancis dan Jerman," katanya.

Justeru tegas Hazami, setiap kita perlu berhati-hati dalam keghairahan mengejar angka pertumbuhan ekonomi menjadi sebuah negara maju, jangan nanti yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran.

Berita Harian X