Isnin, 18 March 2024 | 10:06am

Cerpen BH Ahad: Kisah Muntah

SEJAK kebelakangan ini ibu selalu sahaja muntah dengan warna biru gelap bercampur warna hijau setelah makan tidak kira selepas sarapan, makan tengah hari atau malam. Kami akan berpandangan sesama sendiri dengan kerdip keliru. Mustahil ibu mengandung semula setelah kian dipagut usia. Lagipun ibu telah melakukan operasi Bilateral Tubal Ligation iaitu prosedur mengikat salur peranakan agar tidak berlaku persenyawaan antara sperma dengan ovum yang boleh menyebabkan kehamilan. Jadi mustahil ibu mengandung semula. Lagipun warna muntah ibu agak berbeza – yah, bukan berwarna kuning atau keperangan! Bau muntah ibu menyucuk-nyucuk ke rongga hidung sehingga menghantar isyarat di kepala untuk kami turut berasa loya. Perut terasa memulas. Ibu akan muntah tanpa mengira tempat termasuk di meja makan. Bau muntah ibu seperti bau bangkai tikus yang mati di atas loteng. Mungkin juga seperti bau bangkai anjing. Hah, apa-apalah ! Yang pasti, bau muntah ibu sangat tidak menyenangkan.

Benar. Aku baru perasan tentang perkara tersebut. Semua itu berlaku setelah kami berpindah ke rumah banglo tiga tingkat yang mempunyai lapan buah bilik tidur dan sembilan bilik mandi di tengah-tengah bandar raya yang sentiasa sesak dengan kenderaan. Rumah banglo itu berdekatan dengan syarikat tempatnya bekerja.

Lama-kelamaan, bukan ibu sahaja yang mengalami muntah-muntah setelah makan. Kakak juga mengalami masalah yang sama sehingga menimbulkan syak. Ada jelingan keliru pada mata ayah sehingga terbersit permintaannya untuk kakak membuat pemeriksaan doktor. Kakak marah dengan saranan tersebut. Saranan itu persis rasa tidak percaya yang berkepul dalam minda ayah. Semua itu menjadi awan kelabu yang akan merintikkan hujan rawan dalam dada kakak.

"Kau ada menjalinkan hubungan intim dengan lelaki di luar pengetahuan ayah?" Pergaulan bebas antara muda-muda di kawasan metropolitan menimbulkan rasa gusar yang berpusar dan berputar sehingga bersebati dalam prasangka ayah. Ketidakpercayaan itu telah merenggangkan hubungan ayah dan kakak yang kini sering menyendiri di dalam bilik.

" Mengapa perlu takut diperiksa jikalau tidak bersalah," ayah masih tidak berpuas hati dengan keengganan kakak membuat pemeriksaan. Aku pula turut dipekup rasa keliru – bukan dengan keengganan kakak membuat pemeriksaan tetapi tindakan berpilih yang ayah buat. Mengapa desakan yang sama tidak ditujukan kepada ibu? Mengapa ayah tidak mendesak ibu untuk ke klinik? Ibulah orang yang pertama kali muntah-muntah selepas makan di rumah kami.

Nenek yang datang menziarahi ke rumah banglo kami telah mengambil keputusan untuk kembali ke kampung setelah dia juga mula mengalami muntah-muntah. Badan jerging nenek nampak kian melengkung setelah kehilangan air dari tubuh.

" Aku tidak tahan. Tidak seperti muntah biasa. Mungkin aku tidak betah tinggal di kota-kota besar dan makan makanan-makanan mewah."

Ayah telah membawa nenek ke klinik swasta terkemuka. Pemeriksaan rapi telah dilakukan. Aku menanti diagnostik yang dibuat oleh doktor dalam sedikit debar kerana masalah yang dialami oleh nenek pastinya mempunyai kaitan dengan muntah yang dialami oleh ibu dan kakak.

Ternyata nenek tidak mengalami keracunan makanan. Tentunya Mak Cik Esah yang menjadi tukang masak di rumah kami sentiasa menjaga kebersihan. Nenek juga tidak mengalami masalah ulser dalam perut, usus tersumbat, radang appendiks, radang pankreas, masalah ginjal atau mengalami ketoacidosis diabetik. Nenek juga tidak mengalami masalah bulimia yang akan mendorong seseorang itu muntah-muntah. Semua masalah itu tidak ada pada nenek. Jadi mengapa nenek terus muntah-muntah setelah makan di rumah banglo kami? Mengapa kakak dan ibu muntah-muntah? Aku juga turut mula mengalami simptom yang sama. Perut seperti dikocak.

Dua hari selepas pemeriksaan doktor, nenek segera berkemas untuk pulang ke kampung. Ayah yang sentiasa sibuk tidak dapat menghantar nenek. Aku yang menghantar nenek ke stesen bas. Sebelum menaiki bas, nenek sempat berbisik kepadaku, " Sesuatu yang berlaku mempunyai kaitan dengan amalan. Kita perlu menjaga hubungan dengan manusia dan hubungan dengan Tuhan."

Aku hanya mengangguk – menelan kata-kata nenek tanpa mampu menghadamkan inti pati tersirat yang dilontarkan.

Aku menghubungi nenek setelah seminggu dia balik ke kampung. Suara nenek ceria – tidak seperti apabila dia berada di banglo mewah kami. Aku sedikit terpempan apabila nenek mengatakan bahawa dia terus pulih apabila balik ke kampung. Dia tidak lagi mengalami masalah muntah-muntah. Sekilas, aku berfikir; perlukah kakak dan ibu turut mencari angin baru di kampung? Mungkin sesekali kami perlu berhijrah untuk mencari rutin yang berbeza. Persoalan itu terus berkelintar dan melilau dalam ruang minda. Pasti ayah tidak akan bersetuju dengan cadangan tersebut. Cadangan itu pasti ditentang. Cadangan itu akan ditolak mentah-mentah. Ayah tidak suka dengan suasana kampung. Ayah tidak suka dengan sungai. Ayah tidak suka dengan bendang. Ayah tidak suka dengan dusun buah-buahan. Tanah-tanah itu menurut ayah, perlu dimajukan. Tanah-tanah itu perlu dibina dengan bangunan bertingkat-tingkat atau gedung-gedung mewah. Ayah memang pernah memujuk ibu untuk menjual tanah pusaka yang telah diberikan oleh atuk. Bagi ayah, tanah itu akan memberikan pulangan yang lumayan jikalau dijual kepada syarikat yang mempunyai dana untuk memajukannya. Ada rakan kongsi ayah yang ingin membeli tanah tersebut dengan harga yang tinggi. Tapi ibu masih tidak rambang mata dengan tawaran yang diberikan.

" Jadikan tanah itu kawasan perkuburan nanti. Bawa tanah itu sampai mati. Waktu mati nanti pun akan di kubur dalam tanah."

Ayah pernah marah-marah dengan ketidaksanggupan ibu menjual tanah pusaka berkenaan. Dia merungut. Wajahnya memberengut. Tapi setelah ayah kian hidup mewah, tidak pernah lagi ayah mengungkit perkara tersebut. Ayah sudah lupa dengan tanah pusaka peninggalan atuk di kampung. Ayah pastinya sudah mempunyai sumber pendapatan lain. Jikalau tidak, bagaimana ayah mampu membeli rumah banglo mewah? Harganya pasti belasan atau puluhan juta.

Wajah ibu sejak kebelakangan ini semakin cengkung. Matanya layu dengan tubuh yang tidak berkenyal. Bendalir tubuh yang keluar daripada muntah telah merompak kegebuan kulit dan kerampingan pinggangnya. Ibu nampak tidak terurus dan tidak bermaya. Ibu persis pengidap anorexia. Ayah maklum tentang perkara tersebut tetapi kami semua tidak tahu puncanya. Mengapa ibu dan kakak terus-terusan muntah dengan warna biru dan hijau?

" Esok hari, ibu akan berpuasa. Mana tahu, semua ini berlaku disebabkan oleh dosa-dosa yang dilakukan. Musibah yang dialami … mungkin merupakan ujian Ilahi sebagai lampisan cara untuk pengampunan dosa."

Sepanjang tempoh berpuasa daripada waktu Subuh sehingga masuk waktu Maghrib, ibu tidak mengalami muntah-muntah. Langsung tidak ada rasa mual. Kakak saja yang masih muntah selepas sarapan dan makan tengah hari. Begitu juga dengan diriku. Pastinya justifikasi ayah dengan memandang serong pada kakak merupakan satu kesilapan. Adakah aku juga akan dituduh berbadan dua sedangkan aku seorang lelaki? Sabarkah seorang lelaki jikalau diberikan tanggungjawab itu? Aku sendiri meraguinya. Dugaan yang bukan kepalang tanggung. Aku tersengih-sengih sendirian memikirkan perkara tersebut.

Ayah mengajak kami sekeluarga menemani ibu berbuka puasa di sebuah restoran mewah. Restoran itu terletak di tepi pantai. Puput tingkat angin bertiup lembut, sesekali agak deras. Ibu makan dengan berselera segala hidangan – lamb shank, ketam, udang galah dan ikan kelah – telah melonjakkan selera ibu. Kami menanti dalam debar sama ada ibu akan muntah di restoran tersebut. Pandangan mata dipakukan ke wajah ibu. Selalunya ibu akan muntah sebaik sahaja makanan disuap ke mulutnya. Tapi tidak kali ini. Aku melepaskan nafas lega yang tertahan di dada sejak tadi.

Setelah ayah membayar makanan di kaunter, tidak semena-mena ibu muntah semula. Kelam-kabut pekerja di restoran berkenaan. Mungkin mereka khuatir, reputasi restoran akan merudum. Pasti ada pelanggan lain yang berprasangka bahawa ibu muntah disebabkan oleh makanan yang mereka sediakan.

Wajah ayah merah padam menahan rasa marah dan malu yang berbaur. Warna biru dan merah yang beradu domba menampilkan rona wajah yang sukar ditafsirkan.

Sesampai sahaja di rumah, ayah dan ibu bertengkar. Entah apa yang ditengkarkan. Adakah ayah menyalahkan ibu? Argh, bukannya ibu sengaja muntah di restoran berkenaan! Semua itu berlaku secara tiba-tiba.

Seminggu selepas kejadian ibu muntah di restoran mewah, Makcik Esah pula mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Dia berasa tertekan kerana makanan yang dimasaknya tidak mampu dinikmati oleh ahli keluarga kami. Makcik Esah sentiasa menyalahkan dirinya sendiri. Ayah pula tidak memainkan peranan untuk memujuk makcik Esah. Dia hanya memberikan tambahan sebulan gaji kepada makcik Esah biarpun pemberian itu ditolak dengan baik.

Muntah yang terus menular kepada kami sekeluarga (tidak termasuk ayah) telah menyebabkan ayah membawa kami berjumpa dengan bomoh untuk berubat secara kampung. Ibu menolak keras permintaan ayah. Ibu menukas kata-kata ayah, "Kita tidak boleh disesatkan dengan persepsi dan ajaran yang salah."

Ayah merenung wajah ibu. Cerlungan yang tidak mahu beralah.

Aku tahu, perkhidmatan bomoh dengan ahli perniagaan dan ahli politik, sememangnya tidak boleh dipisahkan. Ada yang menggunakan bomoh untuk menang pilihan raya. Ada yang menggunakan bomoh untuk menganiaya pihak lawan. Malah, Firaun suatu ketika dahulu pun menggunakan bomoh dan ahli sihir. Sehinggakan ke zaman Rasulullah pun ada perkhidmatan bomoh dan ahli sihir; termasuk yang mengaku sebagai nabi seperti Musailamah bin Tsumamah.

Adakah ayah turut menggunakan bomoh untuk melonjakkan reputasinya dalam syarikat?

Argh, siapakah yang sesat dan bodoh untuk mengikuti saranan bomoh tersebut? Siapa? Siapa? Dia menyarankan kami makan muntah kami sendiri. Katanya, rasa loya dan mual kami akhirnya akan hilang sedikit demi sedikit. Ayah pula begitu percaya dengan saranan bomoh tersebut. Adakah dia mahu kami menjadi seperti Badang yang menjadi kuat setelah makan muntah jin? Tapi benarkah Badang telah makan muntah jin yang mencuri ikan dalam bubunya? Ada ahli sejarah Riau yang mengatakan bahawa kisah badang telah diubah oleh pihak Barat dan cerita Badang yang makan muntah hantu adalah untuk memburuk-burukkan citra pahlawan Melayu.

Jikalau ahli Sejarah Barat memesongkan cerita Badang, aku pula tidak mahu melakukan yang sebaliknya. Aku ingin mengisahkan yang sebenarnya – sebuah realiti yang sukar diluruskan. Tak usah risau dengan nasib aku, kakak dan ibu. Kami telah mengambil keputusan untuk keluar dari rumah ayah setelah ibu menjumpai wang kertas seratus ringgit yang memenuhi beg 32 inci X 24 inci X 16 inci di dalam almari rumah. Ibu sangat yakin, muntah-muntah yang kami alami adalah disebabkan perkara tersebut.

Selepas kami balik membina rumah kecil di tanah pusaka atuk, kami tidak muntah-muntah lagi. Ayah pula telah menjalani operasi pembedahan plastik – atas tujuan apa, tidak pula diketahui.

Ya, kami hanya mendoa-doakan yang baik-baik !

- Pengarang asal Sarawak ini adalah pemenang Hadiah Sastera Sarawak 2023, Hadiah Sastera Utusan 2016 dan Hadiah Sastera Perdana 2019/2020.

Berita Harian X