Isnin, 11 March 2024 | 11:14am
Antara sebahagian pengarang yang sudah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Gambar arkib NSTP
Antara sebahagian pengarang yang sudah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Gambar arkib NSTP

Tiada Sasterawan Negara ke-16 jika tidak ada yang layak

KUALA LUMPUR: Tiada istilah lama atau baharu, apa yang pasti jika ada calon yang layak dan memenuhi kriteria ditetapkan pasti saja individu itu akan dinobatkan sebagai Sasterawan Negara (SN), itu kata Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari.

Hazami berkata, DBP menyedari pelbagai jenis pandangan dan persepsi akan timbul sebaik saja mana-mana penganugerahan sastera diumumkan sama ada Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran SN atau Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write).

Menganggapnya hal lumrah, DBP katanya sebagai sekretariat terbuka kepada sebarang pandangan namun pencalonan dan pemilihan dibuat berdasarkan syarat yang digariskan, justeru, tidak timbul isu lama, baharu tua atau muda.

Malah kata Hazami, jika memang tiada calon layak pada tahun pencalonan seperti diputuskan panel, maka tidak akan ada tokoh yang akan dinamakan.

"Sebagai sekretariat kita menyediakan bahan yang cukup.

"Pencalonan Sasterawan Negara itu boleh dikemukakan bukan saja oleh badan atau institusi tetapi juga orang perseorangan yang berwibawa dalam bidang sastera.

"Pencalon bagaimanapun hendaklah mengemukakan satu nama saja dan setiap pencalonan mesti mengemukakan hujah secara bertulis berdasarkan penilaian karya sastera yang dihasilkan calon," katanya.

Tegas Hazami, bersama pencalonan itu juga pencalon mesti mengemukakan penilaian sumbangan fikiran calon dan kegiatannya yang mendorong ke arah pembinaan serta pengembangan sastera kebangsaan, jika ada.

Katanya, panel pemilihan ASN juga SEA Write datang daripada pelbagai latar belakang dan DBP tidak mengehadkannya kepada mereka yang hanya datang daripada bidang sastera sahaja.

Dalam hal ini katanya, meskipun majoriti panel adalah sarjana dan pemikir sastera, sekretariat melihat perlu ada tokoh dalam bidang lain bagi mengimbanginya.

Hazami (dua dari kanan) bersama Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dr Rusmadi Baharuddin (kiri) dan dua kakitangan pengurusan tertinggi DBP, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Razali Che Mat (kanan) dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Mohd Salahuddin Mohamed (dua dari kanan). Gambar ihsan DBP
Hazami (dua dari kanan) bersama Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dr Rusmadi Baharuddin (kiri) dan dua kakitangan pengurusan tertinggi DBP, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Razali Che Mat (kanan) dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Mohd Salahuddin Mohamed (dua dari kanan). Gambar ihsan DBP

"Kita juga perlu pandangan pakar dalam bidang lain yang berkaitan dalam melihat pencalonan.

"Kepakaran dalam bidang lain yang memaknakan sastera itu akan memberi nilai tambah. Mereka yang dipilih sebagai panel juga adalah dilantik oleh perdana menteri dengan nasihat sekretariat," katanya.

Tegasnya, DBP tidak mengamal 'favouritisme' malah tidak pun terbabit secara langsung untuk menentukan pemenang.

Siapapun yang dipilih katanya, adalah berdasarkan keputusan yang dibuat panel dilantik dan diperakukan oleh Menteri Pendidikan selaku pengerusi sekretariat.

ASN adalah pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada tokoh sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu serta memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air. Bagi tahun ini pencalonan ASN bakal menobatkan SN ke-16 dan tarikh tutup pencalonan adalah pada 1 April 2024.

Sejak idea mengenainya diungkapkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussien Onn sempena Majlis Penyampaian Hadiah Karya Sastera pada 11 November 1977. Panel ASN diwujudkan tiga tahun kemudian dengan dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Tun Musa Hitam, manakala DBP bertindak sebagai sekretariat.

Sehingga kini 15 pengarang sudah dinobatkan sebagai SN bermula dengan Kamaludin Muhammad atau Keris Mas (1981); Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad (1982); Datuk Usman Awang (1983); Datuk Seri A Samad Said (1985); Muhammad Dahlan Abdul Biang atau Arena Wati (1987); Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh (1991); Datuk Noordin Hassan (1993); Datuk Abdullah Hussain (1996); Dr Syed Othman Syed Omar atau S Othman Kelantan (2003); Datuk Dr Anwar Ridhwan (2009); Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala (2011); Datuk Baharuddin Zainal atau Baha Zain (2013); Datuk Dr Zurinah Hassan (2015); Datuk Dr Siti Zainon Ismail (2019) dan Datuk Rahman Shaari (2022)

Tokoh yang dinamakan sebagai SN bakal menerima wang tunai sebanyak RM60,000 selain beberapa imbuhan lain antaranya penerbitan 50,000 naskhah buku (atau bernilai maksimum RM500,000) untuk dibeli oleh kerajaan, kemudahan untuk penerbitan karya dan penterjemahan karya ke bahasa asing selain elaun sara hidup bernilai RM5,000 sebulan.

Barisan pengarang tanah air yang dianggap layak untuk dicalonkan menerima anugerah Sasterawan Negara. Gambar Arkib NSTP
Barisan pengarang tanah air yang dianggap layak untuk dicalonkan menerima anugerah Sasterawan Negara. Gambar Arkib NSTP

Sementara itu bagi SEA Write, Hazami berkata pencalonan dibuka sehingga 25 Mac 2024. Berbeza dengan ASN, SEA Write adalah penganugerahan yang diwujudkan sejak 1979 oleh Thailand bagi mengiktiraf penulis dari rantau Asia Tenggara.

Katanya, jika dahulu penulis dari Malaysia yang dipilih adalah berdasarkan penggiliran genre namun hal sebegitu tidak lagi terpakai.

Hazami berkata, apa yang penting pencalonan boleh dikemukakan bukan saja oleh badan atau institusi tetapi juga orang perseorangan yang berwibawa dalam bidang sastera berdasarkan format dan syarat yang ditetapkan sekretariat.

Berita Harian X