Khamis, 7 March 2024 | 12:35pm
Mulaika menunjukkan Syair Jaran Tamasa versi cetak berasaskan manuskrip yang disalin pada 1804. Gambar arkib NSTP
Mulaika menunjukkan Syair Jaran Tamasa versi cetak berasaskan manuskrip yang disalin pada 1804. Gambar arkib NSTP

Syair cinta lebih 200 tahun diterbitkan

KUALA LUMPUR: Kewujudan manuskrip lama, Syair Jaran Tamasa sudah lama diketahui misalnya dalam blog British Library, maklumat mengenainya ditulis sejak 2015.

Malah Syair Jaran Tamasa dan semua koleksi manuskrip alam Melayu yang menjadi milik British Library sudah pun didigitalkan antara 2013 hingga 2015 dan boleh diakses secara percuma.

Bagaimanapun hanya pada tahun ini, naskhah yang berusia hampir 220 itu akhirnya ditransliterasikan dan diterbitkan dalam bentuk fizikal oleh Buku Fixi sekali gus membuka ruang lebih luas untuk ia dikaji secara akademik.

Diselenggara oleh Pensyarah Kanan, Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika (SOAS), Universiti London, Dr Mulaika Hijjas, versi cetak Syair Jaran Tamasa mengambil masa hampir lima tahun untuk disiapkan.

Mulaika dalam majlis pelancaran naskhah itu Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB), minggu lalu menyebut, kerja-kerja transliterasi Syair Jaran Tamasa dibuat sekumpulan sukarelawan Malaysia dan Singapura sejak 2019.

"Saya memilih manuskrip ini kerana ia syair, agak senang untuk ditransliterasikan berbanding prosa selain tulisannya jelas.

"Seperti manuskrip Melayu yang lain, pengarang asalnya tidak diketahui.

"Syair ini dikarang dengan unsur sastera panji. Namun kita tidak dapat menyebut dengan pasti apakah jenis masyarakat yang memungkinkan penghasilan manuskrip ini," katanya.

Namun, satu hal yang menarik kata Mulaika, seperti yang turut ditulisnya dalam prakata naskhah itu, walaupun sastera Melayu lama biasanya merakamkan nilai-nilai istana, Syair Jaran Tamasa mengungkapkan pandangan kelas penggawa atau hulubalang daripada kerabat diraja sendiri.

"Besar kemungkinan syair ini tidak dikarang oleh orang istana tetapi penduduk bandar kosmopolitan alam Melayu pada akhir kurun ke-18 seperti Pulau Pinang, Semarang dan Palembang," katanya.

Mulaika berkata, meskipun mengandungi unsur sastera panji, naskhah ini agak berbeza kerana watak utamanya Jaran Tamasa bukan anak raja sebaliknya seorang penggawa atau pahlawan, namun ia mempunyai sifat hero sastera Melayu lama.

Secara umum, Syair Jaran Tamasa menceritakan mengenai Jaran Tamasa yang jatuh hati dengan dayang istana, Ken Lamlam Arsa anak perempuan kepada seorang temenggung. Bagaimanapun wanita itu sudah dijanjikan sebagai gundik Raja Majapahit namun dia diculik oleh Jaran Tamasan menggunakan sihir. Ia kemudiannya membawa kepada rentetan balas dendam keluarga Ken Lamlam Arsa.

Mulaika berkata, penjajahan menyebabkan ribuan manuskrip dunia Melayu berada di luar negara terutama di Britain.

Secara umum katanya, kebanyakan manuskrip Melayu selepas merdeka kebanyakannya adalah teks agama.

"Tapi ketika zaman kolonial penjajah membawa balik teks sastera dan undang-undang kerana dalam usaha memahami bangsa jajahan mereka kedua-dua genre itu dianggap lebih utama," katanya.

Kongsi Mulaika, terlalu banyak manuskrip yang tidak pernah dikaji, dengan sebahagiannya adalah salinan judul yang serupa.

Malah, Syair Jaran Tamasa sendiri ada dua versi, dengan satu daripadanya sudah berusia 220 tahun namun hanya kini masyarakat boleh melihatnya dalam bentuk cetak.

"Kebanyakan orang kita tidak boleh membaca tulisan jawi lama. Itu adalah kesukaran yang umum, hal ini tidak terjadi dalam kalangan bangsa lain kerana mereka tidak menukar sistem tulisan mereka.

"Tulisan jawi tidak ada semua huruf vokal, satu perkataan boleh dibaca mungkin 10 atau lapan perkataan lain bergantung pada kepakaran pengkaji," katanya.

Mulaika berkata, terdapat juga perkataan klasik yang hari ini membawa maksud yang baharu. Misalnya perkataan cinta dahulu ia juga membawa maksud gelisah atau dendam.

Katanya, usaha pendigitalan yang dibuat oleh British Library memberi ruang kepada sarjana untuk membuat lebih banyak kajian manuskrip Melayu. Malah dalam konteks Syair Jaran Tamasa katanya, jika terjemahan yang ada dianggap tidak tepat pengkaji boleh kembali melihat teks asal.

Syair Jaran Tamasa adalah sebahagian daripada koleksi alam Melayu milik orientalis, John Leyden yang kini menjadi milik British Library.

Ia disalin oleh individu bernama Ismail pada 10 Mei 1804, bagaimanapun British Library dalam blog bertarikh 9 November 2019 menyebutkan, terdapat dua versi Syair Jaran Tamasa dalam koleksi Leyden.

Selain naskhah disalin Ismail, sebuah lagi naskhah adalah salinan daripada naskhah itu yang dibuat untuk Stamford Raffles oleh Muhammad Bakhar , dipercayai disalin pada sekitar April atau Mei 1806.

Sementara itu pengasas Buku Fixi, Amir Muhammad berkata, keinginannya menerbitkan karya lama bermula dengan usahanya menerbitkan Sitora Harimau Jadian di bawah jenama Fixi Retro. Ia kemudiannya diikuti beberapa naskhah lain termasuk Hikayat Raja Babi, yang juga sebahagian koleksi British Library.

"Saya dimaklumkan pengkaji di Malaysia dan Indonesia memang maklum mengenai kewujudan manuskrip Hikayat Raja Babi.

"Tiap kali berkunjung mereka hanya ketawa melihat judulnya tapi tidak berusaha untuk transliterasi.

"Saya melihat ini sebagai tanggungjawab sosial. Ia bukan produk utama kami tapi sampingan saja, saya hanya harap ia membantu untuk memeriahkan industri," katanya.

Berita Harian X