Rabu, 28 Februari 2024 | 2:58pm
Hazami (dua dari kanan) bersama Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dr Rusmadi Baharuddin (kiri) dan dua kakitangan pengurusan tertinggi DBP, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Razali Che Mat (kanan) dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Mohd Salahuddin Mohamed (dua dari kanan). Gambar ihsan DBP
Hazami (dua dari kanan) bersama Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dr Rusmadi Baharuddin (kiri) dan dua kakitangan pengurusan tertinggi DBP, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Razali Che Mat (kanan) dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Mohd Salahuddin Mohamed (dua dari kanan). Gambar ihsan DBP

Nilai hadiah HSPM 2021/22 dikembalikan

KUALA LUMPUR: Nilai hadiah yang ditawarkan bagi penganjuran Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 akan dikembalikan seperti sebelum ini.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari dalam sidang medianya, berkata DBP selaku penganjur HSPM sedang berusaha untuk mengembalikan nilai asal hadiah setiap kategori yang sebelum ini dikurangkan.

"Kami sedang berusaha untuk mengembalikan nilai hadiah HSPM misalnya bagi kategori novel kembali menjadi RM10,000 yang sebelum ini diturunkan kepada RM8,000.

"Hal ini bagi memastikan sastera tetap mendapat pengiktirafan dan diangkat prestijnya," katanya.

Sebelum ini khalayak sastera mempersoalkan nilai hadiah bagi semua kategori yang dipertandingkan diturunkan semasa penganjuran HSPM 2017/2018. Misalnya kategori buku iaitu merangkumi kumpulan cerpen, puisi, novel dan drama nilai hadiahnya diturunkan daripada RM10,000 kepada RM8,000 sahaja.

Hazami berkata, HSPM adalah penghargaan dwitahunan yang diberikan kepada karya sastera berbahasa Melayu.

Bagi penganjuran kali ini katanya, HSPM membuka pencalonan untuk karya yang diterbitkan pada tahun 2021/2022.

"HSPM dipecahkan kepada empat kategori iaitu buku dewasa; karya eceran; buku sastera kanak-kanak dan buku sastera remaja.

"Tarikh tutup pencalonan pada 1 April 2024 dan borang pencalonan boleh diperoleh daripada media sosial DBP," katanya.

Sementara itu Hazami berkata, DBP juga membuka pencalonan bagi Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2023.

Pencalonan itu katanya dibuka kepada persatuan penulis dan orang perseorangan selain mestilah dibuat berdasarkan format seperti ditetapkan sekretariat SEA Write, Malaysia.

"Calon mestilah warga Malaysia yang menulis dalam bahasa Melayu secara berterusan dan setiap pencalon dibenarkan mengemukakan satu nama sahaja," katanya.

Katanya berbanding dahulu yang menyaksikan pencalonan SEA Write perlu mengikuti giliran genre tetapi kini hal seperti itu tidak lagi terpakai.

Tarikh tutup pencalonan adalah 25 Mac 2024 dan borang pencalonan boleh diperoleh daripada media sosial DBP.

Berita Harian X