Isnin, 26 Februari 2024 | 12:00pm
Panglima Awang turut diabadikan sebagai sebahagian karya seni oleh pelukis terkenal, Ahmad Fuad Osman berjudul ' Enrique de Malacca Memorial Project (EDM) sekitar 2019. Gambar arkib NSTP
Panglima Awang turut diabadikan sebagai sebahagian karya seni oleh pelukis terkenal, Ahmad Fuad Osman berjudul ' Enrique de Malacca Memorial Project (EDM) sekitar 2019. Gambar arkib NSTP

Benarkah Melayu orang pertama mengelilingi dunia?

MELAKA: Watak Panglima Awang bukan kisah khayalan penulis Harun Aminurrashid seperti yang dipapar dalam novel berjudul serupa terbitan tahun 1958.

Sebaliknya ia adalah rakaman kisah sejarah mengenai Panglima Awang, orang pertama yang didakwa berjaya mengelilingi dunia.

Bagaimanapun, seperti mana sejarah watan yang terjajah nama anak tempatan selalu ditenggelami dan dalam kes Panglima Awang, 'tuannya' Ferdinand Magellan lebih dikenali. Sedangkan jika mengikut sejarah, Magellan sudah pun mati dibunuh di Filipina.

Baru-baru ini, Universiti Islam Melaka membongkar kisah Panglima Awang menerusi syarahan umum yang disampaikan Pensyarah Universiti Leiden, Belanda, Dr Surya Suryadi.

Dalam syarahannya itu, Suryadi berkata Panglima Awang lebih dikenali sebagai 'Enrique de Malacca' atau 'Henry The Black' dalam kalangan sarjana Barat. Namun ia tidak menenggelamkan fakta beliau sebagai anak Melayu yang belayar mengelilingi dunia antara tahun 1511-1521.

Katanya, berdasarkan catatan sejarah Panglima Awang dikatakan turut berperang menentang Portugis namun akhirnya ditawan yang menyaksikan dia dijadikan tahanan perang.

"Panglima Awang kemudiannya diserahkan kepada Magellan oleh Alfonso de Albuquerque. Ketika itu dia mungkin berumur dalam belasan tahun.

"Ketika itu, Magallen hendak meninggalkan Melaka pada Disember 1511 sesudah Melaka berjaya dikuasai Portugis.

"Menjadi hamba kepada Magellan menyebabkan nama asalnya ditukar kepada 'Henry The Black' atau 'Enrique de Malacca'," katanya.

Pensyarah Universiti Leiden, Belanda, Dr Surya Suryadi.
Pensyarah Universiti Leiden, Belanda, Dr Surya Suryadi.

Kongsi Suryadi, berdasarkan catatan penulis, Antonio Pigafetta yang belayar bersama Magellan antara tahun 1519 hingga 1521, Panglima Awang sentiasa mengikut lelaki Portugis itu belayar ke mana sahaja termasuk ketika pelayaran mengelilingi dunia bersama lima buah kapal dan 270 kelasi.

"Selain kapal Trinidad yang dikenderai bersama Magellan, empat lagi kapal yang turut sama belayar adalah San Antiono, Conception, Victoria dan Santiago," katanya.

Tambah Suryadi, apabila Magellan terbunuh dalam satu kejadian di Cebu, Filipina hanya sebuah kapal iaitu Victoria sahaja selamat sampai ke Portugal bersama 18 kelasi termasuk Pigafetta.

Justeru kata Suryadi, menerusi catatan Pigafetta itulah kisah Panglima Awang diketahui selain fakta berkaitan kematian Magellan.

Bagaimanapun katanya, terdapat dua versi cerita mengenai Panglima Awang. Selain versi Pigafetta, sebuah lagi catatan oleh pembantu Raja Sepanyol iaitu Maximillianus Transylvanus turut menuliskan mengenai Panglima Awang.

Transylvanus katanya, turut mencatatkan temubualnya dengan kapten Kapal Victoria, Sebastian Elcano Juan.

"Namun dalam catatan Pigafetta, walaupun dia menuliskan hanya 18 daripada 270 anak kapal selamat tiba di Portugal, tetapi Panglima Awang tidak ada dalam senarai.

"Bagaimanapun, dipercayai Elcano tahu mengenai kewujudan Panglima Awang justeru salinan catatan Transylvanus seharusnya diperoleh bagi memperincikan lagi mengenai Panglima Awang," katanya.

Tegas Suryadi, catatan Transylvanus itu dipercayai disimpan di Sepanyol dan mampu menyingkap sejarah mengenai tokoh berkenaan secara jelas. Hal ini disebabkan Pigafetta tidak menyatakan dengan tepat sama ada Panglima Awang kembali ke Melaka atau Sumatera malah mungkin terus menetap di Cebu selepas kejadian yang meragut nyawa Magellan.

Katanya, setakat ini catatan milik Transylvanus mengenai Panglima Awang disebutkan anak Melayu asal Maluku, namun Pigafetta mencatatkan lelaki itu berasal dari Sumatera.

Selepas ratusan tahun, kisah Panglima Awang masih menarik perhatian umum terutama dalam kalangan penduduk di alam Melayu. Malah sekitar tahun 40-an dan 50-an, banyak buku mengenai Panglima Awang diterbitkan. Antaranya tulisan Mohd Taha Suhaimi yang diterbitkan dalam Majalah Fajar Asia pada 1944 dengan judul 'Anak Melayu Pertama Mengeliling Dunia'.

Malah katanya, akhbar Straits Times Singapura juga pernah menerbitkan artikel bertajuk ' First Man To Sail Round A World Was A Malay' pada 22 Oktober 1955. Begitu juga tulisan dalam akhbar Waspada dengan judul "Pengeliling Dunia Pertama adalah Seorang Indonesia' pada 2 Julai 1956.

"Bagaimanapun kisah Panglima Awang ini benar-benar popular apabila dinovelkan oleh Harun Aminurrashid dengan judul 'Panglima Awang'

"Malah ia turut disusuli dengan novel Anak Panglima Awang pada 1961 terbitan Pustaka Melayu Singapura," katanya.

Katanya, novel mengenai Panglima Awang turut diterbitkan di Filipina masing-masing pada 1997 dan 2002. Kedua-duanya dihasilkan oleh Carla M Pacis bagaimanapun novel itu ditulis dengan mengambil sudut pandang Filipina dan menjadi menjadi antara teks sekolah menengah di sana.

Suryadi berkata, kisah Panglima Awang turut dirakam oleh HM Tuah Iskandar pada 2003 dengan judul Enrique Mengundang Jauh selain di Indonesia, ia turut dirakam dalam novel Enrique Maluku, dan Pengeliling Bumi Pertama Adalah Orang Indonesia masing-masing tulisan Helmy Yahya dan Reinhard R Tawas yang diterbitkan pada 2014.

Berita Harian X