Isnin, 26 Februari 2024 | 11:54am
 Samudra Raksa, replika perahu yang dipahat pada Candi Borobudur. Gambar ihsan pengkaji.
Samudra Raksa, replika perahu yang dipahat pada Candi Borobudur. Gambar ihsan pengkaji.

Tiada istilah jong China

KUALA LUMPUR: Tiada istilah jong China dalam sejarah pelayaran orang Melayu sebaliknya perkataan jong datang daripada bahasa Jawa yang bermaksud perahu besar.

Jong Melayu sudah berada di Nusantara sejak abad pertama sebelum masihi malah menurut sejarawan Perancis, Pierre-Yves Manguin ia sudah kelihatan di pelabuhan tenggara China sejak sekitar abad kedua masihi.

Kapal layar China pula hanya mula kelihatan di alam Melayu pada abad ketujuh apabila mereka mula aktif mencari rempah ratus.

Sejarawan dan mantan pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ahmad Jelani Halimi, berkata orang Melayu menggelarkan kapal layar dari China itu sebagai wangkang.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di tangan penulis dan penyelidik Barat, mereka turut menggunakan istilah jong untuk merujuk kepada kapal layar China yang mula banyak memasuki pelabuhan di Melaka, Singapura dan Brunei.

"Ketika wangkang China itu mula masuk, jong Melayu sudah pupus.

"Tapi orang Inggeris ini, mereka mahu memudahkan cerita jadi mereka sebut ikut sedap lidah sahaja, padahal terdapat ciri-ciri yang berbeza antara jong Melayu dan wangkang China," katanya dalam temubual dengan BH.

Tegas Ahmad Jelani, maklumat mengenai jong banyak direkodkan oleh pihak China kerana ada pegawai khas ditugaskan untuk mencatatkan jenis, bentuk dan saiz perahu serta kapal yang masuk ke pelabuhan mereka sejak sebelum abad pertama Masihi lagi.

Malah katanya, dalam rekod China jong Melayu itu dirujuk sebagai 'Kun-lun bo'. Bo bermaksud 'kapal untuk kegunaan laut', manakala kun-lun merujuk 'orang Asia Tenggara' yang mengendalikannya.

"Antara ciri jong yang ditulis adalah kapal itu kelihatan besar-besar belaka, ada yang sepanjang 50 ke 60 meter dan mampu terapung empat ke lima meter di permukaan air. Ia boleh membawa antara 600 hingga 700 penumpang kapal dengan 10,000 tan kargo.

"Jong memiliki empat bidang layar yang mereka jajarkan dari haluan (bahagian depan kapal atau 'bow') ke buritan (bahagian belakang kapal). Layarnya diperbuat daripada ijuk begitu juga tali-temalinya kerana bahan ini boleh tahan bertahun-tahun dalam air masin, tidak seperti tali atau bahan yang diperbuat daripada sabut kelapa.

"Lagi pun layar kajang yang diperbuat daripada daun nipah atau rumbia tidak mungkin dapat bertahan dengan ribut dan badai yang melanda di laut lepas," katanya.

Sejarawan dan mantan pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ahmad Jelani Halimi. Gambar ihsan Ahmad Jelani Halimi.
Sejarawan dan mantan pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ahmad Jelani Halimi. Gambar ihsan Ahmad Jelani Halimi.

Ahmad Jelani berkata, terdapat perbezaan jong dengan wangkang Cina (yang disebut Inggeris sebagai 'junk') dari sudut layar, tiang, kemudi, sauh dan bentuk perahu.

Antaranya, layar jong Melayu berbentuk empat segi bujur yang dipanggil layar tanjak. Ia dipasang tepat ke hadapan, tetapi tidak terikat mati di tiang. Ia turut disusun miring bagi membolehkan layar dipusing-pusingkan untuk memperoleh dan menyalurkan tiupan angin ke layar lain.

Layar itu juga katanya tidak mempunyai alang-alang, sebaliknya hanya sekeping alang di atas hingga ke bawah di mana terdapat satu alang lagi. Apabila hendak belayar, layar itu dinaikkan dari bawah dan diturunkan bila berlabuh.

Katanya, hal ini berbeza dengan layar wangkang Cina yang mempunyai banyak alang dan boleh ditarik sebahagian bagi menyesuaikan dengan tiupan angin.

"Selain itu, tiang perahu Melayu tidak dimatikan di belakang (punggung) perahu itu tetapi di tempatkan pada tripod yang dipasang di punggung perahu itu.

"Apabila berlabuh atau di kalang, tiang itu boleh dicabut untuk diganti atau diperbaiki.

"Hal ini tidak berlaku pada wangkang China, di mana semua tiangnya dipasang mati. Di samping itu perahu-perahu China banyak menggunakan peralatan besi seperti paku dan ensel," katanya.

Kongsinya lagi, seperkara lagi yang sangat jelas ialah jong Melayu menggunakan dua kemudi yang ditempatkan di kiri dan kanan buritannya. Malah katanya ia dicatatkan dalam Undang-undang Laut Melaka hinggakan terdapatnya istilah jurumudi kiri dan jurumudi kanan.

"Di samping itu jong Melayu tidak punya dek, kurung (bilik) dibina di dalam perahu itu sendiri di bahagian buritannya. Tidak seperti wangkang yang mempunyai dek.

"Melayu juga ada sebuah jong yang yang dikenali sebagai perahu Borobudur. Bentuk layarnya sama seperti jong Melayu dengan layar tanjak. Ia ada terpahat di dinding Candi Borodubur," katanya.

Tegas Ahmad Jelani, masyarakat kita khususnya sarjana tempatan sangat terpengaruh dengan pengkaji Barat apabila turut menggunakan istilah jong untuk merujuk kepada kapal layar China. Sedangkan istilah tidak tepat berasaskan sejarah pelayaran orang Melayu.

"Istilah jong untuk kapal Melayu wujud sejak abad ke-15 lagi dalam Kanun dan Undang-undang Laut Melaka. Istilah yang digunakan untuk merujuk kepada perahu adalah jong.

"Malangnya hingga hari ini kita masih tidak dapat sebuah pun gambar contoh jong Melayu. Apa yang banyak disebarkan adalah wangkang China.

"Kalau adapun gambar jong Melayu ia hanyalah lakaran daripada pihak Portugis, dan bayangan pelukis mengenai jong zaman purba itu," katanya.

 Imej perahu seperti yang terpahat pada Candi Borobudur. Gambar ihsan pengkaji
Imej perahu seperti yang terpahat pada Candi Borobudur. Gambar ihsan pengkaji

Berita Harian X