Isnin, 19 Februari 2024 | 11:07am
 Secara teorinya individu yang bergiat aktif dalam industri seni tidak sepatutnya miskin. Gambar hiasan
Secara teorinya individu yang bergiat aktif dalam industri seni tidak sepatutnya miskin. Gambar hiasan

"Insan seni sepatutnya tidak miskin'

KUALA LUMPUR: Secara teorinya individu yang bergiat aktif dalam industri seni tidak sepatutnya miskin kerana di dalam setiap perkara ada hak cipta yang boleh menjana pendapatan kepada pengkarya khususnya penulis.

Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Nisah Haron, berkata apabila karya seorang penulis dipersetujui untuk diterbitkan oleh rumah penerbitan, wujud beberapa hak yang boleh dituntut oleh pengkarya itu.

Nisah yang juga Ahli jawatankuasa kerja Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), berkata antara hak yang boleh dituntut adalah terjemahan, mengadaptasi, animasi atau menjadikan petikan-petikan di dalam karya itu sebagai poskad.

"Penerbit selalunya akan merangkumkan semua hak itu dalam satu klausa.

"Tapi sebagai penulis, kita mestilah membaca setiap satu hak berkenaan dan menandakan klausa yang mana kita bersetuju dan tidak bersetuju.

"Malah jika di luar negara, hak untuk buku berkulit tebal dan buku nipis boleh dibahagikan kepada dua perkara yang berbeza.

"Sampai begitu sekali boleh dilakukan. Mungkin di sini (disebabkan) suasana ekonomi dan sebagainya tidak pasti mengapa hak-hak itu dirangkumkan dalam satu klausa," katanya dalam program Bual Bicara: Isu Etika, Plagiat, Hak Cipta Dalam Penulisan anjuran GAPENA, di sini baru-baru ini.

Nisah Haron berkata apabila karya seorang penulis dipersetujui untuk diterbitkan oleh rumah penerbitan, wujud beberapa hak yang boleh dituntut oleh pengkarya itu. Gambar arkib NSTP
Nisah Haron berkata apabila karya seorang penulis dipersetujui untuk diterbitkan oleh rumah penerbitan, wujud beberapa hak yang boleh dituntut oleh pengkarya itu. Gambar arkib NSTP

Tegas Nisah, mungkin tindakan merangkumkan semua hak itu dalam satu klausa dibuat untuk mempermudahkan urusan atau mungkin ia sudah menjadi amalan penerbit tetapi sebenarnya, penulis memiliki hak untuk mengasingkannya.

Justeru kata Nisah, penulis boleh berunding untuk mendapatkan hak mereka sekiranya karya itu ingin diubah dalam bentuk lain.

"Secara peribadi jika ia berlaku kepada saya, kontrak baharu akan disusulkan kerana ia akan lebih spesifik," katanya.

Katanya, Akta Hak Cipta 1987 secara jelas menyebutkan terdapat tujuh karya yang dilindungi mengikut akta berkenaan iaitu karya sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi dan siaran.

Perlindungan itu katanya tidak mengira kualiti dan tujuan karya itu dihasilkan. Novel, cerita, buku, risalah, manuskrip dan karya syair semuanya termasuk di bawah karya sastera. Sastera tradisional syair juga antara karya bertulis yang termasuk di dalam sastera.

"Semua yang bertulis itu ada hak cipta, ia disebutkan dengan jelas dan dimasukkan ke dalam karya sastera. Perkara yang tiada hak cipta antaranya adalah domain awam.

"Domain awam membabitkan karya yang sudah melangkaui sesuatu tempoh kebiasaannya 50 tahun. Dokumen-dokumen kerajaan juga tiada hak cipta misalnya penghakiman yang sudah jadi rekod awam," katanya.

Justeru, Nisah menyarankan seseorang penulis perlu untuk meneliti syarat yang diletakkan oleh penerbit mahupun penganjur sayembara. Hal ini kerana ada kala penganjur sayembara mensyaratkan karya yang menyertai pertandingan itu jika diterbitkan akan menjadi milik penganjur.

"Apakah yang dimaksudkan dengan hak milik. Adakah hak cipta kepada sayembara?

"Ada juga pertandingan yang menjadikan karya menulis itu sebagai hak milik mereka walaupun penulis tidak menang. Sebenarnya sekiranya penulis tidak memenangi sayembara, sepatutnya bebas.

"Karya pemenang pula kadang kala ingin diterbitkan oleh penerbit. Hak yang pertama itu sepatutnya dipegang oleh penerbit, dengan ingatan bahawa penerbit mampu untuk menerbitkan,"katanya.

Mengulas lanjut beliau juga berkata dalam konteks penganjur, penulis perlu semak adakah penerbit mampu menerbitkan karya pemenang, jika tidak mampu, hak cipta itu tidak sepatutnya dipegang oleh penganjur.

"Apabila sudah menang, penulis perlu tandatangan kontrak. Tidak cukup hanya dengan syarat pertandingan sahaja. Berapakah royalti yang akan diperoleh? Perkara itu perlu spesifik," katanya.

Berita Harian X