Isnin, 5 Februari 2024 | 1:12pm
Balai Seni Lukis menyimpan hampir 5,000 koleksi seni. Gambar NSTP/Genes Gulitah
Balai Seni Lukis menyimpan hampir 5,000 koleksi seni. Gambar NSTP/Genes Gulitah

Penyimpan sejarah visual negara

KUALA LUMPUR: Aliran fesyen, muzik, makanan malah seni akan menjadi tawar dan hilang sengat sekiranya tiada inovasi yang dilakukan.

Hal ini tentunya sebahagian lumrah manusiawi, akan sentiasa dahagakan perkara-perkara yang baharu dan juga menarik.

Justeru, selepas hampir 66 tahun Balai Seni Negara ditubuhkan, apakah ia masih relevan, mampu menarik lebih ramai pengunjung dan paling utama bagaimana ia akan menempatkan dirinya selari dengan perkembangan teknologi semasa.

Ketua Pengarahnya, Amerrudin Ahmad, berkata Balai Seni Negara hari ini perlu berevolusi daripada menjadi sebuah wadah untuk mempamerkan hasil seni semata-mata.

"Kewujudan Balai Seni Negara masih lagi relevan sehingga sekarang. Ia adalah sesuatu tempat untuk memelihara maklumat visual.

"Perkara ini adalah perlu supaya generasi yang akan datang dapat menghayati kekayaan negara kita dalam bentuk seni visual.

"Jika sebelum ini mungkin Balai Seni Negara hanya menjadi tumpuan komuniti pelukis sahaja tetapi hari ini ia sudah berubah kerana turut menjadi tumpuan masyarakat secara keseluruhannya," katanya.

Hal ini tegas Ameruddin menjadikan Balai Seni Negara sebagai penghubung antara masyarakat dengan pelukis yang menyampaikan maklumat visual.

Kongsinya, sejak ditubuhkan pada 1958 Balai Seni Negara yang awalnya bertapak di Jalan Ampang, menyimpan sebanyak 5,000 koleksi seni terdiri daripada lukisan, catan, seni cetak, fotografi dan arca.

"Kita tidak boleh melihat ia adalah milik Balai Seni Negara semata-mata sebaliknya ia perlu dilihat sebagai khazanah negara dan kami adalah agensi yang bertanggungjawab untuk memelihara khazanah seni visual.

"Namun jika ditanya yang mana koleksi paling berharga, tidak ada jawapan untuk itu kerana untuk menentukan nilai sebuah karya adalah relatif.

"Nilai karya disandarkan kepada dua perkara iaitu adalah nilai kewangan dan nilai kepada negara. Tidak semestinya harga yang murah itu tidak bernilai.

"Misalnya sebuah lukisan kotak beca yang memaparkan kehidupan sosial masyarakat di Terengganu, mungkin murah harganya jika diukur secara materi tetapi perlu diketahui gambaran kehidupan dalam karya itu sudah tidak lagi wujud," katanya.

Ketua Pengarahnya, Amerrudin Ahmad. Gambar NSTP/Genes Gulitah
Ketua Pengarahnya, Amerrudin Ahmad. Gambar NSTP/Genes Gulitah

Hal ini tegas Ameruddin menjadikan 28 keping lukisan kotak beca itu menjadi sangat mahal apatah lagi Kerajaan Terengganu sendiri pun tidak menyimpan karya seperti itu.

Namun jika mahu diukur dari segi standard semasa, Ameruddin berkata antara karya seni yang disifatkan bernilai tinggi dan mempunyai impak kepada negara, termasuklah buah tangan daripada Datuk Syed Ahmad Jamal, Abdul Latiff Mohidin, Datuk Ibrahim Hussein, Cheong Lai Tong, Chuah Thean Teng dan lebih ramai lagi.

Katanya, Balai Seni Negara ketika ini mencatat peningkatan pengunjung, secara umum ia menerima hingga 200 orang pada hari biasa dan mencecah 1,000 pada hujung minggu.

Satu hal yang dapat dikesan katanya, minat dan tarikan generasi muda terhadap seni memberi kelebihan kepada Balai Seni Negara.

"Sepanjang hampir 66 tahun penubuhan Balai Seni Negara, lebih 80 koleksi tetap dimuatkan dalam buku teks pendidikan seni di sekolah. Jadi apabila generasi muda ini dewasa, secara tidak langsung mereka mengenali beberapa pelukis tempatan yang dipelajari sewaktu di sekolah dan menjadi punca minat mereka terhadap seni.

"Selain itu ada juga pengunjung dalam kalangan pelajar sekolah sendiri yang datang ke sini kerana mahu melihat lukisan-lukisan yang dipelajari dalam buku teks secara nyata," katanya.

Katanya menjelang usia menjangkau 70 tahun dalam tempoh empat tahun lagi, Balai Seni Negara katanya harus berperanan lebih aktif.

Justeru tegas Ameruddin, Balai Seni Lukis memberi ruang khusus kepada pelukis untuk tampil dengan karya baharu setiap tiga bulan.

Dikenali sebagai 'Singles', ia adalah peluang untuk pelukis tampil dengan karya berbeza dan setakat ini kata Ameruddin, sudah ada lima artis yang diundang untuk mengisi Singles.

"Ini adalah sebahagian usaha kita untuk mendorong artis meneroka kreativiti mereka.

"Dalam masa sama, kita juga ada pameran di tingkat tiga untuk mengenali budaya tempatan dan luar negara.

"Malah kita turut menjayakan usahasama dengan pihak luar misalnya sebelum ini ada pameran dengan kerjasama Korea Selatan untuk pameran budaya mereka atau 'Hallyu'," katanya.

Balai Seni Negara ketika ini mencatat peningkatan pengunjung, secara umum ia menerima hingga 200 orang pada hari biasa dan mencecah 1,000 pada hujung minggu. Gambar NSTP/Genes Gulitah
Balai Seni Negara ketika ini mencatat peningkatan pengunjung, secara umum ia menerima hingga 200 orang pada hari biasa dan mencecah 1,000 pada hujung minggu. Gambar NSTP/Genes Gulitah

Tegas Ameruddin, mengimbas impak COVID-19 yang melanda dunia sekitar 2020, Balai Seni Lukis turut terkesan.

Justeru antara pendekatan yang diambil bagi untuk membantu pelukis-pelukis tempatan meneruskan kehidupan adalah melakukan pelbagai projek berkaitan menerusi dalam talian.

"Kami jemput mereka melakukan video pendek untuk mempromosikan Balai Seni Negara dan kita bayar mereka.

"Ia usaha kecil tapi relevan kerana ketika itu kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.

Berita Harian X