Isnin, 29 Januari 2024 | 2:04pm
Struktur candi baharu dan arca prasasti beraksara pallava yang ditemui Nasha dan kumpulan penyelidik USM dan Jabatan Warisan Negara di kawasan Tapak Arkeologi Bukit Choras, Kedah tahun lalu. Gambar arkib NSTP
Struktur candi baharu dan arca prasasti beraksara pallava yang ditemui Nasha dan kumpulan penyelidik USM dan Jabatan Warisan Negara di kawasan Tapak Arkeologi Bukit Choras, Kedah tahun lalu. Gambar arkib NSTP

"Ahli arkeologi bukan pemburu harta karun"

GEORGETOWN: Filem Indiana Jones yang mengangkat watak profesor arkeologi, lakonan Harrison Ford sedikit sebanyak mempengaruhi persepsi khalayak terhadap profesion seorang ahli arkeologi selama lebih empat dekad sejak kemunculannya menerusi Raiders of the Lost Ark pada 1981.

Bagaimanapun, menurut Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (PPAG-USM), Dr Nasha Rodziadi Khaw, hakikatnya kerjaya sebagai ahli arkeologi bukan soal obsesi memburu harta karun atau mengembara ke serata dunia semata-mata.

Sebaliknya kata Nasha, profesion itu cenderung kepada usaha merekonstruksi kebudayaan dan cara hidup manusia semasa zaman lampau dan memelihara warisan budaya negara serta bangsa.

"Ramai menganggap penyelidikan arkeologi bagaikan suatu perkara 'romantik' seperti kisah Indiana Jones selain memikirkan kerjaya itu membolehkan mereka 'terbang' mengembara ke serata dunia.

"Sedangkan, ada masanya seseorang ahli arkeologi itu menghabiskan masa di satu-satu lokasi ekskavasi dan melakukan perkara sama selama bertahun-tahun lamanya. Lebih menghampakan, apabila usaha pencarian tidak berhasil

"Jadi saya melihat ahli arkeologi tidak ubah seperti detektif. Cuma, jika detektif biasanya menyiasat sesuatu kes yang terjadi seminggu atau beberapa tahun lalu, ahli arkeologi pula cuba menjawab persoalan silam yang usianya mencecah ribuan tahun," katanya kepada BH.

Bagi anak kelahiran Taiping, Perak itu, minat beliau terhadap arkeologi sudah bercambah sejak di bangku sekolah sebelum meraih kesempatan mendaftarkan bidang itu sebagai kursus minor sewaktu bergelar pelajar Ijazah Sarjana Muda di Pusat Pengajian Sains Kimia USM.

Katanya, detik pemicu kepadanya untuk menjadi ahli arkeologi adalah semasa melawat Muzium Arkeologi Lembah Bujang pada 2006 kerana terpesona dengan artifak yang dipamerkan.

Hari ini, pilihan itu nyata tepat apabila Nasha menjadi satu-satunya anak Malaysia mempunyai kepakaran khas bidang epigrafi dan paleografi iaitu antara cabang disiplin dalam bidang arkeologi sejarah membabitkan kajian dan analisis terhadap tulisan purba yang dipahat atas prasasti seperti batu bersurat atau kepingan logam.

Peluang itu hadir apabila beliau terpilih melanjutkan pengajian dalam bidang epigrafi dan paleografi pada peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universitiy of Peshawar, Pakistan sekali gus menjadi penuntut tunggal dari Malaysia yang berada di universiti berkenaan pada 2011 hingga 2016.

Nasha berkata, setakat ini beliau sudah menterjemah lebih 80 prasasti yang ditemui di Pakistan, Afghanistan, Malaysia dan Indonesia.

Menurut Nasha, kerjaya sebagai ahli arkeologi bukan soal obsesi memburu harta karun atau mengembara ke serata dunia semata-mata. Gambar NSTP/Mikail Ong
Menurut Nasha, kerjaya sebagai ahli arkeologi bukan soal obsesi memburu harta karun atau mengembara ke serata dunia semata-mata. Gambar NSTP/Mikail Ong

Tambahnya, terdapat beberapa prasasti yang dikaji memberi maklumat baharu mengenai kebudayaan masyarakat lampau, antaranya Kalam Semah yang ditemui di Gua Kurung Batang, Perlis pada era 60-an.

"Saya adalah pengkaji pertama berjaya menterjemah teks di atas Kalam Semah itu pada 2013, ia mengandungi mantera agama Buddha yang turut ditemui di tapak-tapak lain di Asia Tenggara dan benua kecil di India.

"Saya teruja ketika berhasil memahami suatu inskripsi kerana prasasti yang diterjemah adalah hasil daya literasi dan pengalaman penulis beberapa kurun dahulu yang tidak pernah diubah suai serta berada dalam keadaan asal.

"Ia memberi peluang kepada saya untuk memahami sudut pandang penulis berkenaan seterusnya memberi gambaran mengenai persekitaran budaya dan politik pada waktu itu," katanya.

Terbaharu, beliau bekerjasama dengan penyelidikan dari Universitas Indonesia sudah menterjemahkan sebuah prasasti berbentuk kepingan tembaga. Hasil kajian mendapati, prasasti itu memahatkan rasa tidak puas hati seorang individu kerana tanahnya dirampas ketua kampung pada zaman Kerajaan Majapahit.

"Prasasti dalam bahasa Jawa kuno itu diwariskan turun-temurun kepada cucu cicit individu itu sebagai peringatan bahawa tanah mereka dirampas dengan cara tidak adil.

"Ia turut mencatatkan nama pemilik tanah, bapa dan anak-anaknya serta nama individu yang merampas tanah pusaka terbabit.

"Meskipun kurang daripada 50 perkataan, kami mengambil masa kira-kira tiga tahun menterjemah prasasti yang ditemui pada 2019 sebelum dapat menerbitkan hasil penyelidikan itu tahun lalu," katanya.

Tambah Nasha yang dua kali dinobat sebagai Penyunting Terbaik pada Majlis Anugerah Buku Negara termasuk pada Disember lalu, kumpulan penyelidiknya sudah menerbitkan sembilan buku yang antaranya membahaskan mengenai sejarah dan kebudayaan kerajaan-kerajaan Melayu awal dan bakal menerbitkan dua buku lagi tahun ini.

Nasha menjadi satu-satunya anak Malaysia dengan kepakaran khas bidang epigrafi dan paleografi iaitu cabang disiplin dalam bidang arkeologi sejarah membabitkan kajian dan analisis terhadap tulisan purba yang dipahat atas prasasti. Gambar NSTP/Mikail Ong
Nasha menjadi satu-satunya anak Malaysia dengan kepakaran khas bidang epigrafi dan paleografi iaitu cabang disiplin dalam bidang arkeologi sejarah membabitkan kajian dan analisis terhadap tulisan purba yang dipahat atas prasasti. Gambar NSTP/Mikail Ong

"Ia pekerjaan yang bagi saya sampai tempoh bersara pun tidak akan selesai. Misalnya, saya mula menjalankan penyelidikan arkeologi Kedah Tua 2006 untuk kursus minor semasa masih bergelar pelajar USM. Selepas sambung Ijazah lanjutan saya masih teruskan kajian di sana bila balik dari Pakistan saya kembali lagi ke tapak itu.

"Sekarang fokus penyelidikan saya adalah di Lembah Bujang. Saya menjalankan kerja ekskavasi tapak candi untuk menjawab persoalan mengenai aspek politik, sosial, ekonomi, kebudayaan masyarakat Kedah Tua dan masih ada banyak tapak dan persoalan belum terjawab.

"Dalam hal ini, analisis kajian harus dilaksanakan dengan teliti dan ini mengambil masa. Saya percaya dalam penyelidikan akademik, kita tidak boleh terburu-buru untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat daripada kerja ekskavasi yang dilakukan," katanya.

Menyingkap sisi lain kisah hidupnya, Nasha bercerita beliau bangun seawal jam 3 pagi demi menyempurnakan rutin gimnasium termasuk berlari sekurang-kurangnya empat kilometer, lima kali seminggu sebelum memulakan hari yang padat dengan tugasan di lapangan selain tanggungjawab hakiki di kampus.

"Saya rasa amat penting untuk memastikan kecergasan fizikal kerana tugas ahli arkeologi boleh dikatakan mencabar dalam aspek mental dan fizikal. Ini memandangkan tapak arkeologi selalunya berada di kawasan hutan, jauh dari penempatan masyarakat selain lokasinya sukar diakses menggunakan laluan biasa.

"Jadi ketahanan diri amat penting. Sebab saya belum pernah jumpa kerja ekskavasi yang senang dan ada masanya kami perlu mengangkat artifak yang berat," katanya.

Berita Harian X