Isnin, 29 Januari 2024 | 1:54pm

Cerpen BH Ahad: Nippon

1941

Khabar angin tersebar luas. Khabar angin menjelajah setiap inci bumi Tanah Melayu ketika itu. Kononnya, Nippon sedang melebarkan sayap kuasa. Sayap kuasa dari Timur Jauh. Sayap kuasa bermula dengan serangan di utara Semenanjung Tanah Melayu. Nippon sedang mara. Marabahaya sudah menjelma. Marabahaya kian hampir. Nippon sedang bermaharajalela! Nippon sedang membina empayar. Empayar negara-negara Timur Jauh di rantau Asia Tenggara.

Ah Hai kian digigit bimbang. Resah-gelisahnya kian berpesta di kalbu hati. Duduk berehat masih memikirkan Nippon. Berdiri bekerja masih terngiang-ngiang akan berita itu. Kata orang, mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur tak lena dibuat oleh khabar angin itu. Benar, Ah Hai kian diikat resah. Gelisah yang serba salah. Tak keruan dibuatnya. Nasib anak-anakku, bagaimana? Isteri? Keluarga leluhur? Apakah benar Nippon sudah berjaya menduduki Daerah Engchun, Wilayah Fujian di Tanah Besar?

Teka-teki itulah menemani Ah Hai di Tanjong Malim. Biar apapun, Ah Hai perlu meneruskan rutin kehidupan. Ah Hai perlu tabah menelusuri kehidupan biarpun keadaan tidak menentu pada ketika itu. Hakikatnya, Ah Hai perlu membantu Tauke Teh. Khidmat bakti Ah Hai amat diperlukan di kedai Sin Teck Soon. Satu-satunya pemborong dan pengedar utama barangan runcit di Tanjong Malim, Daerah Batang Padang termasuk Hulu Bernam, Kalumpang, Kerling, Kuala Kubu Bharu, Rasa dan Batang Kali. Di sinilah, segala-galanya ada. Beras, gula, garam, susu, tepung, minyak masak, minyak tanah, kentang, bawang dan makanan dalam tin dari Australia. Masyarakat Tanjong Malim dan sekitarnya amat bergantung pada syarikat tersebut sementelahan pada era kegawatan. Kegawatan pada era penjajahan dan peperangan. Maklumlah, era itu era Perang Dunia Kedua!

Setiap dwiminggu, pekerja syarikat perlu bekerja di stesen kereta api Tanjong Malim. Selain urusan pemasaran, mereka perlu menunggu ketibaan kereta api barang dari Kuala Lumpur. Di situlah, gerabak demi gerabak barang akan dipunggah ke dalam lori Bedford dan van milik syarikat. Kemudian, dari lori dan van itulah barang-barang tersebut akan dipindahkan ke dalam stor syarikat. Stor itu terletak di belakang deretan kedai dua tingkat Jalan Besar, betul-betul menghadap Jalan Chong Ah Peng. Dan, di situlah, Ah Hai gigih membanting tulang empat kerat demi kelangsungan hidup diri, keluarga dan syarikat. Sungguh! Tanpa kuli macam Ah Hai dan rakan-rakan, bisakah syarikat itu dapat berfungsi dengan baiknya dan maju? Yang jelasnya, merekalah tulang belakang syarikat.

Siaran radio tempatan tetap ke udara biarpun sesekali diganggu oleh cuaca yang tidak menentu. Saban senja, sebaik usai mandi dan makan malam, di depan radio sebuah itulah, Ah Hai akan duduk termangu santai. Di depan radio berjenama SANYO antik itulah, Ah Hai mengikuti siaran berita dalam bahasa Mandarin biarpun tahap penguasaan bahasanya, sama ada lisan atau tulisan agak lemah. Maklumlah, Ah Hai buta huruf. Keluarga leluhurnya di Daerah Engchun miskin, tidak mampu untuk menyekolahkan Ah Hai dan adik-beradiknya. Mujur dia ditawarkan kerja oleh Tauke Teh. Berpeluanglah Ah Hai berhijrah ke Tanah Melayu melalui Singapura. Dari Singapura, Ah Hai dijemput oleh Tauke Teh ke Kuala Lumpur dengan kereta api sebelum bekerja dan bermastautin di Tanjong Malim. Tauke Teh, pemilik syarikat, antara saudagar kaya di Wilayah Quanzhou. Siang dan malam silih berganti. Ketidaktenangan hati Ah Hai kian luntur. Kata orang alah bisa tegal biasa. Betul juga kata orang tua-tua, jika tiada khabar berita alamatnya baik. Itulah yang difikirkan oleh Ah Hai dan beberapa orang pengurus estet berbangsa Eropah di Tanjong Malim!

Tora! Tora! Tora!

Suara keramat Nippon kian kedengaran. Suara semangat Nippon kian bersipongang. Tenggelamnya dua buah kapal perang British, HMS Repulse dan HMS The Prince of Wales pada 10 Disember 1941 di Laut China Selatan, menaikkan semangat infantri berbasikal dan kereta kebal ringan Nippon di Tanah Melayu. Askar-askar Nippon mendarat di Singora dan Patani, Siam serta Kota Bharu. Langit Tanah Melayu dipenuhi kapal terbang pejuang Nippon. Tiada sesiapa dapat menduga bahawa Nippon akan datang berperang di Tanah Melayu. Tiba-tiba penduduk setempat tergempar dek berita pengeboman Nippon ke atas Kuala Lumpur dan Gemas selepas Jitra, Alor Star, Pulau Pinang, Ipoh, Kampar dan Slim River. Dalam beberapa hari, kelibat askar Nippon kelihatan di mana-mana. Masyarakat Eropah mula diburu Nippon. Pemimpin Cina tempatan turut diburu Nippon, terutamanya yang anti-Nippon di Tanah Melayu. Rupa-rupanya, sebelum kehadiran mereka, ejen-ejen Nippon sudah berada di Tanah Melayu. Mereka bertugas sebagai jurugambar, doktor gigi dan perisik tentera Nippon.

Tentera British mula berundur ke Singapura. Kehadiran askar-askar Nippon bagaikan lalat datang berkerumun, tidak termampu disekat oleh tentera British. Sambil berundur, mereka memusnahkan jambatan untuk melambatkan pergerakan Nippon. Nippon kian mara. Biarpun ketiadaan jambatan, mereka sanggup berenang dan bergadai nyawa. Azam iltizam dalam perjuangan merupakan senjata ampuh Nippon untuk menguasai Tanah Melayu! Akhirnya, British menyerah kalah kepada Jeneral Tomoyuki Yamashita, Komander Nippon pada 15 Februari 1942!

Tora! Tora! Tora!

Daripada Pak Cik Teh, Ah Hai turut mendapat berita itu. Yang menariknya, tentera Nippon, turut menyerang Pelabuhan Pearl pada pagi 7 Disember 1941 dari Semenanjung Oahu untuk melengkapkan misi peluasan kuasa dan penjajahan di rantau Asia Timur. Pihak Nippon berhasrat untuk merealisasikan gagasan Kemakmuran Bersama Asia Timur Pasifik berslogankan "Asia untuk Asia"! 

"…sebanyak 2,403 orang mati. 188 kapal terbang perang musnah. Yang terselamat angkatan laut – Pacific Fleet, kapal selam dan simpanan minyak Amerika," ujar Pak Cik Teh terperinci bagaikan pemberita di medan perang.

 Ah Hai terlopong seketika. Maklumat Pak Cik Teh cukup menggemparkan. Yang pentingnya kini, usaha Pak Cik Teh, Ah Hai dan rakan-rakan sekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup di pekan Tanjong Malim selepas berundurnya British. Keganasan Nippon kian berleluasa. Kebinatangan Nippon kian bermaharajalela. Tindakan askar Nippon terpancar di hujung pedang panjang, Samurai. Kekejaman turut diterjemahkan dalam kebencian terhadap bangsa Eropah dan Cina. Kaum hawa turut diperlekeh. Berita kekejaman Nippon menjadi buah mulut penduduk. Banyak yang mati kerana kebuluran, penindasan, penderaan selain penularan penyakit berjangkit.

 "Tahanan Nippon didera, dipukul dan dipijak-pijak sehingga mangsa terpaksa mengaku, tidak sedar diri atau maut! Jadi, kita harus lebih berwaspada, Ah Hai. Ejen Nippon ada di mana-mana!"

 Ah Hai amat mengerti. Pesanan Pak Cik Teh perlu dijadikan peringatan. Nasihat Pak Cik Teh perlu dijadikan pedoman. Kata orang, yang baik perlu dijadikan panduan, yang buruk perlu dijadikan sempadan. Nippon kian mengganas. Nippon kian bermaharajalela. Tora (totsugeki raigeki "lightning attack") Nippon kian kuat kedengaran dalam rintis-rintis hujan dinihari yang belum pasti akan membuahkan harapan. Maka, bermulalah zaman ubi kayu. Zaman duit kertas pokok pisang. Era penampar Jepun. Inflasi. Masakan tidak, belacan zaman British bernilai lima sen sekati melambung tinggi harganya mencecah RM250 sekati pada zaman pendudukan Nippon! Apapun, Ah Hai perlu menguruskan diri. Rambut perlu digunting. Diri perlu kelihatan kemas. Itu disiplin diri sejak di kampung halaman leluhur, Engchun. Ah Hai keluar mencari Mutu, tukang gunting rambut bergerak di deretan kaki lima kedai, selang dua tiga pintu dari bangunan kedai Sin Teck Soon. Bertemankan cermin retak di bucu kanannya, sebuah bangku bulat dan sehelai kain lilit putih, Mutu gigih mencari rezeki seharian di kaki lima kedai.

"Gunting, Ah Hai?"

"Macam biasa, Mutu!"

"Baik…"

Orang ramai masih kelihatan bertali arus di kaki lima kedai. Barangkali, mereka mempunyai urusan peribadi yang perlu dilangsaikan segera. Maklumlah zaman perang. Sana sini, umum sibuk berbicara tentang berita kemaraan Nippon.

"Ada projek, Ah Hai?"

"Projek apa? Kerjalah Mutu!"

"Out station?"

"Bisnes susah sikitlah, Mutu. Zaman perang!"

Mutu berhenti sebentar. Diludahnya sisa kunyahan sirih. Kemudian mulutnya dilap dua tiga kali. Gunting dan sikat dalam capaian terus beroperasi. Ketika itulah, sayup-sayup kedengaran suara panggilan.

"Ah Hai!"

Suara itu seakan-akan suara Tauke Teh.

"Ah Hai!"

"Tauke?"

"Ah Hai, balik cepat! Nippon mahu datang!"

Nippon?

"Kemas segera! Bertolak ke Cameron sekarang! Nippon nak tangkap awak!" Arah Tauke Teh tanpa sebarang tolak ansur.

Belum habis bergunting, Ah Hai terpaksa bergegas ke kamarnya. Berbekalkan pakaian sepasang dua, sepatu lama dan sedikit wang saku, Ah Hai berkejar ke stesen bas Tanjong Malim. Dicarinya bas Mogah ke Sungkai sebelum menghala ke Bidor. Dia perlu bertukar bas di Tapah. Dari Tapah, baru Ah Hai dapat meneruskan perjalanannya ke Cameron Highlands. Jalan Cameron bagaikan ular kena palu. Bas bergerak perlahan-lahan dari Tapah ke Ringlet. Ringlet ke Tanah Rata. Tanah Rata ke Brinchang. Di Brinchanglah, Ah Hai bertemu dengan Ah Yee, rakan kenalan Tauke Teh. Ah Yee sudah bersiap siaga. Segala-galanya telah diaturkan oleh Tauke Teh. Di situlah, Ah Hai menjalani kehidupan selama mungkin. Ejen Nippon sedang memburu para penyokong anti-Nippon di Tanah Melayu. Anti-Nippon wujud selepas Jepun melanggar China pada 1937. Yang jelasnya, Nippon anti-Tanah Besar. Anti-Tanah Besar bererti anti-Tionghoa. Maka berkelanalah Ah Hai di Tanah Tinggi Cameron. Sebulan. Dua bulan atau barangkali berbulan-bulan lamanya. Gagal Nippon untuk menjejaki Ah Hai. Sebagai galang gantinya, Tauke Teh pula ditangkap, ditahan dan disoal siasat selama tujuh hari. Pelbagai deraan dan layanan buruk perlu dilalui oleh Tauke Teh sebelum dilepaskan. Keadaan ini amat merisaukan Ah Hai. Ah Hai bagaikan cacing kepanasan.

"Ah Hai, biar apapun berlaku, jangan sekali-kali kaupulang ke Tanjong Malim. Ingat!"

Ah Hai terpaksa akur akan isyarat Tauke Teh. Itu perintah orang tua. Arahan orang lama yang perlu dihormati. Asam garam pengalaman hidupnya cukup banyak. Jika tidak, akan jadi sia-sialah tempoh tahanan Tauke Teh di pusat tahanan Nippon di Tanjong Malim. Dari Brinchang, Ah Hai berpindah ke Sungai Siput dan Batu Gajah sebelum ke Teluk Anson sehingga keadaan di Tanah Melayu, khususnya Tanjong Malim kembali selamat dan aman.

1945

Gugurnya bom atom, Fat Man dan Little Boy di Nagasaki dan Hiroshima menggemparkan dunia sarwajagat. Para pejuang Nippon di Tanah Melayu bagaikan dirasuk ketewasan. Kuasa Nippon yang pernah gah di Asia Timur akhirnya terpaksa berundur. Bendera Putih! Jeneral Tomoyuki Yamashita menyerah kalah kepada Jeneral Douglas MacArthur melalui penandatanganan dokumen penyerahan kuasa pada 2 September 1945 di atas kapal perang Amerika Syarikat, USS Missouri. Maka, berakhirlah era pendudukan Nippon di Tanah Melayu. Pengalaman yang ditempuhi banyak mematangkan diri Ah Hai. Kehadiran Nippon di Tanah Melayu amat menginsafkan diri Ah Hai. Dengan berakhirnya pendudukan Nippon@Tanjong Malim, dapat kembali Ah Hai bertemu dengan Tauke Teh dan handai taulan di kedai Sin Teck Soon. Yang pentingnya, dapat kembali Ah Hai memburu impian di perantauan.

- Penulis berasal dari Perak ini ialah Munsyi Dewan dan lulusan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Berita Harian X