Rabu, 24 Januari 2024 | 2:17pm
Karya Sasterawan Kelantan, Dr Fatimah Busu antara menjadi pilihan sarjana
Karya Sasterawan Kelantan, Dr Fatimah Busu antara menjadi pilihan sarjana

Tiada prejudis terhadap pengarang wanita

TULISAN ini adalah reaksi kepada tulisan Haliza Mohamad bertajuk "Jangan Asyik Mengkaji Pengarang yang Sama" yang disiarkan dalam BH online pada 22 Januari 2024.

Saya fikir, tulisan ini muncul susulan daripada tulisan Ercy Gracella Ajos yang bertajuk "Pengarang wanita dibelenggu prejudis", yang disiarkan dalam BH Ahad pada 2 Januari 2024 lalu.

Tulisan esei "Jangan Asyik Mengkaji Pengarang yang Sama" bermula dengan lontaran pertanyaan berbunyi: "Benarkah tanggapan karya penulis wanita masih berlingkar dalam kalangan mereka sahaja, tidak menarik perhatian umum termasuk sarjana untuk dibaca dan dikaji?."

Dalam menjawab pertanyaan ini, saya bersetuju sepenuhnya dengan jawapan Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Abdul Halim Ali yang menyatakan "sukar untuk menyatakan bahawa penulis wanita dan karyanya dibelenggu prejudis.

Hal ini katanya disebabkan penulis wanita dan karya-karya mereka sebahagian besarnya disambut baik malah diiktiraf dengan pelbagai hadiah juga anugerah setanding dengan pengiktirafan yang juga diterima oleh pengarang lelaki." Beliau memberikan justifikasi pertama, karya pengarang wanita disambut baik oleh para pengkaji, dan kedua, karya oleh wanita juga mendapat pengiktirafan berbentuk hadiah dan anugerah sastera tanah air.

Prof Madya Norhayati Ab Rahman
Prof Madya Norhayati Ab Rahman

Di samping itu, Abdul Halim juga melontarkan pertanyaan "Siapakah pihak yang bersikap prejudis dan sebab-sebab mendorong timbulnya perasaan atau tanggapan sedemikian?"

Saya juga ingin melontarkan pertanyaan sama. Siapa yang prejudis? Jika pertanyaan di atas dituju kepada pengkaji atau sarjana atau kepada saya, jawapan saya ialah begini. Pertama, tidak benar karya penulis wanita masih berlingkar dalam kalangan mereka sahaja. Kedua, tidak benar menyatakan karya penulis wanita tidak menarik perhatian umum termasuk sarjana untuk dibaca dan dikaji. Buktinya? Terdapat banyak kajian dilakukan terhadap karya pengarang wanita, khususnya di universiti baik di peringkat Ijazah Pertama, Master, mahupun PhD.

Di bilik pejabat saya sendiri di kampus terdapat banyak latihan ilmiah, tesis dan disertasi pelajar yang mengkaji karya penulis wanita, sementelah pula di perpustakaan. Banyak. Jadi kepada yang melontarkan soalan ini, bolehlah membuat tinjauan di perpustakaan-perpustakan universiti tempatan. Malah untuk pengetahuan, saya sendiri banyak mengkaji karya pengarang wanita (di samping karya pengarang lelaki).

Secara tidak langsung fakta ini menunjukkan bahawa pengkaji tidak prejudis terhadap mana-mana pengarang wanita atau lelaki. Apa yang berlaku ialah pengkaji akan memilih karya (data) yang relevan dengan subjek kajian dan pendekatan atau teori yang mereka gunakan.

Sehubungan dengan itu, saya membaca semula esei pertama bertajuk "Pengarang wanita dibelenggu prejudis" oleh Ercy Gracella Ajos, yang ternyata tidak juga menyentuh mengenai ayat berkenaan dalam kandungan tulisannya. Sebaliknya tulisan Ercy sepenuhnya mengulas tentang pembentangan saya dalam program 'Academia Talk' anjuran Pusat Penyelidikan, Persidangan dan Penerbitan ASWARA yang berlangsung pada 19 Disember 2023.

Apa yang dikemukakan penulis dalam tulisan beliau adalah merujuk dan memetik perbincangan saya, yang bertajuk "Wacana Wanita dalam Teks Sastera Karya Fatimah Busu dari Perspektif Feminis Barat dan Islam". Dalam wacana itu, saya tidak menyebut langsung ayat "pengarang wanita dibelenggu prejudis" seperti yang menjadi judul tulisan berkenaan.

Saya tidak pasti, sama ada judul tersebut dipilih oleh penulis atau pengarang. Dalam pembentangan itu, saya mendiskusikan subjek 'wacana wanita' dalam novel trilogi Fatimah Busu yang bermula dengan novel Ombak Bukan Biru, The Misisng Peace Bahagian 1 dan The Missing Peace Bahagian 11 dari perspektif Teori Feminis oleh Cheri Register dan Sudut pandang Islam.

Pendekatan Islam adalah satu bacaan baharu terhadap karya Fatimah Busu, kerana sebelum ini karya beliau banyak disorot dari sudut feminis Barat. Kebanyakan paparan dalam esei itu adalah berbentuk sedutan atau petikan pembentangan saya, dan penulis itu sendiri tidak menyebut ungkapan "pengarang wanita dibelenggu prejudis". Justeru, saya tidak pasti dari mana bermulanya ungkapan itu.

Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hasan
Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hasan

Dalam tulisan Haliza Mohamad bertajuk "bertajuk "Jangan Asyik Mengkaji Pengarang yang Sama", saya juga bersetuju dengan pandangan penulis, Dr Ahmad Fadhlil Mohamad Pakrul Razy (Fahd Razy) yang menyebut bahawa semakin ramai pengarang wanita yang bergiat secara aktif dalam penulisan. Peningkatan kuantiti dan kualiti pengarang wanita.

Saya juga sependapat dengan Fahd Razy bahawa tidak benar untuk menyebut penulis wanita masih terkepung dengan isu-isu selesa. Karya majoriti penulis wanita hari ini mencapah luas termasuk kritik social dan isu-isu semasa, sejarah, politik, agama, perundangan, bahkan ada yang menulis di luar realisme konvensional seperti fantasi, sains fiksyen, seram dan thriller.

Dalam soal ini saya juga pernah menulis artikal bertajuk: "Ufuk Baharu dalam Gagasan Pengarang Novel Wanita Mutakhir Malaysia" (Dewan Sastera: 2015) yang membincangkan bagaimana pengarang wanita tanah air sudah keluar dari kepompong konvensional dan menerokai ufuk baharu dalam kepengarangan mereka. Seterusnya dalam artikel bertajuk "Memperkasakan Penulis Wanita Menerusi Sayembara, Hadiah Sastera Tanahair" (Dewan Sastera:2020) memperlihatkan pembabitan dalam sayembara dan statistik pencapaian wanita dalam sayembara, hadiah dan anugerah sastera tanah air. Jadi siapa yang menyebut penulis wanita terbelenggu prejudis?

Walau bagaimana pun saya tidak bersetuju dengan saranan atau seruan Fahd Razy dalam esei sama yang menyebut bahawa "sarjana jangan terperangkap dalam pilihan bahan yang sempit dengan mengulang-ulang nama atau pengarang yang sama, terutama pengarang veteran." Pernyataan ini dapat dikaitkan dengan tajuk esei oleh Haliza Mohamad yang berbunyi "bertajuk "Jangan Asyik Mengkaji Pengarang yang Sama".

Respons saya: Tidak ada salahnya mengkaji pengarang yang sama selagi pengkaji bertolak dari subjek kajian, data kajian dan pendekatan atau teori yang berbeza. Malah dalam setiap pemilihan subjek, data dan teori akan diberikan justifikasi. Dalam soal ini, kita kena faham dengan dua perkara. Pertama, konsep sesebuah kajian. Maksud kajian atau research ialah '"A detailed study of a subject, especially in order to discover (new) information or reach a (new) understanding." (Cambridge Advanced Learner's Dictionary). Jadi dalam sesuatu kajian, yang utama adalah untuk menampilkan maklumat baharu, ilmu baharu, pemahaman baharu atau aplikasi pendekatan baharu. Inilah makna kajian yang menekankan sumbangan sesuatu kajian kepada komuniti ilmu dan masyarakat umum. Jadi tidak timbul soal tidak boleh mengkaji karya daripada pengarang sama, selagi kajian tersebut dapat mengemukakan maklumat baru, ilmu baru, pemahaman baharu atau kaedah baru.

Karya Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said juga turut dikaji oleh ramai sarjana. Gambar hiasan/arkib NSTP
Karya Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said juga turut dikaji oleh ramai sarjana. Gambar hiasan/arkib NSTP

Sebagai contoh, walaupun saya pernah banyak kali mengkaji karya Fatimah Busu sebelum ini, tidak bermakna saya tidak boleh lagi mengkaji karya beliau yang lain. Contohnya, antara kajian awal saya berjudul "Membaca Pemikiran Politik Dalam Karya Fatimah Busu" (2015), "Manifestasi Alam Sekitar dalam Karya Fatimah Busu Dari Perspektif Ekologisme"(2015), dan terbaharu bertajuk "Wacana Wanita dalam Teks Sastera Karya Fatimah Busu dari Perspektif Feminis Barat dan Islam" (2023). Setiap kajian tersebut menggunakan subjek, teks dan pendekatan yang berbeza. Salahkah mengkaji penulis yang sama?

Contoh lain kita boleh lihat pada kajian Prof. Dr. Mohd Yusuf Hassan. Kajian Ijazah Pertama beliau bertajuk "Novel-novel Shahnon Ahmad Dari Sudut Psikologi". Kajian MA bertajuk "Bahasa Daerah dalam Karya Shahnon Ahmad". Kajian PhD pula bertajuk "Novels of the Troubled Years: Works of Shahnon Ahmad 1965-1978". Beliau akhirnya menjadi pakar karya Shahnon Ahmad dan menerima pengiktirafan sebagai Profesor. Jadi apa masalah mengkaji penulis sama?

Jawapannya tidak salah dan tiada masalah. Sebenarnya, setiap pengkaji mempunyai pilihan dan justifikasi sendiri terhadap penggunaan teks kajian, sama ada dari penulis wanita atau lelaki, penulis veteran atau penulis baharu. Malah pemilihan subjek kajian, data kajian dan pendekatan atau teori yang digunakan juga mempunyai justifikasi sendiri. Malah pengkaji akan menyatakan kepentingan kajian, skop dan batasan kajian serta objektif kajian mereka. Ini adalah format dan tatacara standard dalam penulisan akademik. Mereka yang berada di luar lingkungan dunia akademik, mungkin tidak begitu faham akan proses ini. Jadi kita perlu mengambil tahu soal ini sebelum mempertikaikan sesuatu kajian yang dilakukan oleh pengkaji atau sarjana tertentu.

Seperkara lagi, kita tidak boleh mendesak atau memaksa pengkaji memilih teks atau karya daripada penulis tertentu kerana setiap pemilihan teks oleh pengkaji adalah berdasarkan subjek kajian, objektif kajian dan kepentingan kajian tertentu.

Seterusnya, untuk menyatakan saya hanya mengkaji pengarang yang sama juga tidak tepat. Boleh sahkan perkara ini dengan menyemak profil kajian dan penerbitan saya dalam UMExpert. Antara pengarang Malaysia yang pernah saya kaji dan menerbitkan hasil kajiannya termasuk pengarang Rusmini Shaari, Zaharah Nawawi, Zurinah Hassan, Fatimah Busu, Siti Rahmah Ibrahim, Kathrina Tati, Amelia Hashim, Shamsiah Mohd Noor, Rohani Matdarin, Hafizah Iszahanid, Nisah Harun, Sri Rahayu Mohd Yusuf dan lain-lain. Malah saya juga mengkaji dan menerbitkan hasil kajian terhadap karya oleh pengarang lelaki. Saya pernah mengkaji karya-karya Sasterawan Negara (SN) Kemala, SN Arena Wati, SN Muhammad Hj Salleh, SN Usman Awang, SN Abdullah Hussain, SN S.Othman Kelantan, SN Shahnon Ahmad, SN A. Samad Said, Rosli K. Matari, Sharif Putera, Chong Ah Fook dan lain-lain. Secara tidak langsung, fakta ini menepis tanggapan bahawa saya mengkaji penulis yang sama.

Mengapa memilih penulis veteran? Mereka sudah menulis sejak puluhan tahun dan kebanyakan karya penulis veteran mempunyai kekuatan, kemapanan, berintensiti, berideologi dan sudah teruji oleh zaman. Maka wajarlah jika karya-karya sebegini yang menjadi pilihan pengkaji. Penulis baharu yang menghasilkan karya yang bagus juga tidak ketinggalan menjadi pilihan untuk kajian di universiti. Apa yang menjadi pilihan utama pengkaji atau sarjana ialah kekuatan sesebuah karya, bukan soal penulis lama atau penulis baharu, penulis lelaki atau penulis wanita. Bukan.

Akhirnya saya berharap supaya tulisan berbentuk reaksi ringkas terhadap dua esei yang disiarkan dalam BH sebelumnya dapat memberikan sedikit penjelasan dan pencerahan terhadap kekeliruan dan salah faham yang timbul susulan dua tajuk esei sebelumnya yang mengundang polemik. Secara peribadi saya menerima dan menghargai semua pandangan yang diberikan, namun beberapa tanggapan yang diberikan berhubung kajian sastera adalah kurang tepat. Beberapa pandangan yang dicetuskan berhubung isu di atas juga adalah berdasarkan persepsi semata-mata.

- Penulis ialah Pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

Berita Harian X