Isnin, 22 Januari 2024 | 3:56pm
Menteri Kebajikan Belia dan Pembangunan Sukan, Tamil Nadu, Udhayanidhi Stalin (kiri) menyerahkan cenderamata Malaysia sebagai negara tamu CIBF 2024 kepada Ketua Delegasi Malaysia iaitu Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Pembangunan Profesionalisme, Shafruddin Ali Hussin. Turut kelihatan di kanan Sharfuddin, Mohd Khair dan Ketua Pengawai Eksekutif PKB, Adibah Omar. Gambar ihsan MBKM.

Malaysia peroleh geran setengah juta ringgit di CIBF 2024

KUALA LUMPUR: Penyertaan kali pertama Malaysia ke Pesta Buku Antarabangsa Chennai (CIBF) 2024 pada 16 hingga 18 Januari lalu membolehkan penerbit tempatan memperoleh 62 geran penterjemahan bernilai lebih setengah juta ringgit.

Geran yang diberikan Kerajaan Tamil Nadu itu kebanyakannya membabitkan naskhah genre sastera, kanak-kanak dan sejarah.

Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron, berkata penyertaan kali pertama itu mendapat penghormatan yang besar apabila Malaysia turut dijemput sebagai negara tamu.

"Di peringkat antarabangsa, Malaysia dianggap sebagai pasaran terbaik kerana kita mempunyai diaspora Tamil yang besar.

"Jadi ia selari dengan usaha mereka mahu mengembangkan bahasa Tamil ke peringkat antarabangsa," katanya kepada BH.

Tegas Mohd Khair, usaha yang dibuat Kerajaan Tamil Nadu dalam mengembangkan bahasa ibunda mereka dan menjadikan ia sebagai pengantara majlis antarabangsa seharusnya dijadikan contoh.

Malaysia tambah Mohd Khair, memerlukan usaha yang serupa jika mahu menyebarluaskan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

"Langkah itu termasuklah menyediakan dana terjemahan karya bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa," katanya.

Delegasi Malaysia ke CIBF kali ini diketuai Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perbadanan Kota Buku (PKB) selain turut disertai oleh 10 wakil penerbit dan pengedar.

CIBF yang diadakan di Chennai Trade Centre adalah tarikan terbaharu dalam pasaran perdagangan hak cipta berjaya menarik hampir 400 peserta dari 39 negara antaranya Amerika Syarikat, Iran dan Lithuania.

Berita Harian X