Isnin, 22 Januari 2024 | 12:39pm
Kajian berulang memberi bayangan tiada karya besar, baharu dilahirkan sastera kebangsaan. - Foto hiasan
Kajian berulang memberi bayangan tiada karya besar, baharu dilahirkan sastera kebangsaan. - Foto hiasan

Jangan asyik mengkaji penulis yang sama

KUALA LUMPUR: Benarkah tanggapan karya penulis wanita masih berlingkar dalam kalangan mereka sahaja, tidak menarik perhatian umum termasuk sarjana untuk dibaca dan dikaji?

Walaupun dunia penulisan dan penerbitan kelihatannya didominasi oleh golongan wanita, namun sejauh mana kekuatan karya mereka itu mampu menjadi isi perbincangan juga kajian? Adakah hal ini berpunca daripada prejudis khalayak terhadap karya wanita?

Dalam hal ini, Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Prof Abdul Halim Ali, berkata sukar untuk menyatakan bahawa penulis wanita dan karyanya dibelenggu prejudis.

Hal ini katanya disebabkan penulis wanita dan karya-karya mereka sebahagian besarnya disambut baik malah diiktiraf dengan pelbagai hadiah juga anugerah setanding dengan pengiktirafan yang juga diterima oleh pengarang lelaki.

Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Prof Abdul Halim Ali.
Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Prof Abdul Halim Ali.

"Prejudis membawa konotasi yang negatif, yakni terdapat perasaan atau tanggapan yang tidak suka secara tidak berasas terhadap penulis dan karya wanita.

"Jadi, jika benar siapakah pihak yang bersikap prejudis dan sebab-sebab mendorong timbulnya perasaan atau tanggapan sedemikian?, soalnya.

Tambah Abdul Halim, jika benar karya-karya penulis wanita kurang dibaca dan dikaji oleh sarjana, khususnya lelaki, itu tidak bermakna keadaan sedemikian disebabkan tanggapan prejudis sebaliknya mungkin ada faktor lain yang menjadi punca karya mereka tidak dikaji.

Satu daripada sebabnya tegas Abdul Halim adalah kesesuaian teks dengan kerangka teori, aras kesukaran kefahaman dan tahap kajian akademik juga kesepadanan tema wacana yang ditetapkan.

"Dalam hal ini saya lihat banyak faktor yang mempengaruhi dan ianya tidak hanya berlaku pada karya-karya penulis wanita sahaja tetapi berlaku juga pada karya-karya penulis lelaki, termasuk sasterawan negara.

"Karya penulis wanita seperti juga karya penulis lelaki sudah menempuh satu pengalaman panjang dalam sejarah perkembangan sastera Melayu moden. Bezanya, penulis lelaki lebih dahulu terbabit dan lebih ramai bilangannya, terutama pada peringkat awal perkembangan.

Karya Sasterawan Kelantan, Dr Fatimah Busu antara menjadi pilihan sarjana
Karya Sasterawan Kelantan, Dr Fatimah Busu antara menjadi pilihan sarjana

"Penulis-penulis lelaki seperti Abdul Rahim Kajai, Muhammad Yassin Maa'mor, Syed Sheikh Al Hadi, Mohamad Rashid Talu kelihatan mengungguli dalam semua genre kreatif. Penulis wanita muncul sedikit kemudian dan menyusuli dengan semangat yang dibina sendiri dan berusaha belajar daripada pengalaman penulis lelaki," katanya.

Tegas Abdul Halim, karya penulis wanita memiliki kekuatan tersendiri yang mewajarkan karya dan penulisnya dipelajari, dihayati, dihargai serta dikaji sejak dahulu lagi.

Pada abad ke-21 ini katanya, lebih ramai penulis wanita muncul dengan kekuatan pelbagai malah mereka juga menjadi tenaga kreatif yang aktif dan produktif sekaligus menenggelamkan istilah prejudis itu.

"Hakikatnya, penulis wanita di Malaysia sentiasa berada dalam realiti diri dan sastera tanpa prejudis. Sama ada mereka bergerak ke hadapan atau mundur adalah atas upaya dan pilihan mereka sendiri," katanya.

Sementara itu bagi pengarang, Dr Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy atau Fahd Razy, menyifatkan mutakhir ini semakin ramai pengarang wanita yang bergiat secara aktif dalam penulisan sekaligus membuka mata khalayak terhadap keberadaan mereka.

Dr Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy atau Fahd Razy.
Dr Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy atau Fahd Razy.

Justeru, sudah tidak mudah untuk khalayak meletak satu kayu ukur atau identiti bagi membezakan bahawa karya itu ditulis oleh pengarang lelaki atau wanita.

Susulan itu katanya, dengan peningkatan kuantiti dan kualiti pengarang wanita, penulis juga pembaca lelaki sudah tidak bersikap pilih kasih kerana banyak karya penting kontemporari datangnya daripada pengarang wanita.

"Hal ini menyebabkan pengarang atau sarjana yang secara selektif meminggirkan karya penulis wanita akan ketinggalan sekaligus lompong pendedahannya terhadap peta sastera negara.

"Apatah lagi, tidak benar untuk menyebut penulis wanita masih terkepung dalam isu-isu selesa. Pertamanya karya majoriti penulis wanita hari ini mencapah luas termasuklah kritik sosial dan isu semasa, sejarah, politik, agama, perundangan, bahkan ada yang menulis di luar genre realisme konvensional seperti fantasi, sains fiksyen, seram, dan thriller.

Nisah Haron antara pengarang wanita berusia 40-an yang menonjol dalam ranah sastera kebangsaan.
Nisah Haron antara pengarang wanita berusia 40-an yang menonjol dalam ranah sastera kebangsaan.

"Selain itu, tema-tema yang dulunya dianggap domestik seperti hal kekeluargaan, rumah tangga, kewanitaan dan seumpamanya tidak lagi dianggap hal remeh atau sampingan sebaliknya menjadi isu-isu sosial yang besar dan hangat dibincangkan di kalangan masyarakat semasa," katanya.

Tegas Fahd Razy, selain pengarang wanita sedia ada terdapat juga lapisan baharu penulis wanita muda yang memiliki kekuatan serupa, antara mereka Ainul Farihah, Syaheeda Hamdani dan Clariessa Kesulai.

Clariessa Kesulai, bakat muda yang perlu diperhatikan.
Clariessa Kesulai, bakat muda yang perlu diperhatikan.

Justeru katanya, sarjana jangan terperangkap dalam pilihan bahan yang sempit dengan mengulang-ulang nama atau karya pengarang yang sama, terutama pengarang veteran.

Beliau berkata, walaupun karya-karya pengarang veteran ini mempunyai rujukan kajian yang banyak kerana sudah dikupas sarjana terdahulu, sekaligus lebih mudah dan selesa diperkatakan kecenderungan ini akan memperlahankan perkembangan sastera tempatan, khususnya dalam mengangkat karya-karya kontemporari.

"Hal ini akan memberi bayangan yang tidak tepat dan ketinggalan mengenai perkembangan semasa dunia sastera tanah air, seolah-olah tidak ada karya baharu yang penting dihasilkan dalam dua dekad kebelakangan ini.

"Hal ini juga menyebabkan keterpisahan realiti antara sarjana dengan masyarakat sastera lainnya," katanya.

Berita Harian X