Isnin, 22 Januari 2024 | 11:43am

Cerpen BH Ahad: Pisau Siang Ikan

HARI JADI KHADIJAH

Memang dia rasa nak mengamuk. Muka Khadijah nampak tenang di skrin telefon, tapi dia tahu anaknya itu cepat terasa dan cengeng. Tentu Khadijah baru lepas menangis.

"Kenapa emak hang bagi sebilah pisau sebagai hadiah hari jadi? Hang tanya tak?"

Mata Khadijah berkaca-kaca. "Hari itu waktu emak dan pak 'kan ada datang rumah. Depa bawa ikan baru beli di pasar dekat sini minta Khadijah buat gulai. Khadijah 'kan tak pandai siang ikan jadi Khadijah minta tolong pada Mad mai turun dapur tolong siangkan."

"Mad tak tolong?"

"Tolong. Tapi Mad pun bukannya reti sangat, jadi dia minta tolong emak. Emak mengadu pada pak sebab kerja dapur bukan kerja orang laki. Depa kata rugi bayar hantaran tapi dapat bini tak reti siang ikan."

Darahnya jadi menyirap sampai ke kepala. Teringat sewaktu pertama kali Khadijah bawa Mad jumpa dia dulu. Begitu muluk kata-kata Mad. Dia terpagut sebab Mad rendah hati, berkali-kali meminta maaf padanya sebab gaji Mad sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik tidak setinggi gaji Khadijah, jurutera di sebuah syarikat Jepun di Kulim. Dia tidak kisah dan menasihati Khadijah supaya jangan ambil peduli dengan gaji. Yang penting kedua-duanya bertanggungjawab dan untuk berkahwin, Khadijah dan Mad kena begitu saling mencintai.

"Hang tak ingatkan depa yang kita tak minta hantaran pun dulu? Yang depa bagi jugak hantaran tu semua hangpa dua guna sendiri-sendiri untuk mula hidup!"

Terlintas dalam kepalanya kalau-kalau dia sedang melampaui batas sempadan yang baru digembur antara Khadijah sebagai anaknya dan Khadijah sebagai isteri orang. Adakah salahnya tidak mengajar Khadijah menyiang ikan di dapur? Jerang air pun jarang-jarang disuruh anak-anaknya buat. Tetapi itu tak bermaksud Khadijah bukan wanita yang baik.

"Nak ungkit buat apa, ibu. Mak kata pisau di rumah ni tak sesuai untuk siang ikan, tu juga dibelinya baru jadi hadiah hari jadi. Tak apalah, ibu. Harapnya depa tak bising dahlah lepas ini."

Pisau yang kononnya tumpul itu, dia tahu Khadijah beli dengan Mad pada hari pertama mereka masuk rumah sewa. Khadijah ada telefon dia bertanya elokkah pisau itu dan dia ingat apa yang dijawabnya – pisau rumah hangpa, hangpa yang tahu mana elok dan mana yang tidak.

"Tapi Khadijah tengok sama saja jenis pisau di rumah dengan pisau yang emak dan pak bagi ni. Tak apalah ibu, mak pun dah ajar Khadijah menyiang ikan. Nanti Khadijah praktis lagi", Khadijah mengomel perlahan.

Dia tahu ajar besannya itu tentu diiringi syarahan diselit perlian yang tajam. Tetapi mengapa Khadijah begitu menyerah? Anaknya ini sebenarnya baran dan kuat melawan, cuma selepas kahwin, Khadijah jadi macam berhati tungau. Teringat dulu, tak lama selepas suaminya yakni abah Khadijah meninggal dunia, ada orang kampung yang datang ke gerai kuihnya dan mengusik memanggilnya janda sundal. Mana dia tahu yang suaminya itu punya tiga isteri. Rupa-rupanya selama ini dia dimadu sebagai isteri kedua. Itu pun adik iparnya yang bagi tahu di masjid sebelum solat jenazah.

Cerita sepanas itu cepat betul mengitar ke seluruh kampung, mengundang kata kasihan dan cercaan nista. Khadijah baru mula tahun satu di Universiti Teknologi Malaysia tetapi berhujah seperti peguam hebat dalam cerita Korea. Habis dilibas pelanggan gerainya yang bermulut capoi itu dengan ayat Al-Quran. Kadang-kadang dia lupa yang Khadijah pernah mengaji aliran agama sampai Tingkatan Tiga. Dengan ibu sendiri pun, dari kecil Khadijah berani tikam dengan nasihat tajam. Lagi-lagi kalau dia mengalah berikan duit pada arwah suaminya yang jarang-jarang jumpa jalan pulang ke rumah, Khadijah ingatkan padanya bahawa dalam Islam, bukan isteri sahaja, suami juga boleh jatuh nusyuz.

"Depa bagi kat hang hadiah pisau siang ikan tu nak peringat cara siang ikan tu. Hang sabarlah Khadijah. Ibu sayang hang", perbualan dikatup lekas supaya dia tidak terbawa-bawa emosi keibuaannya.

HARI JADI MAD

Berat hati sungguh dia menerima pelawaan Khadijah untuk ke restoran makanan Jepun di Gurney Plaza. Anak-anaknya yang lain semuanya masih belajar di Kuala Lumpur jadi dia berseorangan sahaja pagi Sabtu itu. Merengkeh-rengkeh kancil merahnya naik ke tempat letak kereta yang berpusar macam tangga istana.

Lambat-lambat dia berjalan ke arah restoran itu sambil membibit hadiah hari jadi untuk Mad. Belum sempat dia membuka mulut untuk menyebut nama "Khadijah", pelayan di pintu masuk dengan cekap terus mengiringinya masuk ke bilik khas di bahagian hujung kiri restoran.

Ada besannya berdua sudah tiba lebih awal. Dia bersalam dengan emak Mad dan mengangguk pada bapa Mad. Mad menyalaminya, Khadijah memeluknya. Mereka semua berbasa-basi, menempah makanan dan berkomentar tentang teh hijau yang pahit. Dia mengusik Khadijah sebab romantik bawa mereka sekeluarga makan di restoran gah untuk menyambut hari jadi Mad.

Emak Mad tiba-tiba menyampuk, "Eloklah tu. Perempuan bila dah kahwin dapat 'extra income' daripada suami. Nafkah bulan-bulan Mad duk bagi takkan tak boleh nak belanja makan di restoran hebat macam ni"

"Emak, apa kata macam tu. Tak elok", Mad betul-betul nampak tak selesa.

"Apa tak elok. Memang betul kan?"

Khadijah pejam mata dan tarik nafas panjang. Dia tahu Khadijah sedang kumpul kudrat untuk kekal bersabar. Mad kerling pada Khadijah. Mad toleh pada emak dan bapanya. Mata Mad mencungkil macam kail di hujung mulut ikan.

"Kalau mak dan abah nak tahu, Mad tak mampu nak bagi duit apa sangat pada Khadijah. Lepas tolak hutang PTPTN, hutang kereta, duit minyak dari Kulim ke Pulau setiap hari, duit untuk emak, pak, dan adik-adik, sewa rumah, berapa sen sangat tinggal duit Mad. Kerja semenggah, gaji tak seberapa."

Sebentar, apa yang jadi? Dia keliru. Kenapa jadi mahu bertelagah sebegitu. Dia diam. Memang sejak dia tiba tadi, suasana bilik sudah terasa begitu tegang.

"Amboi hang mengungkit Mad!", besannya itu menepuk meja. Marah.

"Dak, bukan mengungkit. Mad kata benda betul, mak!"

"Tulah hang! Tak mampu tapi menggatal nak kahwin!"

Khadijah menempis, "Mak, apa kata lagu tu? Kami tak lama lagi nak masuk 40 tahun, bercinta pun dah lama. Sampai bila lagi nak tunggu? Mak pun nampak selama ni memang Mad dah buat sehabis baik, dan memang rezeki Mad banyak tu ja. Khadijah nampak Mad terus usaha tapi buat masa sekarang, kami sepakat untuk uruskan perkahwinan kami seadilnya dengan cara kami."

Mad sambung menokok, "Ya mak, Khadijah yang banyak tanggung urusan keluarga. Mad pula buat kerja-kerja rumah. Mad tahu masih tak cukup adil, tapi kami usaha untuk jalankan tanggungjawab dengan cara kami. Ibaratnya, Mad isteri, Khadijah suami"

Besannya membetul-betulkan tudung yang tidak senget. Nampak tidak senang dengan kata-kata anak lelakinya itu tadi, "Apa hang cakap macam tu Mad? Jangan duk hina diri! Hang tu lelaki!"

"Hinakah lelaki buat kerja-kerja isteri macam mak sendiri duk buat? Salahkah perempuan buat kerja-kerja suami macam ustaz-ustaz selalu duk syarahkan? Mak pun dari dulu duk buat tugas suami. Yuran belajar Mad di sekolah dan universiti, duit adik-adik belanja selama ini pun bukan semuanya mak yang duk bagi?"

Pelayan restoran mengetuk pintu bilik sebelum menguaknya perlahan. Makanan hampir siap dan akan dihantar sekejap lagi.

"Mad, hang ingat mak bahagiakah kena jadi suami?"

Pintu terbuka sekali lagi. Pelayan restoran begitu cekatan mengosongkan dulang dan cepat-cepat keluar semula. Dia perhatikan kepal-kepal nasi pulut itu diselimuti hirisan ikan mentah. Perutnya memang lapar, cuma dia tidak pasti jika makanan yang Khadijah kata sedap ini dapat melepasi rongga mulutnya. Lega sebenarnya sebab tiada sesiapa pun yang menguit walau seinci.

"Khadijah", bapak Mad yang diam dari tadi seraya bangun memecah kejedaan.

"Khadijah, mak hang ni suami yang baik. Pak hang ni bukan isteri yang baik. Kalau hang terpaksa jalankan tanggungjawab sebagai suami, jadilah macam mak hang ni. Tapi, Mad kena juga jalankan tanggungjawab sebagai isteri. Jangan jadi macam pak. Kalau tidak, hangpa tak bahagia. Tak bahagia macam mak dan pak ni."

Emak Mad bangun juga. Dia pegang tangan suaminya dan melepaskan pandangan lembut daripada sepasang mata yang basah dengan air mata.

"Selamat hari lahir, Mad. Kami sayang hang," besannya berkemas dan meminta izin untuk pulang terus.

Dia lihat Khadijah. Khadijah mengelus kura tangan Mad. Dia dapat rasakan sepasang kekasih itu begitu berjuang untuk menjayakan cinta mereka.

Segan pula rasanya ditinggalkan bertiga begini. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan menatal skrin retak itu. Baru dia terbaca mesej dari Khadijah sejak lebih sejam lalu : Ibu, mak dan pak nak berpisah. Pak dah lama buat hal. Mak dah tak tahan.

Khadijah menoleh ke arahnya. Ah, Khadijah anakku. Sewaktu Khadijah berusia sebelas tahun, anak itu pernah menulis sekeping kad untuknya di suatu Ahad ketiga pada bulan Jun. Sampai sekarang kad itu masih disimpan dalam laci di bilik tidurnya. Khadijah menulis ucapan pendek dengan tulisan belon bulat-bulat. Ada lukisan perempuan bertudung memandu kereta kancil merah mereka dari kota. Di muka kad itu tertulis: "Selamat Hari Bapa, Ibu"

Dia rasa Khadijah dan Mad mahu bersendiri. Dia bangun dan mengucupi ubun-ubun Khadijah. Dia menepuk belakang Mad. "Hangpa dua akan bahagia selagi ada cinta dan usaha untuk adil hidup bersama. Cinta sahaja tak cukup. Harus ada usaha kuat untuk kekalkan cinta dan keharmonian rumah tangga."

Dia menghulurkan hadiahnya pada Mad. Dia tahu mereka akan mengerti apabila membuka bungkusan itu di rumah nanti. Untuk menantu lelakinya, dia berikan hadiah yang sebiji sama seperti yang anak perempuannya dapat hari itu - sebilah pisau siang ikan.

Semoga isteri dan suami itu akan saling bersama-sama buat kerja rumah dengan adil, seperti yang dia sendiri selalu angan-angankan sebelum kahwin muda-muda dahulu.

- Nur Adilla Abd Rahim ialah calon Doktor Falsafah di Universiti Waseda, Tokyo, Jepun dan penerima Anugerah Sasterawan Harapan Negeri Pulau Pinang 2023.

Berita Harian X