Selasa, 9 Januari 2024 | 11:16am
Datuk Jasni Matlani, antara pengarang wibawa dilahirkan negeri Sabah. Gambar arkib NSTP
Datuk Jasni Matlani, antara pengarang wibawa dilahirkan negeri Sabah. Gambar arkib NSTP

Keperluan bangunkan perpustakaan maya sastera Sabah

KUALA LUMPUR: Sabah memiliki ramai penulis berwibawa yang mempunyai nama besar dalam ranah sastera kebangsaan. Selain Azmah Nordin yang dinobat sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2009, Sabah turut diwakili oleh pengarang berwibawa seperti penerima SEA Write 2015, Datuk Jasni Matlani, Ruhaini Matdarin dan sebagainya.

Bagaimanapun, karya bermutu pengarang Sabah ini tidak begitu dikenali di luar lingkungannya. Hal ini kerana ia sukar dicapai sekali gus menjelaskan perlunya sebuah tapak perpustakaan digital yang menghimpunkan karya setempat. Ia adalah projek penting yang perlu dilaksanakan bagi menonjolkan identiti sastera Sabah berisikan karya-karya sastera setempat dalam bahasa Melayu, mahupun bahasa tempatan ataupun bahasa asing.

Tapak perpustakaan digital karya setempat ini bukan sekadar mengumpul dan mengarkibkan karya sastera setempat daripada pelbagai etnik dan daerah di Sabah semata-mata, tetapi bertujuan untuk menghidupkan kembali sastera rakyat, sastera istana, puisi dan prosa dalam bentuk tradisional dan moden serta pengetahuan mengenai perkembangan sastera dari semasa ke semasa.

Azmah Nordin adalah penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah yang kedua. Gambar arkib NSTP
Azmah Nordin adalah penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah yang kedua. Gambar arkib NSTP

Selain itu, platform perlu dibangunkan untuk membantu mempromosikan kepelbagaian hasil karya selain mengembangkan karya sastera setempat yang unik dan dapat menghubungkan penulis secara terus kepada masyarakat. Memanfaatkan potensi teknologi digital membolehkan tapak perpustakaan membina jambatan antara penulis pelbagai generasi selain komuniti tempatan dan antarabangsa.

Penerokaan terhadap tapak perpustakaan digital karya setempat dapat diperkasakan dengan menjadikannya sebagai hub rujukan utama kepada aspek pembelajaran dan pendidikan sastera. Ia juga mampu berfungsi seakan menjadi guru maya yang memberi penerangan dan pemahaman tentang stail penulisan sastera Sabah yang mempunyai wawasan komprehensif meliputi bahasa, budaya, adat dan kepercayaan, serta nilai sosial yang diadunkan dalam sesuatu karya.

Selain itu, penyediaan platform ini adalah untuk memudahkan pertukaran dan pemahaman antara budaya yang lebih jelas dan mendalam dengan memberikan akses secara percuma kepada khalayak. Malah program sastera seperti kuliah sastera, latihan menulis dan mencipta karya, serta bengkel penerbitan dan pemasaran karya yang diselenggarakan menerusi tapak perpustakaan digital karya setempat memberi kemaslahatan kepada penulis Sabah khasnya dan semua yang lain.

Keinginan untuk melihat Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera UNESCO memerlukan usaha menyeluruh daripada segenap pihak untuk merealisasinya. - Foto arkib NSTP
Keinginan untuk melihat Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera UNESCO memerlukan usaha menyeluruh daripada segenap pihak untuk merealisasinya. - Foto arkib NSTP

Walaubagaimanapun terdapat beberapa cabaran yang perlu dipertimbangkan untuk memastikan keberkesanan tapak perpustakaan digital karya setempat dalam membangun identiti sastera Sabah. Isu ketercapaian teknologi terutamanya masalah ketidakstabilan sambungan internet dapat menghambat pengguna untuk mengakses tapak perpustakaan digital dengan lancar.

Oleh itu, adalah penting untuk meningkatkan infrastruktur dan teknologi yang mampu menangani isu ini agar pengguna dapat mengakses kandungan dengan mudah dan tanpa sebarang gangguan. Peranti digital atau telefon pintar mampu milik dan sesuai dengan keperluan tapak perpustakaan digital juga menjadi suatu kekangan, terutamanya kepada golongan pendapatan rendah.

Sebagai cadangan penyelesaiannya, pengenalan inisiatif pembelian atau sewa beli peranti digital ataupun program subsidi berkemungkinan dapat membantu mengatasi masalah ini.

Pengumpulan karya sastera setempat adalah suatu usaha yang murni namun begitu ia mewujudkan sejumlah cabaran yang perlu diatasi. Apabila ia membabitkan komuniti sastera yang luas di Sabah, tugas untuk menghimpunkan karya dari pelbagai penulis, penyair, dan pengkarya boleh membawa kepada suatu hal yang sangat kompleks. Justeru, dalam hal ini, pemilihan dan penyaringan karya memerlukan kerjasama erat dan pembabitan aktif daripada semua yang terbabit.

Usaha ini akan memerlukan perbincangan, komunikasi, dan kerjasama yang berterusan untuk memastikan setiap karya diberikan penghormatan sewajarnya dan diadili dengan sebaiknya. Melalui pendekatan yang inklusif serta memberi tumpuan kepada komuniti, usaha pengumpulan ini akan menjadi lebih bermakna dan berkesan dalam membangun identiti sastera Sabah.

Secara keseluruhan, tapak perpustakaan digital karya setempat bukan sahaja memainkan peranan penting dalam membangun identiti sastera Sabah, tetapi juga menjadi wadah untuk menggalakkan pertukaran budaya, kerjasama, dan pendidikan. Bersama tekad mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi dan melalui usaha berterusan dalam proses pengumpulan, pengurusan, serta promosi karya, tapak perpustakaan digital ini akan menjadi mercu tanda cemerlang dalam memastikan warisan sastera Sabah terus bersinar dalam dunia digital.

Berita Harian X