Selasa, 2 Januari 2024 | 4:46pm

Cerpen BH Ahad: Bintang tiga beradik di penjuru bengkung limar

PESTA buku yang sesak, di hadapan reruai yang sendat. Rina merapatkan pandangan kepada selendang yang melingkari leher seorang gadis. Tangannya merayap, mencari penjuru selendang ini. Matanya tergegil, dadanya berdegup kencang. Jika ketika itu ruangan sepi, tentu bunyi degupan itu terdengar keluar dari tubuh Rina.

Pemilik selendang itu menoleh. Pantas saja Rina bertanya, "Dari mana kamu mendapatkan limar ini?"

"Hadiah dari tunangan saya."

"Bangsat!" jerit hati Rina. Tercengang Rina ketika gadis itu pergi tanpa dapat ditahan apalagi bertanya lebih lanjut. Gadis tersebut sudah tersedut ke dalam kerumunan pengunjung lain lalu lenyap tidak berbayang.

ii

Ketika itu, usia Rina baru 14 tahun. Dia diajak oleh emaknya berziarah ke rumah keluarga teman perniagaan ayahnya. Keluarga Rina memiliki perusahaan pengangkutan pelbagai jenis. Pada waktu itu, ayah Rina baru memesan sebuah kapal layar untuk salah seorang pelanggan syarikat mereka.

Tak tahulah Rina berapa harga kapal layar tersebut, mungkin sekitar atau lebih sedikit dari harga kapal layar Naga Pelangi II milik seorang Jerman yang ditempah di Pulau Duyung, empat juta ringgit. Begitu yang dia baca di akhbar yang tersimpan di bilik bacaan ayahnya.

Apabila mendengar ibu kepada pengusaha kapal ini sedang sakit tua, ayah Rina menghantar isteri dan anaknya bagi bersilaturahim.

Di situlah Rina mengenali Lud Gibran, remaja berusia 17 tahun. Datuk dan ayahnya ialah ahli dalam membuat pelbagai jenis perahu Melayu dengan paduan teknologi moden.

"Itu namanya, bintang 3 beradik." Tudung Lud ke arah langit yang terbentang bersih.

Berkerut-kerut kening Rina, pandangan matanya bagai tersesat di antara taburan cahaya yang berkerlip di dada langit.

Mereka berdiri di beranda terbuka di tingkat dua rumah nenek Lud. Remaja lelaki ini mengerling sedikit memerhati wajah bingung Rina. "Itu," ucapnya dengan mata yang masih memandang muka Rina, "bintang yang tiga sederet, tu."

Rina mengangguk sedikit.

"Letaknya di Bujur Belantik."

"Apa itu?"

Lud tarik nafas sedikit. "Buruj itu bermaksud gugusan bintang. Ada banyak buruj di angkasa sana dan tempat tinggal bintang 3 beradik ini, namanya Buruj Belantik."

"Bel... apa?"

"Segala bintang dalam buruj itu, kalau diberi garisan sambung akan mencipta sebuah corak seperti belantik. Sebab itu orang Melayu menamakan buruj itu dengan nama belantik."

Rina gerakkan kepala perlahan-lahan bagi memandang Lud. "Belantik itu...?"

"Alat untuk menjerat haiwan."

Dengan gerakan perlahan juga, Rina melihat semula ke dada langit. Dia berusaha dengan sungguh-sungguh bagi memadangkan imej perangkap haiwan dengan titik-titik cahaya di langit sana.

Tidaklah sanggup lagi Lud melihat wajah bingung Rina. Dia menggeleng sedikit sebelum berkata, "Padahal tadi aku nak beritahu kamu, apa gunanya bintang-bintang itu kepada pelayar di laut. Ah, tak mengapalah." Lud terus berundur masuk ke rumah membiarkan Rina tambah terpinga-pinga.

Selepas dari hari itu, mereka kerap berutus emel, berkongsi pelbagai cerita. Juga tentang luahan Lud yang terasa hati dengan keluarganya yang melebihkan kakak sulung. Lud berasa dia tidak diberikan peluang untuk belajar urusan perniagaan keluarga. Mereka berutus emel hampir dua tahun sebelum dengan perlahan-lahan kiriman emel dari Lud mulai berkurang dah akhirnya terputus begitu sahaja. Hal terakhir yang Lud tulis adalah, dia sudah menyelesaikan diploma di sebuah politeknik namun dia tidak mahu meneruskan ke peringkat ijazah. Dia mahu mengembara.

Kesibukan urusan sekolah membuatkan Rina melupakan Lud sedikit demi sedikit. Namun, ketika ada pelajar lelaki di sekolah yang nak 'kenal-kenal', hatinya masih penuh dengan ingatan kepada Lud.

Semasa menunggu keputusan SPM, ayah Rina menghantar dia ke sebuah kampung nelayan di selatan Siam yang bersempadan dengan Kelantan bagi menjadi guru sukarela di sekolah yang didanai syarikat ayah Rina.

Di kampung ini ada seorang lelaki kurus namun tubuhnya tegap, kelihatan tua namun masih terlihat tampan. Kepalanya bersemutar, memakai kemeja lengan berlipat hingga ke siku. Bersarung batik.

Rina teringat ada orang menulis di blog, penulis membuat persamaan antara budaya Kelantan dan Jawa. Tentang nasi tumpang, wayang kulit dan lelaki bersarung batik. Adakah ini ada kaitannya dengan Kelantan yang pernah digelar Majapahit II satu ketika dahulu? Teori itu belumlah dapat terpecahkan.

Anak kelahiran Kelantan ini, dahulunya penyokong revolusi pembebasan Siam Selatan, namun kini dia mengubah haluan perjuangan, mengukuhkan ekonomi dan pendidikan, itulah yang dia perjuangkannya. Pok Nik orang memanggilnya.

Ketika Rina tiba tadi, dia menanti sebentar. Di depan Pok Nik ada seorang lelaki menunduk lesu, berlutut tak berdaya.

Menurut Kak Muna, kakak yang menjadi tuan rumah tempat Rina tinggal, si lelaki ini seorang nelayan dengan menyewa salah satu bot Pok Nik. Minyak dan duit belanja lain pun dipinjam daripada Pok Nik. Biasanya, apabila dapat duit hasil ikan nanti, akan dibuat membayar sewa bot dan hutang duit poket.

Namun kelmarin, 'kaki' Pok Nik memberikan laporan. Si nelayan ini menjual hasil tangkapan di laut kemudian pergi berjudi dan beroya-foya. Kata Kak Muna lagi, kalau Pok Nik itu masih muda, tentu telinga nelayan itu sudah dihiris menggunakan pisau 10 sen. Dapat Rina bayangkan tajamnya pisau yang disebut 'pisau 10 sen' itu. Kecut hati Rina, sejuk kaki tangannya.

Giliran Rina dibawa ke hadapan Pok Nik, dia diberikan bangku untuk duduk. Itulah hari di mana Rina mendapatkan selendang ikat limar. Lebar kain ini seperti lebar selendang pashmina namun lebih panjang.

Kata Pok Nik, dia amat berbesar hati kerana Rina sudi menjadi sukarelawan di sekolah mereka. Juga akan jasa keluarga Rina yang menyumbang wang untuk sekolah itu.

Demi keselamatan, Pok Nik minta Rina memakai selendang ini sebagai bengkung apabila berpergian, seperti keluar dari daerah ini. Tenunan benang ganda ini dapat menjadi perisai kepada benda tajam. Jika sudah terluka, dapat menjadi penebat luka, sementara menanti rawatan  yang lebih sempurna. Kata Pok Nik lagi, awalnya dia mahu memberikan Rina sepucuk pistol untuk menjaga diri, tersentak Rina mendengarnya.

Pada malam Rina mendapat limar itu, dia mahu membuat tanda di hujung selendang tersebut. Mula-mula dia mahu menulis namanya, kemudian hatinya berubah. Dia menuliskan 'bintang 3 beradik' dengan abjad jawi. Dia menjelujur ejaan itu dengan hati yang berbunga-bunga. Bintang tiga beradik itu, pencetus cinta pertamanya ketika dia berusia 14 tahun.

Hidup dikelilingi orang laut, membuat Rina belajar banyak hal. Daripada Kak Muna, dia diberitahu tentang kompas orang zaman dahulu. Pe-do-man.

Pedoman. Itulah sebuah alat dengan jarum penunjuk yang ada besi berani, petunjuk arah orang Melayu zaman dahulu sebelum kata 'kompas' sampai di telinga mereka. "Bintang tiga beradik, bintang penunjuk kiblat. Kamu pernah dengar itu?" tanya Kak Muna. Berdebar dada Rina mendengar nama bintang itu, tentu sahaja kerana dia teringat kepada Lud.

Satu hari Rina ke pekan, dengan meminjam komputer pemilik kedai makan, Rina mengadu untung nasib mencari nama Lud di Google. Bagai nak terpekik Rina ketika menemui sebuah blog yang isinya gambar-gamabr Lud dengan latar kota Bangkok. Segera dia menuliskan pesanan di ruang komen. Juga meninggalkan nombor telefonnya.

Apabila dia pulang, tiadalah yang paling dia nanti-nantikan selain panggilan atau SMS daripada Lud. Dua hari kemudian Lud mengirim SMS memberitahu, tiga hari lagi dia akan terbang ke Jerman sebelum mengembara ke negara-negara Baltik. 

Rina benar-benar berharap yang Lud menanti Rina menyusul ke Bangkok. Merayu-rayu dia kepada Kak Muna supaya mencarikan usaha agar dia dapat sampai ke kota itu. Berkerut kening Kak Muna bila mengenangkan perjalanan dalam belasan jam untuk tiba ke sana.

Dengan takut-takut berani, Kak Muna mengetuk pintu rumah Pok Nik, berharap Pok Nik dapat memberikan sebuah kenderaan untuk menghantar Rina ke ibu negara Siam itu. Selepas melalui soal jawab yang sedemikian ketat seperti anak dan bapak, Pok Nik memberikan sebuah kenderaan dan dua orang pekerjanya untuk menghantar Rina tetapi Kak Muna mesti ikut bersama.

Di sebuah lorong pasar basah, ketiga tukang hantar Rina menanti sedikit jauh, memerhatikan Rina dan Lud, sambil itu mereka meninjau tempat makan yang sesuai untuk mereka duduk bersembang.

Lud cuma senyum-senyum ketika Rina perasan ada darah merembes di rusuk kirinya. "Luka kecil." Menurut Lud, teman sebiliknya terlibat pergaduhan judi dan dia terseret sama. Tak tahu bagaimana Rina mahu merespon sikap tak acu Lud namun tangannya laju menyeluk ke dalam baju.

"Kau buat apa ni?" tanya Lud bingung namun cuba mengalihkan badannya umpama menjadi perisai kepada Rina. Gadis sunti ini menarik selendang limar sambil menendang perlahan tepi kasut Lud. "Angkat baju tu!"

Lud menurut tanpa ba bi bu. Semasa Rina membalut luka Lud, terdengar teriakan dari jauh. Ada sekumpulan lelaki dengan gaya samseng memekik ke arah Lud. "Aku kena pergi sekarang," ucap Lud dengan gerak badan yang tak sabar untuk cabut lari. Rina mematikan balutan dengan mengetap gigi.

Mereka berpisah sekali lagi. Selapas pulang dari Siam, Rina tebalkan muka bertandang ke kampung Lud. Dapat dia berbual-bual dengan kakak Lud, Mel Kamila yang katanya, mereka juga sukar menghubungi Lud. Emel tidak aktif juga nombor telefon yang selalu berubah. Kakaknya ini sebenarnya kesal, sebagai anak sulung, dia berasa terbeban dengan urusan keluarga sedangkan Lud dibiarkan bebas bermain. Setiap hujung tahun menerima jatah saham syarikat.

Kelu lidah Rina, dia seperti mahu memberitahu yang Lud dan kakaknya itu sebenarnya saling salah sangka. Entah mengapa dia lebih memilih diam. Hari berganti dan dia tenggelam dalam kesibukan hidupnya.

iii

Kini selepas 16 tahun, selendang limar itu mengapung di hadapan matanya sebelum hilang ditelan gelombang manusia.

Malam sudah larut namun Rina masih menatap skrip laptopnya. Dari tadi dia mencari nama Lud di pelbagai media sosial. Dia tarik nafas panjang. Kalau malam ini Lud tidak ditemui, kepada keluarga Ludlah akan dicarinya.

'Bintang 3 beradik' begitu patah kata yang Rina taip di ruang carian sebuah media sosial. Pap! Bermunculan wajah-wajah Lud dengan latar yang pelbagai. Hampir saja Rina menyumpah sebelum tersedar yang dia perlu mengucapkan syukur.

Semakin dilihat gambar itu satu persatu, semakin dia yakin yang tiada satu pun gambar gadis yang ditemui siang tadi. Dia terhenti kepada sebuah foto Lud dengan lingkaran limar di leher. Dengan catatan, 'Sebelum limar ini bertukar tangan kepada seorang nenek yang terluka di Jabal Rahmah'.

Selepas meninggalkan pesan di bahagian DM, Rina melelapkan mata dengan rasa yang paling tenang.

- Penulis asal dari Kota Tinggi, Johor ini bertugas sebagai pengurus penerbitan di Larkin.

Berita Harian X