Selasa, 2 Januari 2024 | 4:42pm
Sasterawan Kelantan, Fatimah Busu adalah pengarang yang paling disebut-sebut apabila mewancanakan mengenai wanita. Gambar Arkib NSTP
Sasterawan Kelantan, Fatimah Busu adalah pengarang yang paling disebut-sebut apabila mewancanakan mengenai wanita. Gambar Arkib NSTP

Pengarang wanita dibelenggu prejudis

KUALA LUMPUR: Karya kreatif dihasilkan penulis wanita sering didakwa kurang menarik perhatian umum, kononnya ia masih terbelenggu dengan dunia rumah tangga, persekitaran diri dan berfokus kepada golongan mereka sahaja.

Bagaimanapun hal ini perlu dilihat dalam konteks lebih besar seperti ditegaskan, Pensyarah di Jabatan Kesusasteraan Melayu Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Norhayati Ab Rahman, yang menyifatkan pewacanaan karya daripada perspektif wanita penting bagi menegaskan golongan itu juga mempunyai suara, pengalaman dan wawasan .

Hal ini selari dengan pendekatan teori feminis yang menyebut suara wanita sering dipendamkan, dibisukan serta dipinggirkan.

Justeru tegas Norhayati, adalah perlu untuk sarjana mengkaji teks tulisan pengarang wanita dalam memahami sudut pandang dan pemikiran mereka yang nyata berbeza dengan karya penulis lelaki mengenai wanita.

"Gambaran wanita di tangan lelaki didorong oleh tiga perkara iaitu berlandaskan model atau contoh umum yang pernah dilihat atau dikenali, berdasarkan produk keadaan sosial wanita dalam masyarakat itu sendiri serta pelukisan watak sebagai simbol keinginan penulisnya terhadap wanita yang dapat menghibur.

"Jadi imej dikemukakan umumnya stereotaip iaitu wanita ini adalah insan lemah, materialistik dan tidak berpendirian.

"Pengalaman sebenar wanita juga dipinggir dan tidak dibicarakan. Pengalaman sebenar wanita dan suara wanita dibisukan, mereka tidak dibenarkan untuk bersuara," katanya dalam Wacana Wanita dalam teks sastera dalam karya Fatimah Busu dari perspektif Barat dan Islam, pada program Academia Talk Siri kelapan anjuran Pusat Penyelidikan, Persidangan dan Penerbitan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) baru-baru ini.

Justeru katanya, dapat lihat ia lebih menyerlahkan kepentingan pemusatan lelaki sekaligus mengenepikan watak wanita malah dikatakan tidak ada faedah membaca karya berkenaan wanita.

Tambahnya, pengalaman hidup wanita lebih berkesan apabila ditulis mereka sendiri dan hal itu adalah perkara penting dalam budaya wanita.

"Karya-karya wanitalah yang menjadi perbincangan untuk mendedahkan pengalaman hidup serta nilai jati diri daripada perspektif mereka sendiri, supaya kita dapat fahami apa yang dialami atau dideritai.

"Pendedahan ini dapat mengubah pandangan negatif masyarakat terutamanya lelaki terhadap wanita," katanya.

Tegas Norhayati, dalam hal ini membicarakan karya-karya tulisan Sasterawan Kelantan, Fatimah Busu adalah sangat tepat kerana beliau adalah pengarang yang paling disebut-sebut apabila mewancanakan mengenai wanita.

Namun, karya Fatimah lebih banyak disorot dari perspektif feminis Barat berbanding pandangan sudut Islam. Justeru hal ini kerap menimbulkan kesalahfahaman apatah lagi ada pihak yang memandang serong berkenaan idealisme feminis dengan selalu menggambarkannya sebagai tidak baik dan bersifat negatif.

Norhayati berkata, ramai yang berfikiran bahawa perkataan feminis itu lebih terarah kepada ideologi barat, dan hal itu perlulah diluruskan.

Sejak sekian lama tegasnya, pemahaman umum masyarakat lebih terarah kepada Barat apabila menyebut feminis dan ia dianggap tidak selari dengan Islam, sedangkan ia sebenarnya sudah berakar umbi sejak sekian lama di Asia barat.

"Justeru, bila kita ingin bercakap mengenai feminis, kita boleh melihat kepada perjuangan feminis Islam yang mana pada abad ke-20, mereka ini melakukan penyelidikan ulang terhadap tafsiran keagamaan.

"Menerusi penyelidikan itu, mereka tampil dengan pandangan kritis kepada bukan hanya pada makna eksplisit tetapi juga menerusi sejarah budaya dan sebab-sebab kenapa turunnya sesuatu ayat dalam al-Quran.

"Ini yang mereka lakukan sebelum mendapat kekuatan sesuatu fakta untuk dibahaskan dalam konteks perjuangan wanita," katanya.

Katanya, hakikatnya lelaki dan wanita itu mempunyai darjat dan posisi sama sesuai dengan maksud dalam ayat al-Quran dalam surah al-Ahzab ayat ke-35 selain turut disebut dalam al-Hujurat ayat ke-49.

Tegas Norhayati, daripada ayat itu dapat dilihat, tidak ada yang menyebut lelaki lebih mulia atau lebih diangkat, justeru pemahaman terhadap istilah 'feminisme' itu sendiri dilihat oleh feminis Muslim sebagai khilaf.

"Mereka menegaskan terdapat dua perkara yang selalu disalah tafsir, iaitu maksud feminisme iaitu kesedaran kaum wanita dan lelaki mengenai adanya penindasan dengan eksploitasi terhadap kaum wanita dalam masyarakat, publik dan domestik, yang diikuti oleh tindakan sedar untuk mengubah situasi dan keadaan itu.

"Ini bermakna feminisme bertolak daripada suatu kesedaran dan kesedaran itu tidak semestinya muncul pada diri wanita sahaja, malah boleh terjadi juga kepada lelaki.

"Justeru, asas perjuangan feminisme adalah bertolak daripada kesedaran akan wujudnya penindasan atau eksploitasi terhadap wanita dan bangkit untuk mengubah perlakuan atau situasi itu," katanya.

Malah tegas Norhayati, perjuangan mengangkat kedudukan wanita itu sudah wujud semenjak zaman Nabi Muhammad SAW, bukan kerana perjuangan feminis Barat.

Namun begitu, sejarah wanita dengan perspektif feminis dan gender pada zaman awal Islam tidak banyak diangkat dan tidak disosialisasikan oleh penguasa patriarki.

Malah pada zaman jahiliah, wanita dianggap tidak diperlukan, martabat mereka direndahkan, diseksa dan anak-anak dibunuh. Hanya apabila datangnya Islam barulah wanita diberikan kedudukan yang baik dan setara dengan lelaki.

"Justeru apa yang saya nak katakan di sini bahawa yang mengangkat perjuangan ataupun kedudukan wanita itu bukan feminis Barat.

"Tetapi terlebih dahulu oleh agama Islam, cuma mungkin kita tidak dengar dan tidak baca berkenaan sejarah perjuangan Islam itu sebab tidak banyak yang menulis tentang itu... yang banyak ditulis adalah sejarah Barat," katanya.

Berita Harian X