Selasa, 19 Disember 2023 | 3:59pm
CEO Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar. Gambar ihsan PKB.
CEO Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar. Gambar ihsan PKB.

Kedai buku tutup bukan indikator kemerosotan industri

KUALA LUMPUR: Penutupan kedai buku bukanlah indikator terbaik bagi mengukur kedudukan industri buku tempatan termasuk berkaitan sikap masyarakat yang dianggap tidak lagi membaca. Sebaliknya, hal itu hanyalah persepsi dan stigma yang dianggap kurang tepat.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar, berkata apa yang berlaku sebenarnya perlu dipandang dari sisi yang lain misalnya kemajuan teknologi semasa menyebabkan model perniagaan bukan sahaja di Malaysia tetapi secara global amnya sudah berubah.

Katanya, hari ini terdapat pelbagai kaedah dan cara yang lebih baik bagi penerbit memasarkan produk mereka susulan perkembangan teknologi semasa tanpa perlu lagi bergantung kepada kedai buku fizikal.

"Kita tahu penerbit terutamanya mahu menguasai stok buku yang ada dan kedai buku pula contohnya akan ambil buku secara pukal.

"Buku-buku yang tidak dapat dijual akan dipulangkan kembali kepada penerbit, ini adalah model perniagaan yang digunakan sebelum ini disebabkan tiada saluran pengedaran yang lain.

"Bagaimanapun, kaedah itu sudah tidak lagi berkesan sekarang kerana hari ini sudah ada pelbagai saluran pemasaran menerusi pelbagai aplikasi dalam talian selain mereka boleh berniaga di pelbagai pesta buku yang banyak dianjurkan setiap tahun," katanya dalam satu sesi bicara yang bertajuk "Perbadanan Kota Buku: Mahu dibawa ke mana?" pada Pesta Buku Antarabangsa Selangor baru-baru ini.

Katanya, sebagai contoh jika seorang penerbit berdagang di pelbagai pesta buku sepanjang tahun, dia mungkin mampu menjual hingga 400 atau 500 lebihan stok sekali gus mampu mengurangkan kos operasi termasuk menyewa kedai dan lain-lain bayaran.

Justeru tegas Adibah, penutupan kedai buku tidak boleh lagi menjadi indikator suasana industri buku kerana terdapat banyak kaedah lain untuk penerbit memasarkan produk mereka dengan lebih banyak.

Secara umum di Malaysia ketika ini permintaan buku fizikal masih tinggi, manakala naskhah digital memiliki penggemarnya sendiri.

Katanya, PKB yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan (KPM) komited menyediakan persekitaran perbukuan yang kondusif serta berdaya saing untuk pemain industri dan amnya pembaca di seluruh negara.

"Kami percaya buku digital akan menjadi setanding dengan buku fizikal di masa hadapan.

'Mungkin bukan pada masa kini tetapi akan datang dan hal ini berdasarkan demografi pembaca kita sekarang adalah kebanyakannya yang muda dan makin muda.

"Generasi kita mungkin suka buku fizikal, tapi anak-anak kita yang di rumah macam mana? Mereka adalah 'digital native' dan sejak kecil sudah terbiasa dengan pelbagai jenis gajet dan selesa dengannya," katanya.

Adibah berkata, dalam konteks yang lain beliau melihat cabaran yang dihadapi dalam industri perbukuan di Malaysia kini adalah untuk mewujudkan permintaan kepada penawaran produk yang ada.

Katanya, meskipun produk dan kualiti perbukuan di Malaysia berada di tahap baik, namun cabarannya ialah untuk mencipta permintaan kepada penawaran produk yang kita ada.

Justeru katanya, menerusi portal Kota Buku Digital iaitu platform pembukuan terbesar yang dibangunkan oleh PKB, ia akan berfungsi bukan hanya menjadi saluran pengedaran dalam kalangan penerbit, penjual buku dan penulis, tetapi juga terbuka kepada pemain industri lain.

"Sebagai contoh yang ketara, apabila kita bermula dengan idea Kota Buku Digital, kita bukan sahaja melihat kepada menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pemain industri malah kita juga cuba sedaya upaya menjawab kepada permasalahan-permasalahan yang ada dalam industri perbukuan," katanya.

Semua itu adalah selaras dengan fungsi PKB sebagai hub untuk memastikan persekitaran atau suasana perbukuan yang berdaya saing kepada semua pemain industri di negara ini selain terutamanya bagi memberikan persekitaran kondusif kepada pembaca di seluruh negara.

Tambahnya, Kota Buku Digital itu sendiri sebenarnya adalah idea di luar kotak kerana pada asalnya aspirasi penubuhan PKB sebelum ini adalah untuk membangunkan satu kota buku fizikal.

"Kalau kita lihat di negara lain, PKB ini seperti Paju Book City di Korea Selatan dan Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Terus terang setakat ini, aspirasi atau mandat membangunkan kota buku fizikal di negara kita belum tercapai disebabkan beberapa faktor termasuk kepimpinan yang baharu selain faktor kewangan.

"Jadi, sementara kita menjana pendapatan yang mencukupi untuk pembangunan kota buku fizikal, kita lihat dari sudut lain iaitu Kota Buku Digital.

"Kita masih ingin memenuhi aspirasi kota buku fizikal, tapi untuk sekarang ini kita perlu juga fokus kepada tanggungjawab PKB yang utama iaitu memastikan operasi syarikat yang mampan selain menjana pendapatan," katanya.

Adibah berkata, pihaknya sedar dan yakin dengan adanya saluran digital yang maju ini, industri perbukuan akan lebih maju. Malah, Kota Buku Digital itu sudah pun dilancarkan dengan rasminya pada Jun lalu.

Berita Harian X