Selasa, 19 Disember 2023 | 3:58pm

Cerpen BH Ahad: Sekepul awan di kepala

"The powerful constantly promise freedom, but how could they give subalterns something that they themselves do not know?" – Paul B. Preciado, Can The Monster Speak? (2020)

Benarlah kata Farish, sekepul awan di kepala saya bukan masalah besar. Masalah besarnya adalah saya mahu orang lihat awan berkepul seketul itu dan menyebutnya di depan saya. Seperti nama berbinkan bapa, saya mahu dikenali sebegitu. Tanpa jati diri, siapalah kita, bukan?

Ini adalah ceritera mengenai masalah yang sebenarnya bukan masalah, seperti yang Farish dakwa. Farish ketawa terbahak-bahak setiap kali saya sampaikan situasi-situasi yang saya hadapi tanpa peduli tawanya itu mampu mengguris hati saya.

Saya mahu buktikan sekepul awan di kepala saya itu penting untuk diterima khalayak.

1.

Petang Ahad minggu lepas saya ke pasar karat demi membeli jam antik. Saya rasa diri tidak disedari apatah lagi dihargai oleh orang yang mundar-mandir di situ. Sekepul awan di kepala bergerak-gerak dan sesekali berkecaian apabila saya berjalan sedikit pantas. Tapi ia pantas bercantum semula lalu mengekori gerak saya. Di mata anak kecil, jelas mereka tertarik dengan awan sekepul itu.

Namun tidak di mata orang dewasa mahupun remaja. Lirikan mata menunjukkan mereka sedang memikir sesuatu yang jauh lebih penting. Saya akui, lambakan informasi yang menerjang fikiran masing-masing melalui media sosial yang ditatal saban hari membuatkan fokus manusia terganggu. Cuma, adakah ia suatu perkara yang menguntungkan saya? Itu harus saya cermati pemerhatian seumpama itu terlebih dahulu.

Saya tiba di reruai menjual jam antik yang saya gemarkan itu. Tika saya membelek salah satu daripada jam-jam antik itu, peniaga itu memulakan bicara.

"Pilih bang. Barang lama, kualiti terbaik. Tengok, jarumnya masih ligat."

"Apa abang-abang? Tengok ni, ada awan atas kepala saya ini. Panggil saya 'kepul'."

"Baik-baik. Abang kepul nak jam mana satu?"

Berang, saya tinggalkan reruai itu. Saya dapat rasa orang itu berfikiran dangkal. Tidakkah dia sedar dia akan kehilangan pelanggan sekiranya tidak peka dengan fizikal pelanggan yang barangkali tidak seperti yang disangkanya itu? Saya rasa rimas dengan kelompok yang suka pandang mudah hal-hal identiti ini. Tidakkah dia rasa mahu memanggil saya 'kepul' berbanding 'abang' setelah melihat kepulan awan di atas kepala saya? Hal ini sukar untuk saya terima.

2.

Saya tidak tahu bagaimana Morpheus memasuki realiti saya. Barangkali ia berkait rapat dengan kepulan awan di kepala saya. Tapi saya kurang gemar kedatangan dewa mimpi itu. Keutamaannya tidak seiring dengan keutamaan saya dalam kehidupan.

Dia menjenguk ke dalam kepala saya – mencari mimpi yang telah lama tidak singgah. Saya beritahu, saya manusia yang punya kepul awan di kepala – maka saya adalah mimpi itu sendiri. Dia tidak menghiraukan penjelasan saya. Dalam erti kata lain, Morpheus sudah mempunyai tanggapannya sendiri setiap kali dia memasuki mimpi individu tertentu. Dia sudah memahami gerangan orang yang dimasuki mimpinya itu lebih baik berbanding individu tersebut. Nah, itulah alasan kenapa dia menolak penjelasan saya.

Dia kata kepul awan itu hanya diri saya sendiri dan tidak memerlukan validasi sesiapa. Tidak perlukan Morpheus untuk mengesahkan apa-apa mengenai kewujudan awan itu. Kenapa tidak? Bukankah kepulan awan itu membezakan saya berbanding orang lain? Saya mahu dilayan sedikit berbeza berbanding orang biasa. Barangkali pakaian sedikit berlainan. Barangkali makanan yang sedikit berbeza, ah, saya suka kemanisan berganda dalam minuman! Barangkali juga saya mahukan tandas yang berbeza di mana ia khas untuk manusia dengan kepulan awan di kepala sahaja tanpa mengira jantina.

Namun Morpheus memberitahu saya bahawa perjuangan menegakkan validasi manusia dengan kepulan awan di kepala itu sia-sia sahaja. Tiada penindasan berlaku. Tiada penolakan sama sekali. Manusia dengan kepulan awan di kepala bukan banduan yang pernah melakukan jenayah. Bahkan ia juga bukan kecacatan yang membataskan diri daripada melakukan aktiviti ataupun kerja manusia biasa. Diskriminasi yang kami tempuhi itu bukan berlaku kerana sekepul awan di atas kepala tetapi setiap manusia di dunia akan mendepani masalah serupa.

Peminggiran boleh berlaku dalam pelbagai bentuk juga. Yang kaya meminggirkan yang miskin. Yang tidak memiliki cita rasa tinggi dalam seni akan memandang enteng para pencinta seni. Yang tidak pernah merasa jerit-perih majikan memikirkan kesinambungan hayat syarikat akan lantang menentang setiap kali gaji tidak diberi tepat pada masa.

Oh Morpheus, benarkah dunia ini memang tidak adil? Maka apa yang harus saya lakukan untuk menjadikannya suatu tempat yang lebih baik? Bukankah ketidaksempurnaan harus ditangani dengan usaha dan bukan sekadar penerimaan membuta-tuli?

Morpheus patut tahu, manusia dengan kepul awan ini juga memerlukan persekitaran yang sesuai untuk mereka datangi sekaligus bercampur dengan khalayak ramai. Dan ia harus diadakan dan bukan sekadar pasrah menerima ketidaksesuaian persekitaran.

Demi memendekkan pertengkaran kecil kami dalam mimpi absurd itu, apabila ditanya apakah mimpi yang saya inginkan, saya jawab "Saya mahu jadi manusia biasa tanpa awan di kepala."

Dia tersenyum lalu menghilangkan diri.

Morpheus memang sukar untuk dibaca pemikirannya.

3.

Farish:

"Antara simptom-simptom yang sering manusia dengan awan di kepala rasai adalah seperti berikut:

Rasa rendah diri (tidak berkeyakinan)

Rasa disisihkan masyarakat.

Migrain berpanjangan.

Narsissistik"

Saya tak bersetuju dengan kata-kata Farish. Rasa, seperti yang Farish katakan itu, tidak tepat untuk menggambarkan psikologi golongan seperti saya. Tambahan pula, generalisasi ke atas manusia itu tidak boleh dipakai Bahkan saya percaya, ramai dalam kalangan kami yang berkeyakinan tinggi. Lihatlah siapa-siapa manusia dengan kepulan awan di kepalanya, adakah mereka cuba menyorokkan keberadaan awan itu? Tidak bukan? Oh, bukanlah mereka tidak boleh menyorokkan awan itu. Tapi ia tidak perlu.

Dan 'rasa' disisihkan masyarakat itu memang ketara. Bukan kerlingan benci itu sahaja yang diterima tetapi beberapa restoran sudah tidak membenarkan golongan seperti kami masuk ke dalam premis mereka kerana dikhuatiri awan yang berkepul mengelilingi kami ini boleh membuatkan pelanggan restoran jatuh sakit (Apa mereka ingat awan ini macam asap rokok?!) Farish, lihatlah sendiri. Betapa banyaknya papan tanda dinaikkan demi menghalang golongan seperti kami memasukinya.

Itu belum lagi isu mitos dangkal yang dilontar ke atas kami – kami diminta untuk menyimpan awan di kepala kami dengan kerudung baju atau apa-apa sajalah objek ketika memasuki masjid untuk bersolat. Saya yakin, kefahaman pelontar mitos ke atas sifat awan di kepala kami agak cetek dek kerana ia merupakan suatu fenomena biologi terbaharu dalam sejarah manusia. Tidakkah ini terang lagi bersuluh suatu penindasan ke atas golongan seperti kami, Farish?

Hei, Farish. Kamu berani mengatakan saya ini narsistik? Tidak, saya menolak dakwaan ini bukanlah kerana saya narsistik. Ia tidak benar. Saya tidak percaya ada orang mencemburui keberadaan kepul awan di kepala. Saya tidak rasa kewujudan saya penting berbanding orang lain – semuanya sama rata. Saya menolak sebarang perhatian - saya rela berjalan dalam khalayak ramai tanpa diketahui siapakah saya.

Farish ketawa lagi. Katanya, saya harus renung lagi jauh ke dalam diri dan senaraikan ciri-ciri yang saya miliki itu. Katanya lagi, saya harus jujur pada diri. Tidakkah saya kelihatan taksub pada keberadaan awan di kepala itu? Hujahnya saya telan dengan kepahitan tetapi saya perlahan-lahan memikirkannya.

Andai kata saya seorang yang narsistik, maka apa masalahnya?

4.

Farish sudah menunjukkan siapakah dirinya yang sebenar. Kini saya mengerti mengapa dia skeptikal dengan manusia dengan sekepul awan di kepala. Bukan sahaja skeptikal bahkan dia juga begitu benci dengan kepul awan di kepala saya. Pendapatnya saya tolak tepi dan persahabatan kami sudah terjarak sedikit. Untuk apa memiliki sahabat yang akan menikam kita dari belakang bukan?

Namun, Farish tidak bermuka-muka. Dia memberitahu saya betapa dia kurang menyenangi tindakan saya melebih-lebihkan pengiktirafan awan di atas kepala saya sedangkan ia tidak memberi apa-apa kelebihan kepada saya pun. Bahkan, dia menyuarakan juga bagaimana dia begitu benci perjuangan yang sia-sia sehingga menyulitkan kehidupan orang lain hanya semata-mata inginkan pengiktirafan.

Dia melihat pertengkaran di sebuah hospital di antara lelaki sekepul awan di kepala yang minta dipanggil 'kepul' dan bukan 'abang/adik' dengan pengawal sehingga mengganggu ketenteraman pesakit-pesakit yang sedang beratur menunggu giliran untuk dirawat.

Dia menyaksikan sendiri perarakan sekumpulan manusia dengan kepul-kepul awan di kepala meminta disediakan prasarana khusus untuk golongan seperti mereka. Farish tidak dapat menerima keadaan itu dan dia percaya lebih ramai lagi golongan yang layak mendapat bantuan dan keistimewaan berbanding manusia berkepul awan di kepala yang dianggap sekadar masalah kecelaruan identiti.

Jelas, spektrum perspektif Farish sudah jauh berbeza berbanding saya dan saya tahu ia satu perbuatan sia-sia untuk mempertahankan hujah-hujah saya. Ia sudah ditanggapi selaku perbuatan menegakkan benang basah. Jadi eloklah jika kami menjauhkan diri untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan berdarah.

"Seeloknya kau berusaha jadi seorang yang penting kepada masyarakat. Jadi tokoh. Jadi negarawan. Nah, sekepul awan di kepala itu satu bonus. Keunikan yang orang hanya lihat apabila kau ada sesuatu."

Itu pesan Farish sebelum saya membawa diri berkelana ke bumi Eropah. Ah, saya tidak tahu kenapa saya harus bawa diri ke tanah asing seperti ini. Hal ini kerana saya percaya penerimaan khalayak terhadap manusia dengan sekepul awan di kepala lebih terbuka di Eropah.

Tidak pula saya rasa diri saya istimewa. Tiada juga diskriminasi. Meskipun permintaan saya agar digunakan kata ganti diri spesifik setiap kali berbicara dengan saya itu dipatuhi, ia tidak lagi memberi apa-apa makna.

Kehidupan saya normal sesudah itu. Tanpa konflik dan caci-maki. Tanpa diskriminasi mahupun penyisihan. Kata-kata Farish bersipongang dalam kepala sentiasa, mengingatkan agar saya mengejar sesuatu dalam hidup selain daripada mengejar pengiktirafan sekepul awan di kepala ini.

Benarlah kata Farish, sekepul awan di kepala saya bukan masalah besar. Masalah besarnya adalah saya mahu orang lihat awan berkepul seketul itu dan menyebutnya di depan saya. Maka sesudah itu, apa? Saya tidak faham juga sudahnya. Tapi saya mengerti juga bahawa orang seperti Farish, hanyalah benar pada kata-katanya yang tidak semestinya benar pada tafsiran manusia dengan kepul awan di kepala. Nah, mana mungkin Farish tahu bagaimana perasaannya memiliki awan di kepala, bukan?

- Pengarang berlulusan Ijazah Kejuruteraan Awam ini adalah novelis prolifik

Berita Harian X