Rabu, 6 Disember 2023 | 3:11pm

Cerpen BH Ahad: Tangan yang digenggam

SAKIT di lipatan jarinya semakin parah. Celah-celah tulang jemarinya yang asalnya suam kini menjadi hangat. Sekali-sekala Suhaimi mengasah pisau yang tak tumpul bagi mengaburi kesakitannya di depan pelanggan. Aksi mengasah bererti rehat daripada menggenggam pisau atau menekan-nekan dengan kuat. Pisau yang tak tumpul juga semakin tajam memudahkan lagi isi-isi ayam diceraikan untuk jualan.

Seorang lelaki Melayu yang tinggi lampai dan berkemeja biru mendekati gerai Suhaimi dengan mata terpaku di papan tanda harga. Dia pun mengangkat dua ekor ayam yang sederhana besar.

"Potong 14, bang." kata lelaki lalu membasuh tangannya setelah menolak ayam-ayam untuk dipotong Suhaimi.

Dalam kesukaran melakukan kerja ini, dia tetap meneruskannya. Inilah punca rezekinya selama 18 tahun. Selain memotong ayam di pasar, dia tiada kemahiran lain. Sedang dia memotong ayam yang pertama, lelaki itu menambah. "Oh ya, tolong buangkan kulit juga." Suhaimi mengeluh.

Memotong saja sudah cukup sukar, apatah lagi membuang kulit yang memerlukan jari-jarinya dibengkokkan untuk mencarik kulit daripada isi. Hatinya terasa berbara seperti jari-jarinya yang panas. Dia kehabisan ubat tahan sakit setelah tidak lagi hadir ke klinik kesihatan. Entah kenapa rawatan di klinik kesihatan tidak juga menyembuhkan. Sakitnya tetap sama seperti lima tahun lepas.

Kata doktor, sakit di tangannya itu adalah artritis dan perlu makan berjenis-jenis ubat. Namun, sepanjang rawatan, sakitnya tak juga reda. Jadi dia pun dapatkan penawar dari kampung tapi tetap dibelenggu kekecewaan. Kini di usia 38 tahun, jarinya seperti orang tua yang berbonjol di tulang buku jari dan bengkak kemerahan.

"Terima kasih." ucap pelanggan tadi dan berlalu pergi sambil membawa seplastik ayam dipotong 28. Suhaimi menarik nafas lega melihatkan tiada pelanggan lain buat masa ini. Menguruskan dua ekor ayam pun sudah cukup sengsara. Tapi dia perlu habiskan juga stok ayam bulat hari ini, masih ada 38 ekor daripada 50 ayam bulat yang dihantar pagi tadi. Semuanya segar dan masih kemerahan. Jika mampu, dia ingin mengurangkan jumlah ayam yang diborong tetapi harga untuk belian yang sedikit tidak cukup menguntungkan. Jadi Suhaimi cuba menambahkan pendapatan dengan mengambil sedikit upah daripada memotong ayam.

Suasana di pasar bingar dengan laungan penjual menyeru pelanggan. Bunyi dentangan senduk berlaga kuali di sudut jualan makanan diselangi suara kucing berebutkan ikan. Bau hamis darah dan hanyir ikan menusuk hidung Suhaimi. Dia semakin resah dan tubuhnya kurang selesa.

Sepasang suami isteri pertengahan usia menghampiri. "Assalamualaikum." Ucap si lelaki sambil mengendong beg berisi belian pada hari itu.

"Waalaikumsalam." Jawabnya sambil memberi senyuman kepada pasangan yang sering datang bersama dan menjadi pelanggan setia Suhaimi.

"Sihat ke hari ini?" Tanya lelaki itu sementara isterinya memilih ayam. Mereka gemar mencari ayam yang kecil-kecil kerana tinggal berdua saja. Sekali-sekala mereka akan beli lebih jika anak cucu datang menziarah.

"Macam biasa saja. Cuaca panas sikit hari ini." Jawab Suhaimi sambil menghulurkan tangan untuk menerima ayam yang dipilih isteri kepada lelaki itu. Melihatkan tangan Suhaimi, si isteri menegur. "Tangan awak ini okey ke? Ini kena cepat-cepat jumpa doktor."

Suhaimi melihat sekilas. Bengkak di tangan semakin jelas dan pergerakannya perlahan menahan sakit.

"Eh, sikit saja." Suhaimi beralasan, segan untuk mengaku yang dia telah ponteng janji temu di klinik.

"Isteri awak mana?" dia melihat kiri dan kanan mencari kelibat isteri Suhaimi, wanita bertubuh kecil yang cekap memotong ayam. Biasanya isterinya menemani Suhaimi di pasar tapi hari ini dia membantu masak katering dengan bayaran upah yang lebih lumayan.

"Awak muda-muda dah sakit begini. Kesihatan perlu dijaga. Esok-esok bagaimana pula bila dah tua." lelaki tua itu mengomel kala Suhaimi mula memotong ayam. Dia hanya membisu. Orang yang hidupnya senang tak mungkin mengerti susahnya kehidupan orang lain. Bukan dia tidak mahu mendapat rawatan tapi tuntutan kerja menghalangnya untuk melawat klinik yang mengambil masa terlalu lama untuk setiap janji temu. Dia juga inginkan rawatan kelas pertama dan hidup senang seperti pasangan berusia ini semasa tua kelak. Sebab itulah dia bekerja keras setiap hari tapi semakin hari kos kehidupan juga semakin meningkat. Pendapatannya kini cukup-cukup untuk menyara dirinya, isteri dan dua anak remajanya dalam serba kesederhanaan. Tabung simpanannya juga belum tentu cukup untuk membiayai pengajian anaknya kelak.

"Simpan saja baki ini. Buat belanja ubat." Kata lelaki itu semasa membuat bayaran untuk seekor ayam bersaiz kecil. Suhaimi menolak namun lelaki itu tetap dengan hasratnya memberikan wang lebih kepada Suhaimi. Sebelum berlalu pergi, mereka berdua berpesan kepada Suhaimi untuk ke klinik dengan kadar segera. Dia memerhatikan pasangan yang masih sihat dan kuat itu berlalu pergi. Sebelah tangan lelaki itu menjinjing beg dan sebelah tangan lagi memimpin tangan isterinya. Suhaimi berfikir sejenak kali terakhir dia memegang tangan isterinya yang ringan tulang dan tak pernah meminta-minta sembarangan. Mungkin sudah terlalu lama kerana tiada langsung dalam kotak ingatannya.

Dia menyusun ayam-ayam dalam kotak ais polisterin dan mengambil beberapa ekor ayam untuk dipotong bahagian-bahagian tertentu seperti paha, dada, kaki dan isi dalaman seperti hati dan pedal. Ada pelanggan suka membeli ayam potong, ada juga yang lebih gemarkan bahagian-bahagian ayam. Setelah 18 tahun berkecimpung dalam bidang ini, pelbagai ragam pelanggan telah ditemuinya. Ada yang baik dan ada juga yang menyakitkan hati tetapi dianggap sebagai dugaannya berniaga. Semua pelanggannya dilayan sebaik mungkin dengan senyuman yang tak lekang di bibir.

Seorang wanita bertudung bersama anaknya menghampiri. Matanya melekat kepada papan tanda harga seperti pelanggan lelaki tinggi lampai tadi. "Eh, harga naik lagi?" Wanita itu kehairanan.

"Ya, kak." Suhaimi menjawab spontan sambil membuat senaman ringan mengepal-ngepal tangan sebagai persediaan melayani permintaan wanita ini. Anak remajanya kelihatan seusia dengan anak sulung Suhaimi, dalam lingkungan 16 tahun. Melihatkan pemakaian wanita ini dan anaknya, mereka seperti orang senang.

"Inilah masalah kalau harga tak dikawal." Getus wanita itu sambil menyeluk tas tangannya dan mengeluarkan beberapa helaian duit biru kehijauan. Suhaimi serta peniaga-peniaga ayam yang lain sering dilanda kekecewaan dengan harga yang ditawarkan pembekal. Mereka kian tersepit manakala pengguna pula disarankan untuk kurang makan ayam memandangkan harga yang semakin meningkat.

"Saya nak ayam sebanyak 20 ekor dipotong kecil-kecil. Bolehkah?" Soalan wanita ini melonjakkan hati Suhaimi. Inilah peluang untuk dia habiskan stok ayam dengan segera.

"Boleh, kak. Pilih ayam dulu, beri saya sedikit masa untuk potong ayam." Suhaimi menjawab ceria.

"Saya nak cepat sebab nak mula masak." Wanita itu menggesa.

"Kalau 20 ekor mungkin ambil masa sikit. Boleh beri saya sejam?" Dulu dia tangkas memotong 20 ekor ayam tapi keadaannya kini tidak sama lagi.

"Sejam? Kalau begitu, tak apalah." Wanita itu mula berganjak. Anaknya mula menolak troli ke kedai sebelah tapi dihalang Suhaimi. Inilah peluang yang tidak harus disia-siakan. Dia mahu habiskan ayam dengan segera.

"Begini, apa kata saya berikan harga istimewa asalkan saya diberikan masa untuk potong ayam-ayam ini."

"Berapa harga awak nak tawarkan?" Wanita dalam lingkungan 40-an itu sangsi. Suhaimi pun menawarkan harga yang cukup murah. Baginya biarlah ayam-ayam hari ini dijual cepat asalkan dia tidak mengalami kerugian. Anak remaja itu memandang ke arah ibunya bersilih ganti ke wajah Suhaimi membuatkan Suhaimi terkenangkan anak sulungnya yang kerap datang membantu kerja-kerja ringan seperti mencarik kulit ayam atau memotong susuh kaki ayam. Anak yang diharapkan akan melalui kehidupan yang lebih baik daripada dirinya.

"Kenapa awak jual dengan harga murah?" Matanya kembali meliar di papan tanda harga kerana harga yang ditawarkan Suhaimi berbeza dengan apa yang dipaparkan. Terlalu murah.

"Saya nak habiskan ayam segera. Saya nak pulang." Suhaimi menjawab jujur. Wanita itu meneliti wajah Suhaimi kemudian menoleh ke jam tangannya dan berfikir sejenak. Barangkali mencongak masa.

"Baiklah, saya datang lagi sejam." Katanya langsung menyimpan kembali wang kertas ke dalam dompet dan berlalu pergi.

Suhaimi mula memotong ayam pertama, kedua, ketiga, keempat…kesembilan belas dalam keadaan yang semakin melarat. Sedang dia mencapai ayam kedua puluh, tangan kanannya yang memegang pisau tiba-tiba kejang dan sukar bengkok. Sakitnya teramat kuat dan mula merebak dari hujung jari ke seluruh tangan dan hinggap di kepala membuatkan pandangan menjadi kabur. Dia memaksa ruas jari hujungnya bengkok dan kemudiannya diluruskan. Sepanjang disahkan sakit artritis selama ini, tidak pernah sekalipun dia mengalami sakit yang sedemikian rupa.

Suhaimi memejam mata menahan sakit yang bukan kepalang. Wajah isteri dan anak-anaknya mula menerpa dalam kegelapan mata yang terkatup rapat. Mereka menantinya pulang dengan rezeki yang tak seberapa. Suhaimi membuka matanya kembali dan merenung jemarinya. Urat-urat di tangannya tidak kelihatan akibat kulit yang menegang dan kian membengkak sejak awal pagi tadi.

Bukan dipinta sakit begini, apatah lagi kerja yang dilakukannya memerlukan kemahiran dan kekuatan tangan. Andai rawatan yang diterima sempurna, mungkin sakitnya tak melarat sebegini. Kepalanya mula terasa berat. Pisau di tangannya digenggam erat biarpun lipatan tangannya tak sempurna. Ayam kedua puluh itu dibelah melintang, kemudian kaki ayam dikangkangkan dan pinggul dibelah dua. Belum sempat dia memotong bahagian paha, matanya kini semakin kabur. Dia memejam matanya kembali. Sakitnya tak tertahan lagi.

Suasana hingar di pasar itu semakin membingitkan di telinganya. Laungan peniaga kini seperti jeritan terlalak-lalak. Andai ada ruang baginya untuk menjerit sekuat hati di persada yang memungkinkan nasib peniaga sepertinya diubah, mahu dia luahkan segala keresahan yang melemaskan mereka semua. Harga ayam yang gagal dikawal, kos kehidupan yang membebankan dan penyakitnya yang tak sembuh-sembuh. Mahu dilaungkan sekuatnya.

"Mi, kau okey?" Sayup-sayup suara dari kedai sebelah. Bayangan pelanggan wanita itu menyimpan wang kembali ke dompetnya menerjah ke minda Suhaimi. Dia berharap wanita itu akan kembali membuat bayaran penuh seperti yang dipersetujui kerana dia telah cuba sedaya upaya biarpun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sekelilingnya berpusing seperti roda yang berputar laju. Bahunya terasa berat dan dia tak tertahan lagi menanggung segalanya. Suhaimi akhirnya rebah ke lantai yang basah berbaur darah ayam. Dia mendengar bunyi asakan orang ramai yang mula mengerumuninya tapi dia tak terdaya untuk bangkit kembali. Matanya terpaku ke arah beberapa kepala ayam yang terjuntai kaku. Ayam-ayam yang menjadi punca rezekinya. Perlahan-lahan matanya dipejamkan dengan tangan yang masih memegang pisau dengan genggaman yang lemah.

- Penulis pemula kelahiran Pulau Pinang ini bertugas sebagai penterjemah perubatan

Berita Harian X