Isnin, 27 November 2023 | 3:55pm
Sebahagian peserta Program Perkampungan Penulis E-Buku (PPE) 3.0. gambar oleh Genes Gulitah/NSTP
Sebahagian peserta Program Perkampungan Penulis E-Buku (PPE) 3.0. gambar oleh Genes Gulitah/NSTP

Dunia penulisan tidak boleh tertinggal trend semasa

KUALA LUMPUR: Dunia penulisan tidak boleh ketinggalan dengan trend digital semasa yang kini menjadi antara agenda utama Negara.

Justeru selain penerbitan buku secara fizikal, naskhah e-buku juga seharusnya menjadi pilihan penulis.

Pengerusi Kelab Penulis Muda Malaysia (KPMM), Mejar (B) Hasrul Taufek Roslan berkata, sebagai badan bukan kerajaan (NGO), KPMM melihat akan keperluan itu.

Justeru katanya, KPMM memainkan peranan untuk membantu masyarakat yang mempunyai minat untuk menulis dan menerbitkan karya dalam bentuk e-buku.

"Kami baru setahun jagung dan masih belum dikenali ramai.

"Namun kesediaan Dewan Bahasa dan Pustaka menyokong kami dalam menganjurkan Program Perkampungan Penulis E-Buku (PPE) 3.0 ini memberi impak yang baik.

"Semoga ia dapat mencapai objektifnya dan memberi impak yang positif kepada masyarakat," katanya ketika merasmikan PPE 3.0 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.

Katanya lagi, PPE 3.0 ini adalah kali pertama program ini diadakan secara fizikal sebelum ini dua kali PPE dijalankan secara dalam talian.

Tegas Hasrul Taufek, program itu pada awalnya dicetuskan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, ramai penulis buku daripada pelbagai negara belajar untuk menulis e-buku.

Berita Harian X