Isnin, 27 November 2023 | 10:48am
Dragonlore sebuah antologi yang menghimpunkan cerita rakyat mengenai naga dari pelbagai negara. - Foto ihsan Ninot Aziz
Dragonlore sebuah antologi yang menghimpunkan cerita rakyat mengenai naga dari pelbagai negara. - Foto ihsan Ninot Aziz

Kisah naga 10 negara

KUALA LUMPUR: Bukan luar biasa jika sebahagian kita masih mengingati kelas drama pertama disertai ketika di bangku sekolah atau watak pementasan yang dilakonkan.

Jika bagi sesetengah orang ia hanya sebahagian perjalanan hidup namun bagi Zalina Abdul Aziz atau Ninot Aziz, pembabitannya dalam teater Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong ketika di sekolah berbekas hingga kini malah menjadi sebahagian anjakan yang mengubah perjalanan hidupnya.

Sebagai penulis, keupayaan Ninot membawa perspektif baharu terhadap cerita-cerita rakyat di alam Melayu ke pentas antarabangsa menyerlahkan kewibawaannya. Hal ini boleh dilihat dalam naskhah terbaharunya, Dragonlore sebuah antologi yang menghimpunkan cerita rakyat mengenai naga dari pelbagai negara.

Ninot dalam temubual dengan BH berkata, alam Melayu mempunyai ribuan kisah unik selain cerita-cerita mengenai kehebatan Hang Tuah atau barisan pahlawan dan srikandi.

"Saya menghasilkan Dragonlore kerana merasakan dunia Melayu mempunyai pelbagai kisah legenda dan dongeng yang cukup unik serta wujud sejak berkurun lamanya.

"Semua kisah itu boleh memberikan perspektif baharu terhadap cerita rakyat dari Asia, malah apabila cerita rakyat dan hikayat epik kita di persada dunia, ia akan mencelikkan mata dunia kepada ketamadunan kita yang sebenar," katanya.

Zalina Abdul Aziz atau Ninot Aziz. - Foto arkib NSTP
Zalina Abdul Aziz atau Ninot Aziz. - Foto arkib NSTP

Tambah Ninot, beliau percaya seni dan kebudayaan adalah tunggak jati diri dan kekuatan yang perlu dikongsikan dengan generasi baharu. Justeru, Dragonlore bukanlah naskhah pertama beliau yang mengangkat khazanah sastera alam Melayu.

Sebelum ini Ninot sudah menghasilkan karya antaranya 'Bidasari and the Djinn' sebuah naskhah yang berlatarkan Syair Bidasari, selain Srikandi pada 2011 yang menghimpunkan legenda mengenai wanita-wanita hebat di Alam Melayu.

Untuk Dragonlore katanya, naskhah itu menampilkan kisah naga dari alam Melayu Tenggara selain turut memuatkan cerita serupa sastera Australia, Timur Jauh, Eropah tidak kurang juga diambil daripada kisah-kisah mitologi.

"Alam Melayu tidak pernah kurang dengan kisah sebegitu antaranya kisah naga di Tasik Chini begitu juga naga putih di Langkawi atau Geliga Kinabalu. Semua kisah ini adalah cerita dongeng Asia Tenggara.

"Malah kisah naga wujud hampir di seluruh pelusuk dunia, jadi dalam Dragonlore kita akan dapat juga membaca penceritaan mengenai naga Inuit Palraijug dan Bakunawa dari Filipina.

" Begitu juga kisah Lyminster Knucker dari pedalaman England hinggalah kisah pelukis naga mistik dari China. Jika dari Turkiye, ada cerita mengenai perjuangan Ajetis memerangi durjana yang tersembunyi di Laut Bosphorus," katanya.

Tambah Ninot, Dragonlore menghimpun 24 cerita naga dengan setiap satunya tampil unik dan membawa pembaca kepada dunia berbeza selain gaya penceritaan yang baharu. Ia tampil kali pertama dalam bahasa Inggeris namun ia akan diterbitkan bahasa Melayu dengan judul Lipur Lara Dunia Negara selain turut diterjemah ke beberapa bahasa lain.

Katanya, usaha menghasilkan Dragonlore adalah langkah untuk meletakkan cerita rakyat tempatan di peringkat antarabangsa kerana ia adalah memori keberadaan tamadun bangsa yang patut dicintai, dikongsi dan dihargai.

"Saya melihat pentingnya untuk cerita-cerita legenda sebegini diceritakan kembali. Hampir setiap satunya tidak sekadar berdiri sebagai cerita rakyat tetapi juga membawa pelbagai pengajaran dan cerminan nilai murni yang wujud sejak dahulu hingga kini.

"Sebenarnya di mana pun kita, sama ada di alam Melayu hinggalah ke dunia Artik sana, setiap cerita rakyat atau legenda mempunyai keupayaan yang luar biasa untuk bercerita mengenai kemanusiaan.

"Dan sebenarnya cabaran yang dihadapi manusia sepanjang zaman menjadikan kita berkongsi nilai kearifan tempatan dan kemudian ia mampu menjadi panduan menghadapi cabaran zaman moden," katanya.

Ninot berkata, Malaysia memiliki ruang tersendiri untuk sastera kanak-kanak malah negara ini memiliki sangat ramai penulis yang berbakat.

Namun dalam menembusi pasaran antarabangsa, penulis perlu membuat langkah pertama iaitu memulakan dengan memperbanyakkan membaca.

"Kemudian berjalanlah ke luar negara, cari inspirasi dan masuklah ke kedai-kedai buku. Ambil kesempatan untuk hadir ke pesta buku yang diadakan di merata ceruk dunia. Ia sebenarnya membuka mata dan memberi pengajaran baharu.

"Saya dan Hikayat Fandom masih belajar. Kami masih baharu namun kerana kita mempunyai iklim sokongan yang baik, misalnya menerusi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perbadanan Kota Buku (PKB), kita akan mampu mendapat dokongan yang dimahukan," katanya.

Berkongsi pengalamannya, Ninot berkata Dragonlore muncul selepas kejayaan empat buah siri Hikayat Fandom yang diterjemahkan ke bahasa Itali tahun lalu. Kejayaan itu mencetuskan semangat untuk beliau mengemudi apa yang dipanggil pada awalnya sebagai 'projek naga'.

"Saya mula mengajak beberapa kenalan penulis di negara lain untuk menulis kisah naga untuk antologi Dragonlore ini yang akhirnya menghimpunkan 14 penulis, tiga penterjemah dan dua ilustrator dari 10 negara.

"Hasilnya, Dragonlore muncul dengan saya dan Johnny Gillet sebagai editor, manakala tukang ceritanya datang dari Kanada, China, Jerman, Georgia, Indonesia, Itali, Filipina, Turkiye, Britain dan tentu saja dari Malaysia.

"Naskhah ini diperkemaskan dengan ilustrasi selain dijangka akan diterbitkan tahun hadapan dalam bahasa Turkiye, Mandarin dan Tagalog," katanya.

Berita Harian X