Selasa, 3 Oktober 2023 | 1:14pm
Selain Muhammad Lutfi (dua dari kiri) yang menerima mewakili Malaysia, turut meraih penghargaan serupa ialah Faisal Oddang (Indonesia); Awangku Mohd Noor Sham (Brunei Darussalam) dan Farihan Bahron (Singapura). Gambar ihsan DBP
Selain Muhammad Lutfi (dua dari kiri) yang menerima mewakili Malaysia, turut meraih penghargaan serupa ialah Faisal Oddang (Indonesia); Awangku Mohd Noor Sham (Brunei Darussalam) dan Farihan Bahron (Singapura). Gambar ihsan DBP

Menjadi penulis hebat bukan proses sendirian

KUALA LUMPUR: Menjadi penulis hebat bukan proses sendirian tetapi ia perlu disokong oleh penerbit, justeru dalam konteks Malaysia ia menjadi sebahagian daripada misi penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Di rantau Asia Tenggara pula, ia dijayakan secara bersama oleh Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand melalui Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA).

Minggu lalu, MASTERA yang bersidang di Jakarta, mengumumkan penulis asal Kedah, Muhammad Lutfi Ishak sebagai Sasterawan Muda MASTERA 2023.

Sebelum ini lima pengarang Malaysia turut mendapat penghormatan serupa iaitu Faisal Tehrani (2005), Siti Jasmina Ibrahim (2007), Syed Mohd Zakir Syed Othman (2010), Rahimidin Zahari (2013) dan Nisah Haron (2017).

Muhammad Lutfi dalam temubual dengan BH menyebut, penganugerahan itu adalah tanggungjawab.

Katanya, ketika menerima penghargaan sebegitu tentu saja menggembirakan tetapi dalam masa sama agak merisaukan ia membawa bersama tanggungjawab yang besar.

"Satu hal yang nyata, penganugerahan ini menunjukkan sastera masih diperhatikan dan dipandang tinggi oleh pihak berkuasa," katanya.

Selain Muhammad Lutfi yang menerima mewakili Malaysia, turut meraih penghargaan serupa ialah Faisal Oddang (Indonesia); Awangku Mohd Noor Sham (Brunei Darussalam) dan Farihan Bahron (Singapura).

Mengimbas perjalanannya sebagai seorang pengarang, Muhammad Lutfi berkata beliau sangat menghargai jasa baik dan bimbingan mantan Ketua Unit Pengembangan Sastera BH, Wan Omar Wan Ahamed atau Sutung Umar RS.

Katanya, ketika mula menulis sekitar tahun 2000, Sutung Umar RS adalah figura penting yang membentuk penulisannya.

Malah Muhammad Lutfi menyifatkan Sutung Umar RS adalah pengarang legenda yang sangat berterus terang.

"Misalnya, jika karya saya itu tidak disukainya, beliau akan memberitahu tanpa perlu melindung kelemahannya.

"Sehingga saat-saat akhir hayatnya, beliau masih kerap menghubungi untuk mengetahui perkembangan penulisan saya," katanya.

Tambah Muhammad Lutfi, selain Sutung Umar RS seorang lagi pengarang yang banyak memberi bimbingan kepadanya adalah Nawawee Mohammad.

Katanya, Nawawee mempengaruhinya menjadi pengarang seperti hari ini ketika beliau masih bertatih dalam dunia penulisan.

Bagaimanapun, katanya apabila semakin lama dan serius dalam dunia penulisan beliau dapati ia bukan sekadar medium meluahkan perasaan.

Sebaliknya dunia penulisan atau sastera adalah mengenai menyatakan fikiran dan memberikan kritikan dan itu adalah fungsi terbesarnya kepada manusia.

Muhammad Lutfi lebih dikenali sebagai pengarang puisi namun beliau juga menulis esei dan cerpen meskipun agak lama tidak berbuat demikian. Bagaimanapun ketika ini sudah perancangan untuk menerbitkan kumpulan cerpen dan esei dengan penerbit sedia ada.

Sementara itu, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP Abdul Ghani Abu, berkata untuk Anugerah Sasterawan Muda MASTERA menggariskan beberapa kriteria sebelum seseorang penulis itu dinobatkan.

Antaranya adalah muda iaitu berusia 45 tahun ke bawah selain kreatif dan mampu menyajikan karya yang popular dan menjadi fenomena, khususnya dalam kalangan anak muda.

"Selain itu tokoh itu juga diterima dengan baik dalam kalangan pembaca secara meluas," katanya.

Katanya, setiap negara anggota MASTERA ada tanggungjawab masing-masing dalam perkembangan sastera. Dalam konteks anugerah itu, pengiktirafan berkenaan diberikan empat tahun sekali iaitu pada setiap kali persidangan berlangsung di Jakarta.

Tambah Abdul Ghani, impak anugerah itu sangat bermakna kepada sasterawan muda kerana ia menjadi penanda aras kepada penulis-penulis baharu

"Sebenarnya selain anugerah, setiap penerima perlu juga mempunyai pemikiran dan falsafah sendiri dalam konteks perkembangan sastera.

"Hal ini kerana mereka akan terbabit dengan forum-forum yang disertai pengarang lain dari negara anggota.

"Forum sebegini adalah medan untuk saling bertukar pandangan bagi meletakkan karya sastera negara masing-masing setara dan bersaing bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara malah di peringkat global," katanya.

Katanya, Anugerah Sasterawan Muda MASTERA adalah pentas terbaik untuk penulis muda berkembang dan mengasah bakat.

"Mana tahu, dalam tempoh 20 tahun akan datang mereka adalah Sasterawan Negara," katanya.

INFO

1. MASTERA didirikan oleh tiga negara pengasas iaitu Brunei Darussalam, Malaysia dan Indonesia pada 1996 sebelum disertai Singapura pada 2012 dan Thailand 2014.

2. Penubuhannya bertujuan memajukan dan mengembangkan kesusasteraan serantau dalam bahasa Melayu

3. Program penulisan MASTERA antara program popular yang diadakan bagi mengembangkan bakat penulis muda negara anggota

4. MASTERA turut menganjurkan Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan

Berita Harian X