KUALA LUMPUR: Cabaran terhadap bahasa Melayu tidak pernah berakhir malah dalam konteks lebih besar, ia turut memberi kesan kepada sastera kebangsaan itu sendiri yang belum cukup berkembang maju.
Ia boleh dibuktikan menerusi jumlah penerbitan buku-buku akademik dalam bahasa Melayu masih berkurangan sekali gus menjadikan kedudukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mencecah usia 67 tahun sangat relevan.
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ke-12, Datuk Dr Anwar Ridhwan, berkata
dalam hal itu, beliau melihat perlunya misi utama penubuhan organisasi berkenaan terus diperjuangkan.
Justeru tegas beliau, antara misi utama yang akan dilaksanakan sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP adalah menambah baik dan mengukuhkan usaha-usaha pengembangan bahasa Melayu serta sastera kebangsaan.
"Selain itu DBP perlu menerbitkan buku fiksyen dan bukan kreatif bermutu yang dapat menyumbang kepada masyarakat berbudaya juga berilmu pengetahuan.
"Hari ini bahasa Melayu terus menerima cabaran, umpamanya daripada bahasa asing serta penggunaan teknologi maklumat.
"Bahasa Melayu sepatutnya menjadi bahasa yang utama di negara ini, dikuasai oleh semua warganya dan digunakan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi.
"Jadi untuk tujuan itu bahasa Melayu mesti menjadi bahasa ilmu dan mempunyai nilai ekonominya," katanya.
Anwar yang dilantik Pengerusi Lembaga Pengelola DBP berkuatkuasa 1 Ogos lalu menggantikan Datuk Dr Awang Sariyan menyebut, setakat ini dalam konteks mengantarabangsakan sastera Melayu ia belum cukup memuaskan dan berkesan.
Justeru beliau melihat perlunya diatur program secara sistematik berkaitan penterjemahan, penyebaran dan bicara karya di peringkat antarabangsa selain keperluan untuk melantik ejen penulis (literary agent) antarabangsa.
"Dalam hal ini DBP akan membantu pihak-pihak yang berkaitan, umpamanya penterjemah, penulis, penerbit dan sebagainya.
"Jadi, dalam usaha penterjemahan karya ke bahasa asing, saya berpegang kepada prinsip 'karya yang bermutu' ,"katanya.
Justeru, tegas Anwar ia tidak akan terhad kepada karya tulisan pengarang veteran atau sasterawan negara saja sebaliknya, karya penulis-penulis muda yang bermutu juga akan dimasukkan dalam program ini.
Tambah beliau, ketika ini landskap sastera kebangsaan mempunyai banyak karya penulis muda yang bagus, dan masa depan adalah untuk mereka berada di pentas antarabangsa.
Justeru katanya, selain penterjemahan karya-karya baharu DBP akan mencetak semula naskhah sastera yang pernah diterjemahkan ke bahasa asing.
Bagaimanapun usaha ini katanya memerlukan rundingan dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) bagi mengenalpasti mana-mana karya sastera Melayu yang sudah diterjemahkan ke bahasa asing tetapi wajar dicetak semula.
"Usaha ini sedapat-dapatnya diterbitkan dan disebarkan di negara asing di mana bahasa itu digunakan.
"Kita akan bekerja sama dengan perwakilan Malaysia di luar negara, institusi atau sarjana asing tertentu yang boleh berperanan mendekatkan karya terjemahan itu kepada khalayak mereka di luar negara," katanya.
Bagaimanapun dalam masa sama, katanya DBP tetap akan mengekalkan kualiti penerbitan semua karyanya.
Malah hal itu akan menjadi keutamaan kepada organisasi berkenaan, namun dalam masa sama akan menyeimbangkannya dengan keperluan ruang terhadap penulis baharu.
"Bagi penulis baharu yang karyanya mungkin kurang berkualiti, mereka juga diberi peluang untuk menerbitkannya dengan DBP.
"Peluang itu semoga dapat menaikkan semangat mereka untuk berkarya dengan lebih baik pada naskhah seterusnya," katanya.
Sementara itu Anwar ketika ditanya mengenai kemungkinan melihat kembali tatacara pemilihan pemilihan Sasterawan Negara (SN) atau pencalonan Anugerah Penulisan Asia Tenggara menyebut secara umum kedua-dua penganugerahan itu mempunyai terma rujukan masing-masing.
Bagaimanapun, beliau yang Sasterawan Negara ke-10 tidak menolak kemungkinan menyemak semula semua terma rujukan berkenaan termasuk pelantikan panel penilai dan sebagainya.
"Saya mahu hasil daripada setiap pemilihan memang betul-betul menobatkan sasterawan yang bermutu.
"Tidak mahu lagi muncul sindiran 'rumah siap pahat berbunyi.' katanya.
Sejak beberapa tahun ini pemilihan SN kerap kali menjadi isu yang hangat diperkatakan oleh khalayak sastera. Selain timbul isu lobi melobi, terdapat juga kerisauan dalam kalangan sesetengah pemerhati sastera apabila beberapa nama yang masuk ke peringkat akhir pemilihan SN kebelakangan ini dikatakan tidak layak berada di kedudukan itu.
Malah syarat yang menyebut mengenai perlunya seseorang calon terbabit secara aktif dalam kegiatan persatuan dikatakan tidak sesuai kerana mampu mengelabui pemandangan juri terhadap kualiti karya yang sepatutnya menjadi keutamaan.
Hal ini sekali gus dikhuatiri mampu meminggirkan pengarang yang benar-benar layak dinobatkan sebagai SN.