Selasa, 26 September 2023 | 12:46pm
Mahizan ketika menerima Anugerah Sasterawan Pulau Pinang daripada Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Yang Terutama Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak. Gambar ihsan DBP
Mahizan ketika menerima Anugerah Sasterawan Pulau Pinang daripada Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Yang Terutama Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak. Gambar ihsan DBP

'Hendak jadi penulis, jangan mudah patah hati'

KUALA LUMPUR: Tidak pernah memikirkan untuk mencari nama dalam dunia penulisan jauh sekali menganggap dirinya cukup hebat, namun Mahizan Husain, 59 mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai penerima pertama Anugerah Sasterawan Negeri Pulau Pinang.

Penganugerahan itu dibuat dalam majlis Hadiah Sastera Pulau Pinang yang berlangsung baru-baru ini. Bukan sekadar menobatkan sasterawan negeri, acara berkenaan juga adalah pengiktirafan sastera pertama yang diadakan untuk penulis anak Pulau Mutiara itu.

Mahizan ketika menerima penganugerahan itu nyata terkejut kerana beliau tidak pun menghantar pencalonan sebaliknya, kualiti karya selain tulisan beliau yang banyak diselidik sarjana, meletakkannya di kedudukan berkenaan.

Pengarang kelahiran Sungai Nibong Kecil, Pulau Pinang itu sudah menulis sejak 1990-an. Sehingga kini sesudah tiga dekad, beliau masih kekal bermotivasi bukan saja sebagai novelis tetapi juga penulis skrip, cerpen selain kerap dijemput berkongsi pengalaman kepengarangannya di institut pengajian tinggi.

Sehingga kini, Mahizan sudah menghasilkan 13 novel dan puluhan skrip drama selain sudah meraih lebih 19 pengiktirafan sastera.

Ditanya apakah motivasi terbesar yang menyebabkannya setia dalam dunia penulisan, Mahizan menyebut sejak mula menulis karya kreatif seawal usia 18 tahun, hal paling dititikberatkan adalah peningkatan mutu karya dan estetika.

"Biasanya selepas sesebuah karya itu terbit, saya ambil masa untuk meneliti kelemahan dan kekurangan yang sepatutnya dihindarkan.

"Matlamat utama, saya mahu karya-karya saya menjadi bahan bacaan yang bermanfaat.

"Menulis juga adalah belajar. Jadi, ketika saya menulis, saya belajar. Itulah yang menjadi motivasi saya selama ini - belajar tanpa henti dan menulis tanpa mudah patah hati," katanya.

Katanya, jika ditanya apakah genre yang paling disukainya jawapan terbaik adalah beliau suka mencabar diri sendiri. Malah dia tidak mahu kekal statik dan setia dengan satu genre sahaja.

Justeru katanya, sejak mula menulis pada 1990-an, tema karyanya sering berubah. Misalnya, pada peringkat awal penulisan, Mahizan selesa menulis karya realisme sebelum memilih realisme magis dan surealis. Namun hari ini katanya, beliau selesa kembali kepada karya dengan tema realisme.

Namun kongsi Mahizan, kalau ditanya antara semua aliran itu beliau selesa dengan surealis yang umumnya membawakan karya dengan kisah realiti dan tidak nyata. Daerah tengah antara dua zon itu katanya sangat menarik, umpama sebuah pintu ajaib.

"Tapi kalau ditanya genre pula antara drama dan novel, saya sebenarnya mencintai kedua-duanya.

"Saya mula menulis novel kerana diasuh oleh tabiat suka membaca. Cinta saya pada drama pula lahir kerana sejak remaja saya suka menonton filem.

"Filem ini adalah ruang euforia peribadi tapi kedua-duanya membentuk cara pandang dan pola pemikiran saya mengenai hidup," katanya.

Bagaimanapun, Mahizan percaya untuk menjadi penulis yang baik setiap karya dihasilkan mesti ada pengisian. Ia tidak boleh berdiri sebagai hiburan semata-mata yang kemudiannya dilupakan.

Justeru menjadi prinsipnya, jika mencipta mencipta satu watak dalam novel atau skrip drama, walau sekecil mana pun, sebolehnya beliau tidak mahu watak itu ditampilkan hanya sebagai tempelan walaupun mungkin seekor kucing.

Tegasnya, setiap watak perlu ada makna.

Kongsi Mahizan, sejak kecil beliau sudah dibiasakan membaca karya besar tulisan Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said selain pengarang hebat Indonesia, Pramoedya Ananta Toer.

Justeru kedua-dua sosok ini banyak mempengaruhi pemikiran awalnya sebagai penulis. Selain dua tokoh itu, Mahizan juga mengagumi novelis dan tokoh wartawan terkemuka, Tan Sri A Samad Ismail, Iwan Simatupang dan Seno Gumira Ajidarma.

Berkongsi kaedah penulisannya, Mahizan berkata dia lebih selesa menulis di rumah dan melakukannya dalam tempoh waktu pejabat.

"Saya suka duduk menulis di rumah saja, kalau di tempat lain selalunya idea tak mampu nak keluar pun.

"Waktu menulis saya ikut waktu pejabat, bermula jam sembilan pagi dan tamat lima petang. Waktu makan tengah hari iaitu jam satu hingga tiga, saya akan berhenti sebelum sambung dua jam lagi.

"Saya tidak menulis waktu malam. Selalunya duduk merehatkan diri saja atau tonton filem," katanya.

Mahizan berkata, berbeza dengan tempoh sebelum COVID-19 melanda, hari ini dunia perbukuan dilihat rancak bergerak. Hal ini ditambah dengan ligatnya media sosial berperanan menjadikan semakin banyak penerbit, penulis dan pembaca muncul.

Malah ia menyaksikan bertambahnya anak muda muncul dalam dunia penerbitan tak kira sama ada menerbitkan karya dalam bentuk konvensional atau e-buku malah portal dalam talian.

"Berbanding dulu, genre buku juga sudah semakin luas. Tidak hanya novel, cerpen dan puisi tetapi juga naskhah motivasi, buku agama, travelog dan segala macam yang masing-masing punya penggemar sendiri.

"Saya melihat selera dan minat pembaca ada kala sukar diramal. Misalnya ada buku dengan tema 'healing' (penyembuhan) yang laris terjual hingga ribuan naskhah.

"Ini hal yang baik, dan sebenarnya kita sedang melalui dunia persuratan milieu baharu yang penuh kejutan dan magikal," katanya.

Berita Harian X