Isnin, 11 September 2023 | 1:42pm
Drama Ayahanda lakonan Jalil Hamid diadaptasi daripada novel Ayahanda tulisan Azizi Hj Abdullah. Gambar arkib NSTP
Drama Ayahanda lakonan Jalil Hamid diadaptasi daripada novel Ayahanda tulisan Azizi Hj Abdullah. Gambar arkib NSTP

Siapa kata buku sastera tak boleh jual?

KUALA LUMPUR: Sangat klise untuk mengatakan buku sastera tidak boleh dijual tanpa memahami realiti sebenar. Sedangkan setiap genre memiliki kekuatan dan penggemarnya sendiri.

Apatah lagi dengan perkembangan teknologi semasa, penerbit boleh menggunakan setiap ruang yang ada untuk memasarkan produk mereka.

Dalam hal ini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak ketinggalan. Ketua Pengarahnya, Dr Hazami Jahari, berkata komitmen DBP kepada penerbitan buku sastera masih selari dengan misi penubuhan agensi itu.

Katanya, buku sastera mempunyai tempat dalam hati masyarakat yang memperlihatkan banyak karya sastera yang diterbitkan agensi itu laris dalam pasaran.

Malah tegas Hazami, bagi sesetengah genre yang dianggap susah jual dan bersifat akademik, DBP tetap menerbitkannya atas dasar tanggungjawab sosial.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari. Gambar ihsan DBP
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari. Gambar ihsan DBP

"Ya secara keseluruhannya, memanglah kita tidak menafikan bahawa ada karya tertentu, sebagai contoh karya ilmiah sastera yang sukar dijual.

"Ia kerana karya sebegitu lazimnya digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran di institut pengajian tinggi atau di kolej," katanya.

Justeru tegas Hazami, DBP tetap komited untuk menerbitkan genre begitu dalam misinya untuk memandaikan bangsa seterusnya menyumbang kepada pembangunan tamadun masyarakat menerusi penerbitan karya yang bermutu tinggi.

katanya, pasaran buku di Malaysia menawarkan pelbagai genre berasaskan citarasa pembaca itu sendiri sangat pelbagai. Apa sahaja genre sama ada pop, sejarah dan sebagainya ia sebaiknya dihasilkan dengan menjana keilmuan kepada pembacanya,

Namun ia juga seharusnya dipasarkan dengan baik supaya sampai kepada pembaca dan dalam hal ini katanya, DBP berusaha untuk bergerak seiring dengan perubahan teknologi pemasaran terkini.

Malah tegas Hazami berbanding penerbit lain, DBP kaya dengan pelbagai produk dan khazanah ilmu bahasa, sastera dan penerbitan sekali gus dapat dijadikan sebagai kandungan yang dapat dimanfaatkan oleh pengguna.

Katanya, organisasi itu berada dalam kedudukan yang baik namun cabarannya adalah bagaimanakah untuk menghasilkan kandungan yang baik dan disukai ramai?

"Ketika ini pelan strategik DBP, turut memberikan tumpuan terhadap usaha bagi

menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi.

"Dalam masa sama kita merangka pelbagai kaedah untuk memasarkan produk penerbitan termasuklah karya sastera seperti menerusi promosi, penyelidikan produk dan perkhidmatan dalam pelbagai bentuk dan medium," katanya.

Tambah Hazami, sebagai penerbit juga DBP mempunyai polisinya tersendiri. Misalnya dari segi polisi penerbitan, jumlah cetakan sesuatu produk bergantung pada potensi jualan karya itu sendiri.

Walaupun pada dasarnya tiada ketetapan jumlah tertentu, tetapi DBP boleh mencetak lebih daripada jumlah yang ditetapkan berdasarkan permintaan.

"Namun, kita juga mengambil kira pelbagai faktor misalnya kos dan tempat penyimpanan buku.

"Semua itu perlu dihitung kerana ia membabitkan kos," katanya.

Tegas beliau, sejak ditubuhkan hingga kini DBP sudah melahirkan ramai penulis dan menobatkan 15 sasterawan negara dan sehingga kini organisasi itu tetap giat mengadakan program penataan bakat.

Drama Capa Rengat Gulai Rawo yang ditayangkan di RTM baru-baru ini diadaptasi daripada dua naskhah cerpen tulisan Sasterawan Perak, Baharuddin Kahar. Gambar arkib NSTP
Drama Capa Rengat Gulai Rawo yang ditayangkan di RTM baru-baru ini diadaptasi daripada dua naskhah cerpen tulisan Sasterawan Perak, Baharuddin Kahar. Gambar arkib NSTP

Minggu Penulis Kanak-Kanak dan Minggu Penulis Remaja antara program yang sudah menjadi identiti DBP sejak ia dimulakan. Malah terdapat beberapa orang alumni dua program itu yang sudah pun dinobat sebagai Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) seperti Zaen Kasturi dan Shamsudin Othman.

Bagaimanapun DBP tidak pernah membezakan penulis malah meraikan semuanya tanpa mengira usia ataupun bangsa.

Malah, peluang dan ruang sentiasa terbuka kepada setiap penulis untuk menulis dalam majalah terbitannya serta menghantar manuskrip sastera atau bukan untuk diterbitkan. Apatah lagi katanya, ketika ini DBP sudah mempunyai pelantar digital yang membenarkan penulis turut menyumbang tulisan mereka.

"Sebenarnya, ruang itu ada dan terbuka luas ada keupayaan, kemahiran serta usaha untuk meningkatkan budaya ilmu.

"Misalnya, kalau mahu menerbitkan buku, kita mempunyai pelbagai kategori buku. Ada karya fiksyen dan bukan fiksyen.

"Dalam karya fiksyen, kita ada karya seperti novel, cerpen, puisi dan drama malah kita juga terbitkan karya yang popular. Karya bukan fiksyen pula termasuklah karya umum, kajian atau karya ilmiah.

"Jadi terserah kepada penulis di luar sana untuk berkarya," katanya.

Tegas Hazami, DBP turut melangkah jauh apabila membawa karya-karya terbitannya ke kaca televisyen menerusi alih wahana kepada telefilem seperti novel Korban Kasih tulisan Fatimah Saidin yang dijadikan drama bersiri begitu juga dengan novel Ayahanda dan Sangeetha (Azizi Hj Abdullah) yang mendapat sambutan baik daripada penonton.

Malah DBP turut mengalih wahana puisi Sesekali tulisan Siti Zaleha Hashim kepada telefilem begitu juga cerpen tulisan Baharuddin Kahar, Capa Rengat Gulai Rawo.

Berita Harian X