Isnin, 14 Ogos 2023 | 3:17pm
Sebahagian novel sejarah yang dihasilkan penulis tanah air. Gambar arkib NSTP
Sebahagian novel sejarah yang dihasilkan penulis tanah air. Gambar arkib NSTP

Susahkah menulis novel sejarah?

KUALA LUMPUR: Novel sejarah berupaya menjadi wadah untuk mendekatkan pembaca dengan pelbagai peristiwa penting yang pernah berlaku di negara ini terutama fasa sebelum kemerdekaan.

Bagaimanapun, genre sedemikian kurang menjadi pilihan penulis terutama generasi muda, disebabkan anggapan penulisan naskhah sebegitu memerlukan daya kepengarangan yang tinggi, kajian terperinci dan mengambil masa untuk disiapkan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, mengakui novel sejarah yang baik dan bernilai tinggi sukar dihasilkan, malah menyifatkan tugas itu sama berat dengan kerja seorang pengkaji.

Katanya, hal itu disebabkan penulis perlu menggali bahan relevan sama ada buku, dokumen, sumber lisan dan kemudian diadun pula dengan saranan sastera yang turut menuntut tenaga kreatif.

"Jika kerja menulis buku sejarah sudah sukar, tugas menulis novel sejarah pastinya berganda kesukarannya.

"Itu sebabnya penulis penulisan novel sebegini hanya dapat dilakukan oleh segelintir penulis sahaja," katanya kepada BH Sastera, baru-baru ini.

Mengupas lanjut mengenai kekurangan bakat muda yang berminat untuk menulis karya sejarah, jelas Mohamad Saleeh, tanggapan berkenaan mungkin betul jika takrif 'penulis muda' itu dikelaskan kepada pengarang berusia 40 tahun dan ke bawah.

Berdasarkan pemerhatiannya, kebanyakan penulis muda lebih cenderung untuk menulis isu yang lebih kontemporari, futuristik dan sains, dengan lahirnya jumlah karya sedemikian dalam kalangan kelompok itu berbanding novel sejarah.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad. - NSTP/Salhani Ibrahim
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad. - NSTP/Salhani Ibrahim

Katanya, antara novel 'berunsur' sejarah daripada penulis yang relatif muda jika dilihat pada usia mereka menulisnya seperti Faisal Tehrani yang menghasilkan 1515 dan Saasatul Ibaad; Mahizan Hussain (Menunggu Tuan Juragan yang Belum Pulang); WB Rendra ( Empayar IX) dan Amelia Hashim melalui naskhah berjudul Kalbu Qalha.

"Mereka ini sebenarnya tidak berapa muda tetapi masih aktif dalam sastera mutakhir.

"Menghasilkan novel sejarah memerlukan penyelidikan dan pemahaman mengenai sejarah, kerana itu lazimnya penulis yang berusia lebih berminat misalnya Shaari Isa dan Jong Chian Lai.

"Shaari Isa, selain siri Lepaskan Kembali Aku ke Laut, menghasilkan Sebalik Yamashita dan Percival, manakala Jong Chian Lai yang pernah menghasilkan novel Pemberontakan pada tahun 1994, ketika masih muda meneruskan legasinya dalam usia yang lebih matang dengan penghasilan novel Ah Fook pada 2015, tetapi novel terakhir ini lebih bersifat sejarah keluarga," katanya.

Beliau turut melihat keberadaaan novel sejarah dalam arena sastera negara banyak dibantu dengan penganjuran sayembara sebagai galakan untuk menulis karya sedemikian.

Hal ini kerana penghasilan sesebuah karya sejarah memerlukan sokongan dana dan dorongan. Hasilnya, banyak sejarah tanah air dapat diungkapkan dalam karya kreatif dengan muatan baharu.

Katanya, selain Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), beberapa pihak lain turut kerap menganjurkan sayembara novel sejarah seperti Yayasan Warisan Johor dan Persatuan Sejarah Malaysia (PSM).

Sementara itu, bagi pengarang yang pernah memenangi tempat pertama Sayembara Penulisan Novel Sejarah Untuk Remaja anjuran DBP dan PSM pada 2019 menerusi karyanya, Demi Tanah Qalha, Salina Ibrahim melihat ada usaha daripada pihak berkaitan untuk menganjurkan pertandingan penulisan untuk novel sejarah, namun ia tidak begitu rancak.

Novelis Salina Ibrahim. Gambar arkib NSTP
Novelis Salina Ibrahim. Gambar arkib NSTP

Katanya, galakan untuk menulis novel sejarah dalam kalangan penulis muda juga perlu melalui pelbagai alternatif lain dengan kerjasama pelbagai pihak berkaitan.

"Sebagai contoh, daripada pengalaman saya sendiri, apabila karya saya, 'Demi Tanah Qalha' menang, ramai pelajar dari sebuah universiti beli secara pukal.

"Rupanya selepas ditanya, mereka beli novel itu kerana tugasan untuk pengajian. Menurut pensyarah mereka, novel itu dijadikan teks untuk kajian.

"Jadi ada banyak cara untuk memperluas pembacaan bahan sejarah, salah satunya menerusi penulisan novel. Kita juga tahu novel sejarah ini ada penggemarnya tersendiri, jadi perlu ada usaha untuk galakkan orang muda menulis dan membaca karya sebegini," katanya.

Mengupas kepentingan novel sejarah, jelasnya, ia perlu terus disuburkan kerana sekurang-kurangnya, berupaya menjadi alternatif kepada pembaca yang ingin tahu mengenai asal usul atau sesuatu peristiwa.

Katanya, tidak semua orang minat membaca buku sejarah, justeru novel genre itu boleh menjadi wadah pembaca memahami secara, meskipun dengan cara kreatif.

"Novel sejarah ini pula ada banyak jenis, satu daripadanya adalah yang mengangkat peristiwa sebenar, tidak ada tokok tambah. Jika ada pun, hanya tambahan dari segi emosi watak dan watak tambahan. Ini biasanya yang menjadi syarat dalam sayembara penulisan novel sejarah.

"Ada juga novel berunsur sejarah, ia boleh digabungkan dengan unsur fiksyen. Misalnya, latar masanya pada zaman dahulu, digabungkan dengan watak zaman moden atau hanya ambil satu elemen daripada sejarah dan yang lainnya diolah luar daripada peristiwa asal," katanya.

Salina berkata, bagi penulis muda mungkin antara kesukaran yang dihadapi mereka adalah mengolah cerita selain mendapatkan sumber sahih. Kedua-dua faktor ini jika gagal dikawal menyebabkan manuskrip tersasar daripada sejarah asal.

Berkongsi pengalaman menyemak manuskrip penulis muda, terdapat kelemahan yang ketara dalam penulisan mereka apabila gagal mengupas semula fakta sejarah dalam bentuk penulisan kreatif.

"Ada banyak sebenarnya sisi sejarah Tanah Melayu yang belum ditulis semula dalam bentuk novel, misalnya sejarah pembentukan Tanah Melayu, bagaimana penyatuan tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India dicapai dan banyak lagi.

"Ini antara sejarah menarik yang mungkin belum banyak dihasilkan dan antara kekangan adalah untuk menggali daripada sumber yang sahih.

" Penulis muda mungkin boleh hasilkan karya daripada peristiwa penting ini, jika sumber tak cukup…boleh cantumkan serpihan kecil fakta yang ada untuk dijadikan sebuah cerita," katanya.

Berita Harian X