Isnin, 14 Ogos 2023 | 3:05pm
Pantun mendapat pengiktirafan Warisan Budaya Tidak Ketara oleh UNESCO, sejak 2020. Gambar ihsan DBP
Pantun mendapat pengiktirafan Warisan Budaya Tidak Ketara oleh UNESCO, sejak 2020. Gambar ihsan DBP

Pantun khazanah negara perlu kekal popular

KUALA LUMPUR: Kerap tular di media sosial kebelakangan ini mengenai juruterbang yang gemar berpantun setiap kali membuat pengumuman dalam pesawat. Ia bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi juga di Indonesia.

Hal ini bukan luar biasa kerana pantun adalah warisan budaya yang dikongsi banyak negara di alam Melayu terutamanya Malaysia dan Indonesia. Malah pantun sudah pun mendapat pengiktirafan Warisan Budaya Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), sejak 2020.

Pantun sebenarnya mempunyai nilai tersendiri dalam kalangan orang Melayu, malah sebelum ini warga net pernah mengkritik beberapa personaliti politik gara-gara mereka salah tafsir pantun klasik yang dimuat naik di laman sosial Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pantun bagaimanapun bukan hanya terkenal di alam Melayu, sebaliknya ia sudah mula diperkenalkan dalam sastera Eropah sejak abad ke-19. Ia boleh dikesan menerusi karya-karya penulis seperti Victor Hugo. Di Perancis, pantun dikenali sebagai pantoum atau pantoun dan diterima menjadi sebahagian genre dalam sastera Perancis.

Justeru hari ini apa yang paling utama adalah terus melestarikan pantun dan usaha itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari. Gambar ihsan DBP
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari. Gambar ihsan DBP

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari, berkata menerusi Pelan Strategik 2021-2025, agenda melestarikan pantun diletakkan di bawah teras strategik bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Katanya, melalui usaha itu DBP akan membina dan memperkasa data raya bahasa Melayu dengan memperbanyak korpus pantun dalam bentuk digital.

"Hal ini sudah dimulai menerusi portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang memuatkan pantun-pantun terbitan DBP.

"Namun tidak semua pantun di seluruh alam Melayu ini sudah direkodkan. Kami yakin banyak lagi pantun klasik yang diwarisi secara lisan masih berlegar dalam kalangan masyarakat.

"Jadi usaha akan dibuat untuk terus memperluaskan penyelidikan membina korpus pantun," katanya.

Hazami berkata, pantun juga mungkin tidak terhad kepada orang Melayu justeru usaha penyelidikan dan pengumpulan pantun daripada pelbagai etnik di seluruh Malaysia dilakukan.

Hal ini katanya bagi memastikan warisan pantun dapat didokumentasikan dengan lebih sistematik. Ini katanya selari dengan hasrat DBP untuk mengorak langkah menjadi badan yang bertanggungjawab mengumpulkan dan menerbitkan pantun-pantun yang dihasilkan pelbagai pihak.

Selain itu katanya, dalam usaha melestarikan pantun juga, DBP juga sedang berusaha untuk memperkasakan pantun dengan menumpukan kepada usaha mempopularkannya di ruang awam dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan, klinik, hospital, lapangan terbang dan sebagainya.

DBP juga katanya, melihat potensi alih wahana pantun dalam media baharu misalnya menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak. Misalnya tahun lalu, DBP dengan kerjasama Unit Drama TV, RTM memilih beberapa rangkap pantun terpilih untuk diadaptasi kepada drama 10 episod sempena sambutan hari kebangsaan 2022 dengan tajuk Pekan Kecil Kampung Terpencil.

 Pantun bukan hanya terkenal di alam Melayu, sebaliknya ia sudah mula diperkenalkan dalam sastera Eropah sejak abad ke-19. Gambar ihsan DBP
Pantun bukan hanya terkenal di alam Melayu, sebaliknya ia sudah mula diperkenalkan dalam sastera Eropah sejak abad ke-19. Gambar ihsan DBP

Untuk rekod, asal usul pantun sukar dijelaskan, malah sebelum ini sarjana sastera seperti Allahyarham Dr Harun Mat Piah pernah menyatakan, asal kewujudan pantun sukar untuk diperjelaskan kerana sifatnya sebagai genre sastera lisan.

Bagaimanapun ramai pengkaji menyifatkan meskipun kemungkinan sudah wujud lama, tetapi kemahsyuran pantun turut disumbang oleh kehebatan kesultanan Melayu misalnya di Melaka.

Malah banyak naskhah sastera klasik Melayu turut mendokumentasikan pantun misalnya Sulatus Salatin. Antara pantun popular dalam naskhah itu termasuklah;

Telor itik dari Singgora

pandan terletak dilangkahi

darahnya titik di Singapura

badannya terlantar di Langkawi

Selain di alam Melayu manuskrip pantun terutama naskhah klasik turut disimpan di British Library. Antara yang menarik 'Pantun Lagu Sayang dan Dandam Sayang" yang ditulis oleh komuniti Melayu di Sri Lanka.

Turut tersimpan di sana adalah naskhah manuskrip pantun MSS Melayu A 4, satu-satunya naskhah yang ditulis di atas kertas berjudul Surat Pantun Cara Lampung. Berdasarkan rekod British Library naskhah itu ditulis dalam dialek dan tulisan Lampung tetapi terdapat juga tulisan bahasa Melayu dalam huruf jawi.

Manuskrip bertarikh 1812 itu memuatkan pantun yang digunakan dalam upacara meminang. Bagaimanapun menurut catatan oleh British Library manuskrip itu mungkin ditulis untuk orang Eropah dengan lokasinya mungkin di Bengkulu iaitu lokasi pangkalan Syarikat Hindia Timur satu ketika dahulu.

Laman web British Library turut menyebut sebuah lagi manuskrip pantun yang tidak kurang menariknya adalah 'Livro de Pantuns' yang menjadi sebahagian koleksi Muzium Arkeologi Negara, Lisbon, Portugal. Ia dipercayai dihasilkan pada pada akhir abad ke-17 atau awal abad ke-18 yang ditulis dalam bahasa kreol Portugis (bahasa campuran yang kemudiannya menjadi bahasa utama). Naskhah itu turut mengandungi catatan berbahasa Melayu dalam tulisan rumi dan beredar dalam kalangan masyarakat di Batavia (sekarang Jakarta).

Berita Harian X