Isnin, 7 Ogos 2023 | 11:16am
Allahyarham Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad kekal menampilkan karya realisme, walaupun banyak beliau dianggap antara pelopor aliran surealisme di Malaysia. Gambar arkib NSTP
Allahyarham Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad kekal menampilkan karya realisme, walaupun banyak beliau dianggap antara pelopor aliran surealisme di Malaysia. Gambar arkib NSTP

"Hanya ungkap persoalan, tiada penyelesaian"

KUALA LUMPUR: Isu sosiobudaya dan politik masih menguasai sebahagian besar tema cerpen pengarang tanah air sejak 1920-an hingga kini.

Meskipun bentuknya tidak lagi sama dan sentiasa berubah mengikut peredaran masa tetapi keberanian pengarang semasa dalam menyarankan jalan keluar atau penyelesaian masih nipis.

Sebaliknya meskipun menyedari berlaku kepincangan politik rentetan kemajuan negara, penulis hanya sekadar mengungkapkan persoalan sebegitu tanpa berminat mencari solusi.

Hal ini dikongsikan oleh Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Faizal Musa pembentangan kertas kerjanya, 'Sosiopolitik dan Sosiobudaya dalam Cerpen 2000-2019' dalam Bengkel Kajian Kesusasteraan Melayu Moden, di Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini.

Mohd Faizal berkata, trend perubahan cerpen dengan tema sosiobudaya dan sosiopolitik ini dapat dikesan bermula pada era 1920-an, kemudian berubah selepas Perang Dunia Kedua.

"Ketika itu, boleh dikatakan penulis tidak ada kebebasan untuk berekspresi secara mutlak.

"Cerpenis yang ghairah menyentuh isu-isu ini adalah Sasterawan Negara (SN) Kamaludin Muhammad (Keris Mas), Datuk Dr Usman Awang dan Abdul Wahab Mohamad (Awam-il Sarkam) kerana mereka mempunyai kesungguhan untuk memahami masalah yang dihadapi masyarakat selepas perang dunia.

"Perkembangan cerpen mula rancak pada sekitar 1960 disebabkan banyak wadah penerbitan yang muncul. Misalnya DBP mula menerbitkan kumpulan cerpen daripada Salmah Mohsin, Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana) dan Ismail Ahmad (Ajikik)," katanya

Katanya, antara isu yang diketengahkan adalah kritikan kepada masyarakat bandar dan kemunafikan sesetengah orang Melayu khususnya ahli politik. Bagaimanapun pada era 1970-an, cerpen seakan tidak berkembang kerana penulis hanya menghasilkan karya seumpama tahun 1960-an.

Antara tahun 2000 hingga 2019, Mohd Faizal berkata, subjek sosiobudaya menjadi kegemaran sebahagian besar pengarang arus perdana.

"Antara sebabnya adalah ia subjek yang selamat, mudah dan tidak perlu menempuh tapisan, sekatan selain perhatian berlebihan daripada masyarakat

"Malah, karya seperti itu sering dinobat dengan hadiah justeru tahun demi tahun subjek yang sama berulangan," katanya.

Tambahnya bagi subjek seperti sosiopolitik meskipun penulis menyedari berlaku kepincangan politik tetapi ia sekadar ditulis tanpa ada jalan keluar.

Sementara itu dari segi aliran cerpen dalam tempoh 2000-2019, Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau SM Zakir berpendapat, sastera Melayu moden di Malaysia lebih terarah kepada dua aliran besar iaitu realisme dan luar-realisme.

SM Zakir dalam acara yang sama berkata, pada dekad 2000-an, pengarang seperti SN

Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad kekal menampilkan karya realisme, walaupun banyak beliau dianggap antara pelopor aliran surealisme di Malaysia.

Katanya, realisme secara dasarnya merujuk kepada fahaman sastera yang menekankan tugas pengarang dalam menggambarkan realiti sosial secara jujur. Luar realisme adalah karya yang menceritakan hal-hal sebaliknya misalnya merangkumi aliran realisme magis, absurdisme atau historisisme baharu.

"Aliran realisme ini berkait rapat dengan pendekatan formalisme, sebuah teori yang

mengukuhkan keberadaan sastera moden. Ia adalah penekanan mengenai sesuatu naratif itu sebenarnya adalah rakaman kehidupan sebenar manusia.

"Hal ini berbeza dengan aliran luar realisme yang selalunya melanggar logik,

dan mewajarkan setiap hal yang berlaku dalam naratif sebagai suatu desakan bawah sedar, mengaburkan makna atau meluaskan sempadan realiti dan mentafsir semua sejarah secara fiksyen. Ia tidak mementingkan plot, latar atau watak sebaliknya hanya idea pemikiran," katanya.

Tegas SM Zakir, dalam landskap sastera kebangsaan ada pengarang yang memilih untuk kekal dengan aliran realisme misalnya Malim Ghozali Pk, iaitu sosok pengarang yang cukup kuat berdiri dengan aliran realisme.

"Namun ada penulis yang menguasai kedua-dua aliran misalnya penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah 2021, Azmah Nordin. Kecenderungan itu memperlihatkan Azmah menggunakan kedua-dua aliran itu untuk menyampaikan kritikan sekali gus pemikiran yang kuat," katanya.

Tegas SM Zakir, pengarang mapan seperti Faisal Tehrani juga sangat ampuh dengan cerpen luar-realisme berbentuk historisisme baharu. Pada masa yang sama Faisal juga turut melahir cerpen-cerpen beraliran realisme.

Hal ini juga boleh dilihat dalam karya Saharil Hasrin Sanin yang muncul dengan menggunakan kedua-dua aliran realisme dan luar realisme.

Katanya, bagi pengarang seperti Saifulizan Yahaya dan Lutfi Ishak pula cenderung memilih aliran luar realisme yang memanfaatkan dongeng serta wit. Malah bagi Roslan Jomel yang selalu hadir dengan cerpen luar realisme, akhirnya aliran itu menjadi identiti kepengarangannya seperti mana Ruhaini Matdarin.

"Bagi pengarang muda, kita boleh mengesannya dalam karya Wan Nor Azriq dan diikuti oleh pengarang yang lebih muda seperti Azrin Fauzi dan Johan Radzi.

"Namun bagi pengarang generasi ketiga seperti Siti Hajar Mohd Zaki, Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy (Fadh Razy), Ainul Muayainah Sulaiman, mereka lebih banyak menghasilkan cerpen yang bergerak dalam aliran realisme," katanya.

Tambah SM Zakir, kehadiran pengarang yang menulis di luar arus perdana seperti Fazleena Hishamuddin, Shafiq Ghazali dan Ridzuan Saidi menawarkan cerpen yang bergerak dalam aliran realisme tetapi dengan nada yang lebih jujur dan keras.

Berita Harian X