Isnin, 31 Julai 2023 | 12:58pm
Keluhan dalam kalangan penggiat industri penerbitan mengenai merosotnya jualan buku terutama selepas berakhirnya PBAKL hanya membabitkan sejumlah yang kecil. Gambar Arkib NSTP
Keluhan dalam kalangan penggiat industri penerbitan mengenai merosotnya jualan buku terutama selepas berakhirnya PBAKL hanya membabitkan sejumlah yang kecil. Gambar Arkib NSTP

Terperangkap judul lapuk, punca buku tak laku

KUALA LUMPUR: Penutupan kedai-kedai buku kebelakangan ini bukan indikator yang tepat menunjukkan situasi ekonomi semasa. Apatah lagi perkembangan teknologi semasa memperlihatkan lahirnya pelbagai saluran jualan asalkan penerbit mahir mengendalikannya.

Malah, meskipun terhimpit dengan kemelesetan ekonomi dan jangkaan pengguna lebih berhati-hati dalam mengeluarkan belanja, terdapat sesetengah penerbit masih berani untuk menaikkan harga buku.

Mengulas hal ini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di Perbadanan Kota Buku, Hasri Hasan berkata, meskipun wujud keluhan dalam kalangan penggiat industri penerbitan mengenai merosotnya jualan buku terutama selepas berakhirnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), ia hanya membabitkan sejumlah yang kecil.

Katanya, hal ini berlaku kerana mereka masih terperangkap dengan senarai penerbitan judul-judul yang ketinggalan zaman bersandarkan harapan tajuk popular tiga tahun lalu misalnya masih mampu mencuit hati pembaca.

"Jangkaan seperti itu silap. Sedangkan generasi penerbit-penerbit baharu lebih peka dengan kehendak pembaca zaman moden yang mengalami perubahan trend dengan pantas.

"Satu lagi mungkin jualan merudum itu disebabkan berlangsung banyaknya pesta buku dianjurkan dan pembeli sudah membeli banyak buku misalnya di PBAKL," katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di Perbadanan Kota Buku, Hasri Hasan. Gambar ihsan Hasri Hasan
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di Perbadanan Kota Buku, Hasri Hasan. Gambar ihsan Hasri Hasan

Hasri berkata, ketika ini industri buku panas dengan naskhah genre penyembuhan (healing). Genre ini dijangka akan kekal mendapat sambutan masyarakat kerana ia berada dalam definisi besar naskhah 'self-help' atau membangunkan diri.

Di dalam genre itu katanya, terdapat terdapat bidang lain seperti membina personaliti diri, kemahiran perniagaan, pembangunan kendiri, keibubapaan, komunikasi dan sebagainya.

"Namun, trend buku 'healing' di Malaysia hanya dapat bertahan setahun dua lagi. Buku bergenre membangun diri ini malar hijau cuma ada sub kategori di bawahnya akan perlahan-lahan tidak lagi menarik minat.

"Jika kita perhatikan, kebanyakan buku 'healing' yang membanjiri pasaran buku tempatan adalah berlandaskan rawatan hati secara Islam.

"Namun, secara konsistennya, buku-buku yang akan menjadi trend seterusnya adalah buku-buku fiksyen remaja (young adult). Buku-buku genre ini semakin laris di negara Barat dan juga di negara yang mempunyai pembaca yang banyak seperti Korea Selatan, China dan pembaca-pembaca Inggeris seperti Singapura dan Filipina," katanya.

Justeru katanya, penerbit perlu cepat bangun selari dengan kehendak pasaran. Malah katanya, meskipun berlaku penutupan kedai buku sejak beberapa tahun lalu ia bukan indikator kuasa beli merudum atau tekanan ekonomi semasa.

Katanya, penutupan kedai buku berlaku disumbangkan oleh pelbagai faktor termasuk kadar sewa kedai dan gaya pembelian awam.

Tegas Hasri, apabila pengurusan kompleks membeli-belah menaikkan harga sewa, peruncit tidak dapat bertahan dengan margin yang menipis sekali gus memaksa kedai buku tutup. Hal ini ditambah dengan sebahagian besar pembaca lebih selesa membeli dalam talian.

Ketika ini juga katanya ada banyak saluran penjualan sama ada melalui laman web penerbit sendiri ataupun laman beli-belah e-dagang.

"Hal ini sedikit sebanyak mungkin menjejaskan penerbit kerana mereka kehilangan satu daripada saluran jualan tetapi mereka kini juga ada banyak saluran lain untuk menjual buku," katanya.

Sementara itu, Pengurus Jualan dan Pemasaran, Inisiatif Buku Darul Ehsan, Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman, berkata tidak dinafikan sebahagian penerbit berhadapan dengan masalah jualan sesudah berakhirnya PBAKL baru-baru ini.

Namun katanya, ia tidak mencerminkan wajah keseluruhan industri buku di negara ini.

"Ya, terdapat sesetengah penerbit berhadapan kesulitan menjual buku terbitan mereka, namun itu boleh disandarkan sebahagiannya daripada strategi pemasaran.

"Dalam hal ini, penerbit mesti melihat dalam pandangan yang luas dan menilai kekuatan diri.

"Kerja penerbitan pada masa ini bukan lagi kerja sendiri. Ia mesti mempunyai pasukan dan tulang belakang yang sedia digerakkan dengan perkiraan untung rugi selain dalam masa sama, kaedah jualan perlu dipelbagaikan," katanya.

Pengurus Jualan dan Pemasaran, Inisiatif Buku Darul Ehsan, Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman. Gambar arkib NSTP
Pengurus Jualan dan Pemasaran, Inisiatif Buku Darul Ehsan, Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman. Gambar arkib NSTP

Tegas Ainunl Muaiyanah, penerbit juga tidak boleh hanya bergantung kepada jualan terus kepada potensi pembeli atau semata-mata kepada media sosial. Hal ini disebabkan media sosial itu sendiri pelbagai dan penerbit perlu pandai menggunakan setiap peluang yang ada.

Katanya, kerja pemasaran haruslah lebih kreatif dengan penerbit harus memfokuskan kepada konten buku berbanding menjual semata-mata.

Hal ini katanya penting, kerana perkembangan semasa menyaksikan perlunya penerbit memujuk pembaca untuk memiliki buku supaya tidak rasa ketinggalan selain sikap pembaca semakin selektif dalam memilih buku

Ini ditambah dengan kebanyakan pemain industri mengambil sikap mengikut trend sedia ada sehingga menjadi tepu. Hanya sesudah ada pihak yang berjaya meneroka sesuatu kejayaan sama ada dari segi genre atau kandungan, barulah pihak lain akan mengikut.

Katanya, terdapat bermacam-macam ragam pembaca dengan pelbagai keperluan. Justeru, satu penerbit tidak boleh memenuhi selera semua pembaca. Namun walaupun penerbit itu ada ramai pengikut di media sosial tetapi ia bukan isyarat seramai itu juga orang yang akan membeli buku.

Sambutan hangat terhadap acara pesta buku selain prestasi baik kedai buku persendirian menjadi indikator rakyat Malaysia sebenarnya gemar membaca. Gambar arkib NSTP
Sambutan hangat terhadap acara pesta buku selain prestasi baik kedai buku persendirian menjadi indikator rakyat Malaysia sebenarnya gemar membaca. Gambar arkib NSTP

Berita Harian X