Isnin, 24 Julai 2023 | 1:21pm
Swee Tin ketika dinobatkan sebagai Anugerah Tokoh Puisi Kebangsaan 2023 daripada Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA). Gambar arkib NSTP
Swee Tin ketika dinobatkan sebagai Anugerah Tokoh Puisi Kebangsaan 2023 daripada Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA). Gambar arkib NSTP
Zurinah menyifatkan penganugerahan Tokoh Puisi Kebangsaan bukan hanya bersifat peribadi tetapi ia adalah satu penghormatan kepada genre itu sendiri. Gambar arkib NSTP
Zurinah menyifatkan penganugerahan Tokoh Puisi Kebangsaan bukan hanya bersifat peribadi tetapi ia adalah satu penghormatan kepada genre itu sendiri. Gambar arkib NSTP

'Penerbit besar kurang minat terbit puisi'

KUALA LUMPUR: Watak Jimmy Ang dalam filem arahan Sabri Yunus, Duan Nago Bagho menyerlahkan lagi kepelbagaian bakat seni, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) tahun 2000, Dr Lim Swee Tin.

Meskipun kemunculannya bukan sebagai watak utama, tetapi ia cukup berbekas. Apatah lagi sebelum ini Swee Tin lebih dikenali sebagai penyair dengan karya pertamanya terbit pada 1970-an, malah kerap memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia sejak 1980-an hingga kini.

Baru-baru ini penyair kelahiran Bachok, Kelantan itu dinobatkan sebagai

Anugerah Tokoh Puisi Kebangsaan 2023 daripada Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA). Turut menerima penganugerahan sama, Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr Zurinah Hassan.

Swee Tin berkata, minatnya terhadap sastera bermula di bangku sekolah lagi dengan antara sajak terawal yang dibacanya adalah karya SN Datuk Dr Usman Awang.

"Kali pertama saya baca sajak Usman Awang, ia menyentuh hati dengan kehalusan dan keindahan bahasanya.

"Motivasi terkuat untuk menulis karya sastera adalah untuk menguasai bahasa Melayu dengan baik dan menghasilkan karya yang halus dan indah.

"Kemudiannya saya sedar apabila menulis puisi, ia bagai beri ruang untuk saya meluahkan perasaan, isi hati dan pemikiran. Ini adalah satu saluran yang menarik untuk saya," katanya.

Bagaimanapun selain Swee Tin, tidak ramai penulis bukan Melayu yang mampu menghasilkan karya dalam bahasa kebangsaan dengan baik. Malah untuk satu tempoh yang lama, khalayak sastera akan merujuk nama-nama sama jika mahu menyebutkan contoh penulis bukan Melayu.

Namun, kebelakangan ini sudah ada ramai anak muda dalam kalangan bangsa Cina dan India yang aktif menulis puisi. Selain tampil dengan karya yang baik, kepelbagaian muatan budaya dan pemikiran menjanjikan masa depan cerah kepada sastera kebangsaan.

Swee Tin ketika ditanya mengenai perkembangan itu berkata, beliau sangat mengalu-alukan penyertaan anak muda pelbagai bangsa dalam ranah sastera negara. Malah katanya, ia juga selari dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Pembabitan dalam bidang sastera di Malaysia ini, bukanlah hak eksklusif sesuatu kaum sahaja.

"Justeru pembabitan penulis bukan Melayu harus diberi sokongan untuk kekal bersemangat dalam penulisan. Saya sentiasa memberi semangat kepada mereka.

"Malah, pada masa akan datang akan lahir lebih ramai penulis di negara ini bukan hanya dalam kalangan orang Cina atau India tetapi juga Bumiputera di Sabah dan Sarawak," katanya.

Tegas Swee Tin, semakin ramai penulis muncul, maka bertambah baik sastera di negara ini. Hal ini katanya disebabkan sastera membawa muatan pemikiran dan budaya yang akan membuatkan masyarakat saling memahami dan menghormati. Lebih utama ia akan mengangkat martabat bahasa dan sastera Melayu.

Meskipun lebih dikenali sebagai penyair, Swee Tin sebenarnya turut menulis cerpen dan novel selain esei. Namun beliau lebih akrab dengan dengan puisi, malah katanya genre itu sudah terlalu lama bertapak dalam dirinya iaitu lebih 50 tahun lalu.

"Hingga sekarang pun, setiap kali mahu memulakan puisi baharu saya masih lagi teruja.

Ia adalah perkara yang saya sangat senangi dan merasa terhutang budi," katanya.

Sementara itu bagi Zurinah, penganugerahan Tokoh Puisi Kebangsaan bukan hanya bersifat peribadi tetapi ia adalah satu penghormatan kepada genre itu sendiri.

Katanya, penganugerahan oleh GAPENA itu adalah satu cara mengangkat puisi sebagai bidang yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat.

"Sudah ada banyak puisi yang ditulis sejak dulu sebab istilah puisi Melayu itu sendiri terbahagi kepada beberapa genre.

"Ada sebahagiannya kita warisi daripada nenek moyang misalnya pantun, syair seloka dan sebagainya .

"Budaya ini mesti dipertahankan dan dijaga dengan baik kerana itu adalah khazanah dan kekayaan budaya yang perlu diteroka selari dengan peredaran zaman untuk maju ke hadapan," katanya.

Katanya minat masyarakat terhadap puisi juga semakin bertambah kebelakangan ini hingga terdapat sebahagian penulis pemula yang menerbitkan karya sendiri.

Bagaimanapun katanya, walaupun semakin ramai yang berminat dengan puisi halangan menanti adalah mereka sukar untuk menerbitkan karya. Hal ini disebabkan penerbit-penerbit besar katanya, kurang begitu minat untuk menerbitkan puisi kerana tidak mendatangkan pulangan yang lumayan.

Justeru beliau melihat pentingnya badan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pelbagai pihak lain dapat memperuntukkan dana bagi penerbitan puisi.

"Hal ini diharap dapat memberi ruang kepada anak muda untuk menulis dan memperbaiki diri mereka dalam penulisan puisi," katanya.

Namun katanya, dalam masa sama mereka yang ingin menulis puisi perlu banyak belajar. Malah setiap puisi yang dihasilkan mestilah membawa mesej baik dan mampu membentuk jiwa masyarakat untuk menjadi maju, jiwanya tidak sedih dan berputus asa.

"Nasihat saya mudah saja, hendak jadi penulis perlu memperbanyakkan membaca karya penulis yang berpengalaman dan berkualiti.

"Jangan hadkan genre sebaliknya bacalah merentas bidang dan supaya dapat meluaskan pengetahuan," katanya.

Berita Harian X