Rabu, 5 Julai 2023 | 12:24pm
 Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy. Gambar Arkib NSTP
Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy. Gambar Arkib NSTP
Genre puisi semakin mendapat sambutan di Malaysia berbanding dahulu yang menyaksikan hanya DBP saja berani menerbitkan naskhah begitu. Gambar hiasan/NSTP
Genre puisi semakin mendapat sambutan di Malaysia berbanding dahulu yang menyaksikan hanya DBP saja berani menerbitkan naskhah begitu. Gambar hiasan/NSTP

Pecah tembok 'elitis' sastera

KUALA LUMPUR: Jika dulu hanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) saja yang berani menerbitkan buku genre puisi disebabkan kurangnya sambutan khalayak terhadap naskhah seperti itu.

Namun sejak 12 tahun lalu, apabila Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) memperoleh dana karya asli, lebih banyak buku puisi diterbitkan sekali gus berjaya mendapat perhatian pembaca.

Langkah itu turut menarik minat penerbit kecil dan indie antaranya Sang Freud Press, Selut Press menerbitkan genre yang sama hingga mampu melahirkan ramai penyair muda.

Usaha itu terus dibuat hari ini oleh penerbitan kecil seperti Kata Pilar (M), Sdn Bhd

apabila sejak tiga tahun lalu menganjurkan Sayembara Puisi Katapilar. Namun tahun ini mereka melangkah setapak lagi apabila menjenamakan semula sayembara itu menjadi Hadiah Puisi T Alias Taib.

Sekretariat sayembara berkenaan, Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy, berkata acara itu sebenarnya dibuat bagi mencari manuskrip puisi yang berkualiti.

Katanya, menjenamakan semula pertandingan berkenaan dengan meletakkan nama T Alias Taib adalah sebahagian usaha Kata Pilar untuk mengangkat ketokohan T Alias Taib sebagai pengarang puisi yang ikonik dan menjadi rujukan.

Untuk rekod, T Alias Taib atau nama sebenarnya Tengku Alias Taib adalah penyair terkenal kelahiran Terengganu. Menulis puisi sejak 1960 beliau meninggal dunia pada 2004. Sepanjang hayatnya beliau menghasilkan tujuh kumpulan puisi iaitu Pemburu Kota (1978), Seberkas Kunci (1985), Opera (1988), Piramid (1990), Petang Condong (1996) dan Pasar Pengalaman (2004).

Ahmad Fadhlil berkata, meskipun hadiah yang ditawarkan agak kecil iaitu royalti pendahuluan sebanyak RM1,500 sahaja, sayembara berkenaan berjaya menarik penyertaan nama-nama besar dalam sastera kebangsaan termasuk penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2021, Mohd Rosli Nik Mat atau lebih dikenali sebagai Rosli K Matari.

"Penyertaan mereka adalah satu petanda hadiah puisi ini juga mendapat tempat dalam kalangan penulis mampan.

"Hadiah Puisi T Alias Taib ini bukan lagi sekadar hadiah untuk penulis mula malah diperakui sebagai satu platform untuk penulis-penulis berkarya sekali gus mencairkan 'tembok' dalam kalangan penulis," katanya.

Tegas Ahmad Fadhlil, sebelum ini kebanyakan sayembara berprestij seperti yang dianjurkan DBP atau ITBM akan didominasi nama-nama besar tetapi menerusi Hadiah Puisi T Alias Taib, ia berjaya menarik ramai penyertaan daripada semua lapisan penulis.

Hal ini katanya, membuktikan bakat, kemahiran dan pemikiran adalah ramuan kejayaan selain penulis tidak lagi memencilkan diri mereka dalam ruangan elitis sastera semata-mata.

Melalui hadiah itu katanya, semua karya diukur dan dinilai dengan standard yang sama. Ini boleh menjadi peluang kepada penulis muda untuk mengukur kemampuan sendiri dengan membandingkan karya oleh pengarang mapan.

"Walaupun pada mata kasar, puisi dilihat agak ketinggalan berbanding genre sastera yang lain, tetapi kegiatan menulis puisi ini sebenarnya masih lagi hidup.

"Benar, secara komersial kita kurang memberikan peluang terhadap genre ini, tetapi hakikatnya puisi memiliki kelompok pengikut yang besar.

" Apa yang perlu dilakukan adalah untuk melatih pembaca dan penulis untuk menghasilkan puisi yang baik serta bermutu," katanya.

Katanya, secara umum di Malaysia meskipun puisi bukan genre yang asing tetapi perhatian terhadapnya berbeza-bezanya. Misalnya bayaran untuk sebuah puisi yang terbit di media jauh lebih rendah berbanding prosa. Hal yang sama berlaku dalam sayembara atau pengiktirafan sastera.

Namun Ahmad Fadhlil berkata nilai itu bergantung kepada pihak pengelola. Meskipun ada sesetengah pihak yang memberi nilai berbeza antara puisi dan prosa, nama masih ada penganjur memberi jumlah sama rata antaranya Hadiah Sastera Selangor dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

"Bagaimanapun saya setuju sekiranya hadiah cerpen, puisi dan esei diberikan secara sama rata.

"Sekali imbas, memang penulisan puisi itu lebih pendek, tetapi kandungan nak hasilkan puisi ini nilainya lebih tinggi daripada satu muka surat. Jadi agak wajar jika hadiah puisi diberikan habuan yang setara," katanya.

Mohd Rosli Nik Mat atau lebih dikenali sebagai Rosli K Matari, pemenang Hadiah Puisi T Alias Taib 2023. Gambar arkib NSTP
Mohd Rosli Nik Mat atau lebih dikenali sebagai Rosli K Matari, pemenang Hadiah Puisi T Alias Taib 2023. Gambar arkib NSTP

Sementara itu bagi Rosli, beliau menghantar naskhah puisinya, Mengingat Matahari bagi menyertai Hadiah Puisi T Alias Taib bukan bertujuan untuk bersaing dengan sesiapa.

Sebaliknya, beliau hanya ingin mengetahui kemampuan wibawa dirinya sendiri. Meskipun sudah dinobat sebagai penerima SEA Write, hal itu adalah isu berbeza apatah lagi Kata Pilar diketahui sebagai portal puisi yang berorientasikan digital.

"Selain itu saya juga mahu membantu dalam usaha menjaga dan cuba mempertingkat imej negeri Kelantan sebagai 'lubuk puisi'," katanya.

Rosli yang sudah menulis puisi sejak 1970 berasal dari Kubang Kerian, Kelantan adalah nama besar dalam sastera di Malaysia. Sejak kumpulan puisi pertamanya, Nun Bulan terbit pada 2011 (yang diulang cetak sebanyak empat kali), beliau muncul hampir saban tahun dengan karya terbaharu.

Selain Mengingat Matahari, kumpulan puisi lain tulisan Rosli termasuklah Anak Dusun (2012), Tidakkah Kita Berada Di Sana? (2013), Hanya Langit Meratap (2014) dan Matahari Itu Jauh (2015) selain sebuah buku khusus mengenai rakan penyair yang juga anak didiknya, Allahyarham Rahimidin Zahari, Penyair Sebagai Teman pada 2016.

Berita Harian X