Isnin, 26 Jun 2023 | 3:01pm
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan (lima dari kanan) bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas, Datuk Awang Ahmad Shah Awang Shaari (enam dari kanan) dengan di sebelahnya Presiden BAHASA, Datuk Jasni Matlani (berbaju merah) dan Konsul Jeneral Republik Indonesia Kota Kinabalu, Rafail Walangitan (empat dari kiri) bersama tetamu jemputan lain bergambar ramai ketika majlis penutupan Festival Puisi Esei Antarabangsa kali kedua di Putatan, Kota Kinabalu. Gambar ihsan BAHASA.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan (lima dari kanan) bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas, Datuk Awang Ahmad Shah Awang Shaari (enam dari kanan) dengan di sebelahnya Presiden BAHASA, Datuk Jasni Matlani (berbaju merah) dan Konsul Jeneral Republik Indonesia Kota Kinabalu, Rafail Walangitan (empat dari kiri) bersama tetamu jemputan lain bergambar ramai ketika majlis penutupan Festival Puisi Esei Antarabangsa kali kedua di Putatan, Kota Kinabalu. Gambar ihsan BAHASA.

Ke mana hala tuju puisi esei

KOTA KINABALU: Pandangan yang menerima gabungan puisi dan esei sebagai satu lagi genre sastera di negara ini masih baharu. Secara umum ramai penulis masih lagi melihat puisi dan esei itu dua genre berbeza apatah lagi dengan cadangan puisi esei turut memuatkan nota kaki sebagai cubaan menjadikannya bersifat akademik.

Bagaimanapun, di Indonesia puisi esei sudah mula diperkatakan sejak 2012. Diasaskan oleh Presiden SatuPena Indonesia, Denny JA dan sudah menjadi sebahagian genre sastera.

Di Malaysia, antara penulis yang cenderung menghasilkan puisi esei adalah penerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2015, Datuk Jasni Matlani. Malah sesuai dengan kedudukan Jasni sebagai Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA),

sudah dua kali Festival Puisi Esei Antarabangsa diadakan di negeri itu.

Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP, Saifullizan Yahaya, berkata puisi esei meminjam bentuk esei dalam pengucapannya. Hal ini terlihat menerusi penciptaannya yang mempunyai nota kaki, catatan dan rujukan.

"Puisi jenis ini dihasilkan panjang dan berbabak seperti drama. Penggunaan bahasa

yang mudah difahami atau langsung tetapi masih menggunakan metafora dan simbol.

"Umumnya ia puisi esei ini adalah bentuk pengucapan baharu dalam perkembangan puisi moden di Malaysia. Namun, ia dikembangkan secara terancang melalui sayembara dan seminar serta festival.

"Perkembangannya masih terhad tetapi dapat diperluaskan melalui pengubahsuai yang sesuai supaya ia tidak terlalu tegar atau rigid," katanya dalam 'Forum Hala Tuju Sastera dan Puisi Esei 10 Tahun Mendatang' sempena Festival Puisi Esei Antarabangsa kali kedua, minggu lalu.

Dianjurkan BAHASA dengan sokongan kerajaan negeri, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), ia disertai oleh penggiat sastera Malaysia selain turut menerima penyertaan dari pelbagai kumpulan penulis dan seni dari Brunei, Thailand dan Indonesia.

Sementara itu bagi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Dr Ramzah Dambul yang juga seorang pemuisi, beliau melihat sesudah 11 tahun puisi esei diperkenalkan, ia sudah mempunyai bentuk yang kukuh.

Katanya, puisi esei turut membawa tema yang menyentuh isu sejagat dan hal-hal berkaitan kemanusiaan.

"Puisi esei sebagai sastera kreatif tidak ada keraguannya. Ia sudah ada identiti tetapi kita tertanya-tanya ke mana hala tujunya?," katanya.

Ramzah berkata, dalam konteks hala tuju selain identiti terdapat dua lagi peringkat penting iaitu gratifikasi jiwa dan advokasi.

Gratifikasi jiwa katanya adalah pemurniaan emosi berkait hal pembudayaan ilmu dan citra, manakala dari segi advokasi adakah ia boleh diguna untuk mengubah kemiskinan di Sabah.

"Denny dan Jasni sudah mulakan dengan bagus, kerana ia membabitkan penggubal polisi dari Sabah dan hubungannya dengan pihak luar negara. Dari segi itu kita sudah boleh bergerak jauh.

"Tapi puisi esei juga perlu bergerak secara advokasi kerana ia merentas disiplin. Sebab ada esei dan puisi, ramai orang yang bukan dari ranah sastera akan ikut berminat kerana keupayaan mereka untuk rasa terkait dengan genre itu.

"Malah, kita sudah ada komuniti yang organik bukan saja di peringkat kebangsaan tetapi juga ASEAN dan antarabangsa. Ramuan ini mampu gerakkan genre ini," katanya.

Justeru kata Ramzah, untuk menjadikan ia lebih bermakna maka kita perlu tandai dengan platform yang sudah sedia wujud. Bergerak secara sendiri tidak akan membawa puisi esei ke mana-mana. Sebaliknya apabila ia digerakkan bersama dengan 'establishment' (pertubuhan) ia akan lebih mudah perjuangkan.

Malah katanya, lebih menguatkan hal ini adalah perhimpunan hal-hal berkaitan sastera dibuat umumnya atas dasar cinta dan bukannya isu ekonomi.

Bagi Pensyarah Perguruan Tinggi Ilmu Kepolisian, Jakarta, Dr Yundini Husni pula, beliau menyifatkan sama ada ia dinikmati oleh seluruh ahli masyarakat atau segelintir saja ia adalah hal yang biasa dalam dunia sastera itu sendiri.

Kongsinya di Indonesia ketika ini katanya terdapat banyak kedai buku yang ditutup, termasuk jenama dikenali menjual naskhah sastera.

Justeru katanya, dalam liku-liku perjalanan sastera itu sendiri masyarakat masih perlu bercakap mengenai calon pembaca dan penikmatnya.

"Hal yang pertama kita perlu sedar hari ini sebahagian besar masyarakat adalah anak muda. Jadi golongan ini adalah mereka yang kita panggil sebagai 'digital native'. Jadi adakah mereka itu minat dengan sastera?

"Mungkinkah trend kedai buku tutup akan tetap berlaku namun dalam masa sama budaya popular akan terus ada.

Sastera adalah cerminan masyarakat kerana karyanya adalah mengenai masyarakat dan menginspirasi kekuatan. Apa yang perlu kita tahu, sastera itu tetap akan ada walaupun medium itu mungkin berubah," katanya.

Berita Harian X