Sabtu, 24 Jun 2023 | 11:15am
Azalan Hussain atau lebih dikenali sebagai Sinaganaga, beliau melihat banyak perbezaan dalam industri buku mandiri dulu dan sekarang. NSTP/Fathil Asri
Azalan Hussain atau lebih dikenali sebagai Sinaganaga, beliau melihat banyak perbezaan dalam industri buku mandiri dulu dan sekarang. NSTP/Fathil Asri

Tulis, terbit sendiri lebih puas

KUALA LUMPUR: Penerbitan sendiri atau disebut swaterbit dan mandiri bukan lagi terpencil dalam ekosistem perbukuan sebaliknya kehadiran mereka meskipun secara kecil-kecilan menjadi pelengkap kepada kehendak pembaca serta pasaran semasa.

Kebanyakan penggiat mandiri terus hidup, malah mampu menarik minat kelompok pembaca tersendiri kerana pengkhususan pasaran yang jarang diberi tumpuan oleh penerbitan komersial.

Di Malaysia, jumlah pengkarya mandiri sama ada penerbit atau penulis semakin meningkat kebelakangan ini malah ada yang mampu bersaing dengan penerbitan gergasi dan menembusi pasaran antarabangsa.

Bagi penggerak sastera mandiri, Azalan Hussain atau lebih dikenali sebagai Sinaganaga, beliau melihat banyak perbezaan dalam industri buku mandiri dulu dan sekarang.

"Mandiri ketika ini tak sama dengan penggiat buku indie, 15 tahun lalu. Kalau dulu bila sebut buku indie, ia sering dikaitkan dengan perkara negatif seperti melawan, atau rebel ''rebel'. Saya kira penggunaan mandiri (lebih) bersih.

"Karya indie dahulu juga sering bawakan sesuatu yang baharu tapi sekarang sudah tidak ada. Ada banyak sebab, antaranya penggiat indie ini ada yang dah tua, masing-masing ada masalah kesihatan, ditambah pula kos penerbitan hari ini yang tinggi," katanya.

Katanya, penerbitan indie dahulu boleh diibaratkan sebagai satu kartel yang saling menyokong untuk masing-masing kekal hidup.

"Umpamanya kami bahagikan tugas, apa yang ingin dibawa oleh setiap penerbit, kebanyakannya tampilkan buku atau genre yang berbeza antara satu sama lain.

"Sebagai contoh, kita dahulu ada banyak penerbit seperti Sindiket Soljah, Buku Orang Lidi, Studio Anai Anai dan Dubook Press.

"Kita tak pernah labelkan apa yang dibawa sebagai indie, bergantung kepada khalayak untuk tentukan. Malah, ada juga penerbit yang mula secara indie dan kemudiannya masuk ke arus perdana," katanya.

Menyentuh kelompok penulis atau penerbit mandiri hari ini, katanya, platform itu kini kebanyakannya dipelopori oleh pendatang baharu yang lebih selesa terbit serta pasarkan karya sendiri.

"Saya boleh panggil penggiat mandiri ini sebagai penggiat industri kecil dan sederhana (IKS) dalam arena perbukuan. Mereka ini hanya ada modal yang kecil, dengan pembaca kebanyakannya dalam kalangan kelompok mereka, umpamanya rakan-rakan terdekat.

"Buku penulis mandiri juga biasanya tak dijual secara meluas, sukar cari di kedai buku di luar. Karyanya dibuat sangat istimewa, malah ada judul yang hanya dicetak 10 hingga 20 buah sahaja. Selepas itu, penerbit atau penulis akan tambah baik dan cetak semula. Itu sikap yang ada pada pemain buku mandiri.

"Contohnya saya sendiri sebagai penulis dan penerbit, cuma keluarkan satu sahaja buku baharu untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 dan cetak cuma 100 naskhah, iaitu masing-masing 50 naskhah bagi buku edisi kulit keras dan kulit nipis.

"Jika buku ini habis, ia tidak akan cetak lagi. Itu konsep kita. Jadi boleh dikatakan buku sebegini akan jadi komoditi. Misalnya, ada karya lama saya, Stingarden dijual menerusi platform Amazon dengan harga RM300," katanya.

Jumlah pengkarya mandiri sama ada penerbit atau penulis semakin meningkat kebelakangan ini malah ada yang mampu bersaing dengan penerbitan gergasi dan menembusi pasaran antarabangsa. Gambar Arkib NSTP
Jumlah pengkarya mandiri sama ada penerbit atau penulis semakin meningkat kebelakangan ini malah ada yang mampu bersaing dengan penerbitan gergasi dan menembusi pasaran antarabangsa. Gambar Arkib NSTP

Bagi penerbit mandiri, Mimi Salleh, evolusi dalam kalangan penggiat buku secara bebas ini amat membanggakan.

Beliau yang juga bertindak selaku Jawatankuasa Pelaksana Mandiri di PBAKL 2023 berkata, penerbitan mandiri memberikan pilihan yang tidak ditawarkan oleh penggiat buku komersial.

"Kelompok penulis dan penerbit mandiri hari ini menulis dalam genre yang meluas daripada buku puisi, novel, komik, naskhah bercorak pengembaraan atau travelog dan kritikan filem, semuanya ada.

"Malah, kreativiti mereka sejak dulu tak boleh disangkal, sehingga hari ini masih ada anak muda yang buat karya secara sendiri misalnya hasilkan zine dan buku cerita kanak-kanak yang rekaan atau grafiknya boleh diubah suai mengikut permintaan pembaca.

"Jika dulu, orang kaitkan penerbit atau penulis mandiri dengan orang muda, tetapi sebenarnya usia mereka pelbagai, malah ada warga emas yang sertai kami sebagai pempamer di ruang Mandiri pada PBAKL lalu.

Katanya, ada sebahagian penerbit mandiri ini sudah lama berkecimpung dalam bidang itu namun ada juga pemain baharu. Bagaimanapun katanya, kebanyakan mereka bermula dengan skala penerbitan yang sangat kecil, namun potensi itu boleh dibesarkan jika pandai mencari peluang.

Tambah Mimi, sebagai contoh seorang artis komik mandiri Mohd Adnan Shamsuddin atau Nanzo berjaya menarik minat penerbitan di Amerika menerusi karyanya Andika Neosantara Saga.

Malah, Mimi berkata, ruangan khas untuk penggiat mandiri yang masuk tahun kedua di PBAKL turut membuka ruang kepada capaian lebih meluas untuk karya mereka, selain platform bagi membina rangkaian kerjasama lebih erat sesama penulis dan penerbit pada masa depan.

Bagi penulis dan penerbit mandiri, Rozinor Razali, medium mandiri antara platform berpotensi untuk orang muda yang berminat untuk menceburi dunia kepengarangan.

Beliau yang berpengalaman lebih sedekad dalam dunia penulisan bagaimanapun berkata, galakan untuk melahirkan penulis muda perlu diwujudkan termasuk menerusi geran penerbitan.

"Lebih baik penulis muda mula secara mandiri, tak perlu cetak banyak, cukuplah setakat 50 ke 100 naskhah.

"Saya sarankan pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka atau Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) sediakan geran untuk penulis baharu.

"Ini disebabkan ada antara mereka ini ada karya, cuma masalah dari segi modal. Ditambah pula dengan kos tingi untuk cetak buku, jadi bantuan seperti ini sekurang-kurangnya mendukung penggiat buku mandiri," katanya.

Berita Harian X