Khamis, 1 Jun 2023 | 12:06pm
Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Noor Amin Ahmad. Gambar Arkib NSTP
Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Noor Amin Ahmad. Gambar Arkib NSTP

Bentuk jawatankuasa bincang resolusi

KUALA LUMPUR: Sebuah Jawatankuasa Resolusi Majlis Dialog Negara perlu dibentuk untuk memastikan setiap resolusi dibentangkan oleh pemain industri perbukuan dipantau atau dibincangkan keberhasilannya.

Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Noor Amin Ahmad, berkata perkara itu penting supaya isu yang sama tidak diulang berkali-kali dalam setiap forum yang dianjurkan.

Katanya, beliau yakin banyak resolusi berjaya dicapai dalam setiap dialog sebelum ini, namun sehingga kini tiada tindakan susulan atau sebarang keputusan yang diperoleh.

"Kita tidak tahu siapakah yang bertanggungjawab di sebalik serahan resolusi berkenaan.

"Sekiranya kita tahu kerajaan muktamad tidak mahu lakukan apa-apa, jadi kita ada kepastian bahawa resolusi itu tidak dapat dilaksanakan.

"Ini kerana kita tidak mahu, setiap forum yang dilakukan dalam Majlis Dialog Negara itu menjadi seolah satu forum formal di kedai kopi saja," katanya ketika merasmikan Majlis Dialog Buku Negara, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (PBAKL 2023) kali ke-40 yang berlangsung dari 26 Mei hingga 4 Jun ini.

Yang turut hadir Pengerusi Dialog Buku Negara, Datuk Mohd Salleh Saidin dan Pengerusi Pengelola PABKL 2023, Mohd Khair Ngadiron.

Bagaimanapun Noor Amin berkata, beliau yakin inilah waktu yang terbaik untuk menyusun industri perbukuan di negara ini memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri adalah individu yang begitu terkenal dengan komitmennya terhadap dunia sastera, buku dan budaya.

"Anwar juga antara menteri yang pernah mengukir reputasi sebagai 'menteri pelancar buku' kerana kecintaannya terhadap dunia intelektual.

"Daripada hubungan dengan sarjana, buku dan aktiviti berkaitan, dia adalah sumber kekuatan yang wajar kita manfaatkan," katanya.

Jelasnya lagi, peningkatan minat dalam kalangan rakyat negara ini juga semakin meningkat terhadap setiap bahan bacaan.

"Selain itu perkembangan zaman dan ledakan maklumat juga mempengaruhi di mana masyarakat kini ingin menjadi masyarakat yang berpengetahuan.

"Ini juga perlu menjadi agenda berterusan kerajaan untuk memastikan setiap orang mempunyai asas pendidikan yang kuat bagi menangani isu kemiskinan di negara ini," katanya.

Berita Harian X