Isnin, 29 Mei 2023 | 3:39pm
 Pengunjung yang hadir pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di World Trade Centre (WTC). - NSTP/Fathil Asri
Pengunjung yang hadir pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di World Trade Centre (WTC). - NSTP/Fathil Asri

Promosi sastera, budaya menerusi negeri, negara tamu

KUALA LUMPUR: Kehadiran China sebagai negara tamu selain Sarawak sebagai negeri tamu pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang bermula Jumaat lalu hingga 4 Jun nanti di Pusat Dagangan Dunia (WTC), dijangka menyerikan lagi penganjurannya kali ini.

Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron, berkata kehadiran China membolehkan lebih banyak interaksi dilakukan antara penerbit dan penulis tempatan dengan negara itu.

Apatah lagi dengan pasaran ekonominya luas, penerbit katanya perlu mengambil peluang bagi memanfaatkan peluang yang ada.

"Kehadiran China sebagai negara tamu adalah peluang besar untuk mempelajari budaya dan ketamadunan mereka.

"Dalam masa sama ia juga membuka ruang kepada kita sebagai sebuah negara untuk mengambil bahagian, memanfaatkannya sekali gus memperkukuhkan hubungan antara dua negara," katanya.

Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur yang bermula 26 Mei hingga 4 Jun 2023. - NSTP/Aizuddin Saad
Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur yang bermula 26 Mei hingga 4 Jun 2023. - NSTP/Aizuddin Saad

 Pengunjung yang hadir pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di World Trade Centre (WTC). - NSTP/Fathil Asri
Pengunjung yang hadir pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di World Trade Centre (WTC). - NSTP/Fathil Asri

Mohd Khair berkata, China datang bersama delegasi seramai 200 orang dengan pavilion sendiri di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Tambahnya, usaha menjemput China sebagai negara tamu dibuat kerana potensi besar negara itu dalam pasaran buku dan penerbitan. Malah katanya, negara itu turut aktif dalam program pertukaran budaya dengan pelbagai negara. Hal ini bertepatan dengan konsep negara tamu yang menjadi ruang sesebuah negara memperkenalkan bukan saja kesusasteraannya tetapi juga seni, budaya dan muziknya.

Selain itu kata Mohd Khair, sepanjang PBAKL berlangsung China bukan hanya terbabit dengan urusan jual beli hak cipta tetapi juga terbabit dengan beberapa forum penerbitan dan pertemuan dengan rakan penerbit serta penulis tempatan.

Semua itu katanya membuka ruang yang luas kepada pemain industri tempatan untuk mencipta ruang masing-masing. Sebelum ini, edisi PBAKL pernah mengundang beberapa negara sebagai negara tamu antaranya Arab Saudi dan Indonesia.

Tegas Mohd Khair, meskipun China ditempatkan sebagai negara tamu, beberapa delegasi penerbitan dari negara lain akan turut hadir dalam perdagangan jual beli hak cipta yang juga akan berlangsung sepanjang PBAKL.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Sabtu lalu. - NSTP/Aizuddin Saad

Sebahagian pengunjung yang hadir pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di World Trade Centre (WTC) yang bermula 26 Mei lalu. - NSTP/Fathil Asri
Sebahagian pengunjung yang hadir pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di World Trade Centre (WTC) yang bermula 26 Mei lalu. - NSTP/Fathil Asri

Katanya, antara negara yang sudah mengesahkan penyertaan adalah Perancis, Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Selain negara tamu, PBAKL kali ini turut meraikan Sarawak sebagai negeri tamu yang dinaungi Pustaka Negeri Sarawak.

"Keunikan Sarawak dengan budayanya perlu lebih ditonjolkan selain fakta negeri itu melahirkan ramai pengarang berwibawa sama ada menerusi naskhah fiksyen atau bukan fiksyen.

"Pada masa sama kesediaan Sarawak menjadi negeri tamu akan membantu memperkukuhkan lagi perpaduan dan keharmonian pelbagai kaum di Malaysia," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan), Pustaka Negeri Sarawak, Salina Zawawi, berkata sebagai meraikan perayaan 60 tahun Sarawak merdeka, negeri itu mensasarkan untuk mempromosi industri kreatif khususnya buku dan penulisan, kesusasteraan, budaya serta warisan Sarawak.

Salina menegaskan, antara judul buku yang akan ditampilkan dalam penyertaan kali ini termasuklah naskhah berjudul Serahang Kahan yang dihasilkan kumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

"Serahang Kahang adalah upacara kaum Melanau yang menandakan permulaan perayaan Kaul.

"Buku ini mendokumentasikan sejarah upacara itu yang kaya dengan adatdan tradisi Melanau sehinggalah kepada kepentingannya kepada komuniti Melanau," katanya.

Selain itu, Sarawak turut menampilkan beberapa naskhah mengenai kebudayaan etniknya termasuk Siri Sarawakiana, Budaya Tradisi Kaum Jatti Miriek dan Sape The Community Binder tulisan Yakup Mohd Rafee selain sebuah naskhah mengenai cerita rakyat suku kaum Kelabit tulisan Mary Anne Vaz berjudul Baney Kabo : A String of Kelabit Beads.

Salina berkata, melengkapkan lagi penampilan sebagai negeri tamu penyertaan ke PBAKL disertai beberapa penulis selain program bual bicara, 'Secangker teh, setapak bandong' yang diadakan di Pavilion Sarawak.

Malah, Hari Gawai yang disambut setiap 1 Jun turut akan diraikan di Pavilion Sarawak pada tarikh bermula jam 11 pagi hingga 2.30 petang.

"Kami amat percaya kehadiran sebagai negeri tamu bukan hanya mampu memperluaskan kefahaman mengenai Sarawak tetapi juga platform yang hebat untuk mempertingkatkan lagi rasa saling menghormati serta memperkukuhkan hubungan erat yang sudah sedia terjalin antara rakyat Malaysia," katanya.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Seri Abdul Rahman Hamzah (tengah) ketika melancarkan buku Serahang Kakan Baney Kabo sempena perasmian Pavilion Sarawak Negeri Tamu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 di WCTKL, Jumaat lalu. Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif, Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli (dua dari kiri), Datu Dr Rashidah Bolhassan (Tiga dari kanan). - NSTP/Rohanis Shukri

Delegasi Sarawak yang diketuai Pustaka Negeri Sarawak itu turut disertai tujuh agensi lain antaranya Jabatan Premier Sarawak; Sarawak Tourism Board; Sarawak Economic Development Corporation dan Majlis Seni Sarawak.

PBAKL 2023 kali ini turut menampilkan Kementerian Pendidikan juga akan tampil sebagai Kementerian Tamu. Ia disertai oleh 138 penerbit dari dalam dan luar negara dengan sasaran lebih 1.3 juta pengunjung. Selain jualan secara fizikal, PBAKL turut menganjurkan jual beli secara dalam talian dengan kerjasama laman dagang Shopee.

Berita Harian X