Isnin, 29 Mei 2023 | 3:22pm
'Lambakan’ puisi disebabkan semua orang bebas menulis selain tiada tapisan yang dilakukan sebelum sesuatu karya itu diterbitkan. - Foto hiasan
'Lambakan’ puisi disebabkan semua orang bebas menulis selain tiada tapisan yang dilakukan sebelum sesuatu karya itu diterbitkan. - Foto hiasan

Puisi sekarang banyak merapu ?

KUALA LUMPUR: Di laman-laman sosial banyak sekali puisi dimuat naik, malah penerbitan kumpulan atau antologi puisi sama ada oleh syarikat penerbitan atau diterbitkan sendiri oleh penulisnya juga meningkat mendadak berbanding 10 tahun dulu.

Selain itu terdapat penulis mampu mengumpulkan pengikut yang banyak di media sosial sehingga puluhan ribu orang meskipun kualiti karyanya boleh dipersoalkan.

Adakah semua itu memperlihatkan menulis puisi ini mudah? Hinggakan ia dihasilkan dengan sebegitu banyak dan cepat sehingga memperlihatkan sesetengahnya 'merapu'.

Bagi Sasterawan Negara (SN), Datuk Rahman Shaari, berlakunya 'lambakan' puisi disebabkan semua orang bebas menulis selain tiada tapisan yang dilakukan sebelum sesuatu karya itu diterbitkan.

"Kita tahu penghasilan puisi di media sosial dan juga swaterbit ini tidak ditapis oleh editor yang mahir.

"Ia tentu saja berlainan dengan puisi yang dihantar ke majalah ataupun akhbar kerana sebelum diterbitkan puisi itu ditapis oleh editor.

"Apatah lagi di media sosial, perjalanannya mudah. Selepas penulis menyiapkan puisi, mereka akan akan siarkan dengan cepat. Saya bersetuju ada puisi yang merapu tetapi saya tidak mengatakan semuanya merapu," katanya.

Katanya, 'merapu' apabila menulis puisi membawa maksud karya itu gagal. Hal ini tentu saja disebabkan tanggapan ia mudah dibuat hingga gagal memberi hasil yang terbaik.

Rahman mula menghafal puisi sejak 1960-an. Gambar arkib NSTP
Rahman mula menghafal puisi sejak 1960-an. Gambar arkib NSTP

Sedangkan kata Rahman, SN Datuk Seri A Samad Said sendiri sangat teliti dan rapi ketika menghasilkan puisi.

Katanya, A Samad akan menyunting setiap karya yang dihasilkan berkali-kali sehinggalah ia dianggap siap dan sempurna sebelum dikongsikan.

"Jika pada peringkat awal lagi kita anggap penghasilan puisi itu mudah, besar kemungkinan kita akan gagal.

"Untuk menghasilkan puisi yang baik, ia perlu mempunyai tema yang kemas dan berfokus.

"Puisi yang baik itu selalu tebal dengan pemikiran, dan penyampaiannya artistik. Dalam puisi yang baik, ada dekorasi bahasa, diiringi muzik bahasa. Klise ialah musuh utama puisi moden," katanya.

Rahman berkata, beliau secara peribadi sukar untuk mengatakan bahawa seseorang penulis puisi itu mempunyai kesilapan jika puisinya kurang bermutu sebaliknya menyifatkan ia sebagai kelemahan.

Kelemahan puisi yang utama adalah ia tidak ada fokus yakni persoalan utama yang ingin diangkat tidak jelas.

Malah tegas Rahman, ada puisi yang memuatkan imej-imej bercampur aduk dan itulah punca sesebuah puisi itu lemah.

Namun dalam masa yang sama, Rahman tidak bersetuju untuk meletakkan label 'syok sendiri' penulis yang menulis puisi sehingga hilang makna.

"Frasa 'syok sendiri' itu adalah satu ejekan. Saya beranggapan sebahagian daripada mereka enggan belajar secara bersungguh-sungguh. Mereka mungkin tidak gemar membaca kupasan puisi dan mungkin tidak akrab dengan teori mengenai puisi," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan kepada penulis supaya merujuk karya penyair yang

bagus sebelum mula menulis puisi. Malaysia katanya mempunyai ramai penyair yang boleh dijadikan rujukan.

Antara yang seharusnya dijadikan rujukan adalah karya-karya tiga orang SN iaitu Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh; Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

"Jika mahu penulis yang lebih muda, boleh saja rujuk karya penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2010 dan 2011, iaitu Zainal Palit atau lebih dikenali sebagai Zaen Kasturi,  Zainal Abidin Suhaili (Abizai), Dr Shamsuddin Othman serta berpuluh-puluh lagi yang lain," katanya.

Sementara itu pengarang dan editor, Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman, berkata sejak dahulu lagi ramai yang menulis puisi tetapi kita tidak dapat membacanya kerana puisi yang kurang bermutu tidak diterbitkan oleh editor.

"Hal ini berbeza dengan keadaan sekarang. Sekatan dan halangan dibuka dengan kehadiran internet dan platform media sosial selain tanggapan yang diwar-warkan, sesiapa pun boleh menjadi penulis.

"Penulisan kini menjadi sehala kerana diterbitkan media sosial, dan mereka mudah digulakan dengan ucapan tahniah.

"Ia tidak dinamik dengan kehadiran kritikan kerana ramai merasakan kritikan itu membunuh," katanya.

Tegas Ainunl Muaiyanah, ada juga penulis yang berasa tidak senang dengan istilah "penjaga pintu sastera" yang memberi panduan dan pandangan mengenai bentuk puisi yang baik.

Justeru kata beliau, akhirnya tiada lagi benteng dan kita boleh membaca semua puisi sama ada ia baik atau jelik.

Bagaimanapun, beliau merasakan tidak adil untuk menilai kesilapan yang dilakukan ketika menulis puisi. Tindakan ini dibimbangi akan menyebabkan penulis tidak berani untuk menerokai dan bereksplorasi dengan bahasa.

Namun katanya, kesilapan nyata yang dilakukan kebanyakan penulis adalah mengulang subjek yang sama tanpa pembaharuan bahasa dan gaya persajakan.

"Penyair akan dewasa dengan usia begitu juga puisinya. Puisi bukan sekadar kata puitis yang disusun atur, atau acuan bertahun-tahun yang diulang pakai. Ia hanya akan menyebabkan bahasa yang dipilih penulis itu jadi lusuh.

"Puisi baik sentiasa segar kepada kaca mata baharu terhadap subjek yang dibawa, bahasa yang dinukilkan dan perasaan yang ditata. Tiada formula khusus. Ia adalah perjalanan panjang untuk mencari gaya bahasa yang baik," katanya.

Pengurus Jualan dan Pemasaran, Inisiatif Buku Darul Ehsan, Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman. Gambar arkib NSTP
Pengurus Jualan dan Pemasaran, Inisiatif Buku Darul Ehsan, Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman. Gambar arkib NSTP

Ainunl Muaiyanah berkata, beliau percaya ramai yang mula menulis kerana mengagumi dan mencintai bahasa yang indah, tetapi jalan penulisan ini panjang dan bersimpang siur.

Justeru ramai yang tewas kepada kemilau kemasyhuran dan lupa tujuan asal mereka menulis. Ada yang berusaha untuk menulis lebih baik tetapi terbatas dengan bakat yang kecil dan tidak berkembang. Namun ada juga yang cuba menjadi produktif tapi akhirnya menjadi 'kilang puisi' semata-mata.

Berita Harian X